Manifesto BN Bukan Janji Bulan Dan Bintang – Mahdzir

PADANG TERAP, 8 Nov – Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dipersembahkan kepada rakyat tidak menjanjikan bulan dan bintang namun ia mengambil kira kemampuan urus tadbir dan kewangan negara.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata manifesto itu dirangka dengan pendekatan realistik dan praktikal kepada rakyat untuk dilaksanakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita mengambil sikap bahawa apa yang hendak dipersembahkan kepada rakyat itu adalah secara menyeluruh dan tidak mahu menjanjikan ‘bulan dan bintang’. Pakatan Harapan (PH) pada 2018, bawa manifesto ‘bulan bintang’ kepada rakyat dan sekarang mereka mahu ulang semula ‘bulan’ itu kerana ‘bintang’ sudah tiada.

“Sekarang mereka hendak bawa turun sikit kepada ‘awan’ tetapi orang memang tidak mahu. Mereka sudah berjanji dengan rakyat tetapi tidak boleh laksanakan jadi sebab itu BN pergi ke arah yang praktikal dan tidak perlu merepek-repek,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pekebun Kecil RISDA Makmur Daerah Padang Terap di Kampung Baru Padang Sanai di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan pihak tertentu bahawa manifesto BN yang dibentangkan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam, sudah tidak relevan lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.