Pilih BN Kerajaan Stabil Jamin Pelaksanaan Dasar Efektif, Parti Lain Retorik – Shahelmey

PUTATAN, 7 Nov – Parti yang mampu menjamin pelaksanaan dasar kerajaan yang efektif perlu diberi peluang untuk mentadbir negara ini.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, BN mempunyai trek rekod yang menjaga kebajikan rakyat selain pelaksanaan polisi serta dasar membangunkan ekonomi negara secara mapan.

“Pendekatan parti lain termasuk Pakatan Harapan (PH) yang dilihat hanya bersifat retorik dan bukan benar-benar memperjuangkan hak rakyat perlu difikirkan sewajarnya untuk tidak berulang sekali lagi.

“Sudah terbukti BN mempunyai trek rekod sebagai pentadbir kerajaan yang efisyen dan stabil dengan dasar-dasar membantu rakyat.

“Kita sudah melalui sejarah hitam apabila negara diperintah oleh PH. Mereka antaranya sesuka hati mengubah janji mereka dengan mengatakan manifesto bukan kitab suci dan bermacam-macam lagi isu menyusahkan rakyat, “katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ceramah kempennya di Markas Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pasir Putih, Putatan, semalam.

Turut hadir Ketua Bahagian UMNO Putatan, Jeffrey Noor.

Sementara itu, Jeffrey dalam program yang sama menggesa pengundi di daerah berkenaan agar memilih Shahelmey sebagai calon BN dalam menjayakan aspirasi Putatan.

“71.5 peratus pengundi di Putatan ini terdiri daripada pengundi Bumiputera Islam dan kita di sudah lama meminta kerusi ini diberikan calon UMNO.

“Seperti yang kita maklum, banyak janji-janji ditaburkan oleh pihak parti lain seperti PH dan Warisan tetapi hakikatnya ia hanyalah palsu dan retorik.

“Kita akan bertungkus-lumus mengerahkan jentera BN dalam memastikan kemenangan Shahelmey di Parlimen Putatan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.