PADU, Manifesto BN Realistik Dan Berfokus Untuk Manfaat Rakyat Terbanyak – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan bahawa Perancangan Amal dan Usaha (PADU) yang menggariskan 10 teras dan 99 tawaran untuk rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 sangat komprehensif dan mencakupi semua lapisan masyarakat.

Katanya, menerusi PADU tidak akan timbul janji kosong atau manifesto bukan kitab suci kerana PADU berdasar keupayaan kewangan kerajaan.

“Tentunya PADU juga memfokuskan kepada wanita, belia, luar bandar, ekonomi, politik, sosial dan agama.

“Tiga jawatan timbalan perdana menteri (TPM) adalah ‘game changer’ yang menunjukkan keprihatinan BN untuk pembangunan dan kemajuan rakyat Sabah, Sarawak dan Semenanjung,” katanya kepada UMNO Online, hari ini.

Jelasnya yang juga calon BN bagi mempertahankan Parlimen Pontian, selain Presiden UMNO, Timbalan, Naib-naib Presiden, beliau sendiri dan wakil-wakil parti komponen serta beberapa tokoh lain terlibat dalam penyediaannya.

“Perdana Menteri dan Menteri Kewangan juga terlibat agar dana atau peruntukan adalah mencukupi supaya manifesto itu boleh dilaksanakan,” katanya lagi.

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan PADU dengan menekankan bahawa ia adalah tawaran baharu yang segar atau ‘a new and fresh deal’ daripada BN kepada rakyat Malaysia, bukan janji-janji manis dan indah atau bukan tentang segala-galanya percuma sebaliknya ia adalah pelan yang serius dan rasional. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.