PADU Terbaik Dan Realistik, Bentuk Malaysia Baharu Setelah Kecelaruan Politik

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dibentangkan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dianggap sebagai simpulan suatu yang terbaik dan realistik.

Sehubungan itu, Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menyarankan kepada rakyat bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 ini masa terbaik bagi kita membentuk Malaysia yang baharu dan memulakan sesuatu yang baharu, setelah empat tahun yang sangat tidak menentu akibat kecelaruan politik.

Katanya, PADU adalah suatu amal dan usaha menyelesaikan masalah negara dan rakyat malah ia bukan retorik sebaliknya suatu bukti kesungguhan BN memakmurkan rakyat Malaysia.

“Kerana itu BN mengajak rakyat Malaysia dan semua pengundi untuk bersama memikul tugas dan tanggungjawab dengan memilih kerajaan yang terbaik. Kita mesti menolak politik retorik dan politik populis yang merugikan.

“Kita mesti memilih parti yang boleh membentuk kerajaan bertanggungjawab, ikhlas, pragmatik dan yang mempunyai rencana atau perancangan yang jelas untuk Malaysia dan kerana itu Barisan Nasional harap semua pengundi memilih BN.

“Percayalah BN berazam menjadi kerajaan yang terbaikbagi masa depan Malaysia. Ini kerana BN mempunyai agenda dan pelan yang konkrit untuk negara dan rakyat.”

Lantaran itulah katanya menerusi laman Facebooknya, BN ingin menawarkan kestabilan dan kemakmuran yang rakyat Malaysia perlukan.

“Semua ini telah BN buktikan di Melaka dan Johor. Kestabilan dapat diwujudkan apabila rakyat memberikan mandat besar kepada BN selepas pilihanraya di kedua negeri berkenaan.

“Kerana itulah dalam PRU15 ini BN menawarkan pakej yang menarik untuk mewujudkan kestabilan politik dengan membentuk sebuah Kerajaan yang kuat. Barisan calon-calon yang diketengahkan oleh BN dengan lebih 85 peratus memiliki latar belakang pendidikan terbaikadalah ramuan dan harapan terbaik BN sediakan untuk rakyat Malaysia.”

Katanya, sebagaimana dinyatakan oleh Pengerusi BN, bahawa BN menawarkan kerajaan yang berupaya mengakhiri segala politik jelik dan pelik, lompat melompat, ugut-mengugut dan tekan-menekan serta kerajaan yang akan menoktah segala sandiwara yang membawa ketidakstabilan dan ketidaktentuan dalam politik dan kerajaan.

“BN percaya rakyat sudah bosan dengan polemik politik yang merugikan. Oleh itu BN harap rakyat memberikan peluang kepada BN kerana iltizam BN mahu membawa Malaysia jauh maju ke hadapan.”

Justeru katanya, dinyatakan semasa pembentangan manifesto BN oleh Pengerusi BN bahawa BN mahu menguruskan Malaysia agar menjadi sejahtera dan makmur demi rakyat Malaysia.

“Saya juga berkeyakinan sebagaimana disebut semasa pembentangan manifesto bahawa semua ini mampu dicapai dengan melaksanakan pelbagai perkara bersifat prorakyat, propembaharuan, prokemajuan, yakni mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.

“Saya yakin kerana BN bukan sebagaimana PH yang mempunyai rekod menipu rakyat dengan kegagalan melaksanakan manifesto.

Tegasnya yang juga calon BN bagi Parlimen Lenggong, BN punyai rekod melaksanakan semua janjinya kepada rakyat melalui manifesto setiap kali PRU.

Malah, seringkali BN melaksanakan banyak perkara kebaikan lebih daripada apa yang dijanjikan dalam manifesto.

“Percayalah Perancangan Amal dan Usaha Barisan Nasional ( PADU ) merupakan tawaran terbaik kepada rakyat Malaysia. Kajian mendalam, penelitian yang terperinci dilakukan sebelum PADU diumumkan kepada rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.