Biar BN Uruskan Batu Kawan, Kon Yeow Sibuk Jaga Kerajaan Negeri – Musa

PULAU PINANG, 7 Nov – “Parlimen Batu Kawan biar Barisan Nasional (BN) uruskan, kesian dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow perlu jaga kerajaan negeri lagi.”

Demikian kata Pengerusi BN Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir ketika diminta mengulas keabsahan calon MCA, Tan Lee Huat yang berdepan saingan lima penjuru termasuk Kon Yeow di Parlimen Batu Kawan di sini.

Musa berkata, pihaknya yakin anak tempatan yang dicalonkan mewakili BN itu mampu melakukan kerja terbaik buat penduduk Batu Kawan sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.

“Kita masuk pertanding mesti nak menang tapi kita tak mahu terlalu yakin mengenainya namun, kerja untuk ke arah itu giat dilakukan.

“Saya nak bagi tau kepada rakyat di Batu Kawan juga yang mana kita (BN) simpati dengan KM (Kon Yeow), kita kesian lani pun dia kerja banyak jadi boleh ka nak jaga Batu Kawan dengan kerajaan negeri? kecuali dia duk di Tanjong.

“Bayangkan dia nak mai dari Pulau ke Batu Kawan? Kalau cakap soal banjir rumah dah hanyut baru dia akan sampai,” katanya kepada pemberita di sini.

Mengulas lanjut Musa berkata, pihaknya tidak menyifatkan Kon Yeow sebagai pemimpin tidak bagus sebaliknya meminta rakyat menilai isu tersebut.

“Jadi kita minta rakyat di Batu Kawan tengok dan nilai, kita tak kata KM tak bagus cuma kerja Parlimen Batu Kawan biar orang lain (calon BN) buat,” katanya.

Terdahulu, Musa merasmikan program pemerkasaan jentera pilihan raya BN bagi Parlimen Batu Kawan di Dewan Serbaguna Perkampungan Juru di sini.

Hadir sama Pengerusi MCA negeri, Datuk Tan Teik Cheng. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.