PADU Tidak Janji Bulan Dan Bintang – Khairy

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin berpuas hati dengan manifesto Perancangan Amal dan Usaha (PADU) kerana meletakkan kesihatan awam antara aspek terpenting dalam manifesto itu.

Khairy selaku menteri kesihatan berkata, manifesto BN yang menawarkan perbelanjaan kesihatan awam sebanyak lima peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menepati keperluan rakyat pada masa ini.

“Saya lihat PADU BN sebagai realistik, ia tidak menjanjikan bulan dan bintang. Saya berpuas hati dengan manifesto yang telah dibentangkan.

“Saya melihat komitmen kepada perbelanjaan kesihatan sangat baik sebanyak 5 peratus dari KDNK.

“Angka ini saya telah kemukakan dua bulan lepas supaya perbelanjaan kesihatan awam adalah 5 peratus dari KDNK dan telah dimasukkan dalam manifesto PADU BN,” katanya.

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Manifesto PADU BN sebagai tawaran untuk rakyat bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahmad Zahid berkata, PADU yang menawarkan 99 perkara baharu dan segar itu kepada rakyat Malaysia akan menjadi panduan kepada BN dalam mengemudi tanah air untuk menjadi negara berkemajuan.

Mengulas lanjut, Khairy turut berkata, menerusi PADU itu, pelbagai inisiatif untuk golongan muda khususnya berkaitan isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan peningkatan kemahiran sumber manusia.

“Ini sangat penting untuk kita mengukuhkan ekonomi negara dengan mengutamakan prospek anak muda dari segi latihan dan pendidikan tinggi.

“Pekerja gig ekonomi yang selama ini tidak mendapat perlindungan, dengan manifesto PADU BN mereka juga diberi perlindungan,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.