Undi BN, Kekal Kemakmuran Pengerang

PENGERANG, 6 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mengajak warga Parlimen Pengerang kekal mengundinya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi memastikan kawasan itu terus makmur menikmati limpahan pembangunan.

Menurutnya, pelbagai percubaan demi percubaan dilakukan oleh pihak pembangkang diawal pembangunan Projek Kompleks Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (Rapid), Pengerang, namun dapat ditangani BN.

“Masihkah anda semua ingat akan memori-memori awal semasa Projek Rapid ini mula diumumkan.

“Saya sedikit kesal kerana pada waktu itu hadir percubaan demi percubaan oleh pihak pembangkang dari luar.

“Mereka cuba memecahbelahkan orang-orang Pengerang dan cuba melaga-lagakan kita dengan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas,” katanya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu percaya keyakinan warga Pengerang yang begitu teguh bersamanya menyebabkan penduduk di situ dapat menikmati hasilnya kini.

“Saya percaya anda semua masih ingat lagi, kita dituduh mengaut keuntungan atas hasil tanah penduduk, kita difitnah bahawa syarikat Arab Saudi lari dan menarik semula pelaburan.

“Tetapi kepada warga Pengerang yang sentiasa teguh bersama saya, Alhamdulillah hari ini kita dapat menikmati hasilnya,” katanya.

Azalina berkata, pembangunan projek ini juga telah membuka hampir 5,000 lagi pekerjaan baharu bukan sahaja kepada warga Pengerang bahkan untuk seluruh rakyat di Johor juga.

“Sebuah kompleks memproses petroleum berteknologi tinggi dan moden ini telah siap dibina sepenuhnya dan beroperasi setiap hari.

“Kerana itulah kita perlukan kestabilan, kerajaan yang stabil mampu memacu kemakmuran kepada rakyat dan ini adalah tanggungjawab saya, sebagai agen yang menghubungkan suara rakyat kepada kerajaan,” katanya.

Berikutan itu, beliau mengajak pengundi Pengerang terus kekal kemakmuran bersama BN demi menjamin kestabilan kawasan itu.

Parlimen Pengerang menyaksikan perlawanan membabitkan tiga penjuru yang menyaksikan Azalina dicabar oleh Fairulnizar Rahmat dari Perikatan Nasional (PN) serta Che Zakaria Mohd Salleh dari Pakatan Harapan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.