Calon Ahli Parlimen BN Berwajah Segar, Pelbagai Kelayakan Akademik – Ahmad Zahid

 

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu bukan sahaja menampilkan wajah-wajah segar dalam pemilihan calon-calon yang bakal bertanding untuk Parlimen, malah tidak meninggalkan yang berpengalaman pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 19 November ini.

Menurut beliau selain itu BN juga turut menampilkan mereka yang mempunyai kelayakan akademik dalam pelbagai bidang dan lapangan bagi menggalas amanah senagai calon BN peringkat parlimen nanti.

“BN turut menampilkan wajah-wajah segar dan kita tidak meninggalkan yang berpengalaman untuk menggalas amanah sebagai calon BN di peringkat parlimen. Kita juga akan tampilkan lebih 85 peratus calon-calon yang mempunyai kelayakan akademik di peringkat pengajian tinggi dalam pelbagai disiplin ilmu dan kepakaran.

“Calon-calon yang diketengahkan adalah gandingan muka baharu serta berpengalaman dan mereka mempunyai kekuatan rekod berbakti kepada rakyat serta kesegaran idea iaitu sudut pandang yang lebih bugar dalam kestabilan dan kemakmuran negara.

“Dengan demografi pengundi yang semakin remaja, iaitu 51.4 peratus daripada kira-kira 21 juta pengundi adalah terdiri daripada mereka yang berunur antara 18-49 tahun. Dari demografi ini memperlihatkan tanggunghawab BN dalam meletakkan gandingan yang membimbing dan dibimbing. Ini adalah gandingan yang tentunya didambakan keserasian supaya kerajaan yang bakal dibentuk insya-Allah akan menghidangkan segala janji yang akan ditunaikan atas nama BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pengumuman calon-calon BN untuk parlimen PRU15, di sini, malam tadi.

Ahmad Zahid seterusnya memberitahu parti itu meletakkan tiga kriteria utama dalam pemilihan calon-calon BN.

“Prinsip pemilihan calon tentunya akan memberi keutamaan ketaatsetiaan dan tetap khidmat serta muafakat. Pertamanya tetap memegang amanah rakyat dan tidak mengkhianati mandat rakyat.

“Keduanya khidmat demi rakyat dengan waktu bekerja mengikut pusingan jam dan ketiganya muafakat yang berterusan dengan semua segmen masyarakat bagi mendapatkan saranan dan kaedah pelaksanaan usaha mensejahterakan kehidupan rakyat agar mereka sentiasa sesuai atau relevan.

“Dengan tiga keutamaan ini… tentunya menjadi wakil rakyat bukanlah jawatan untuk mendapat keistimewaan dan wakil rakyat bukan untuk mendapat layanan sebalikbya mampu menjadi pelayan kepada rakyat seluruhnya. Wakil rakyat bukannya untuk kemegahan dan kemewahan tetapi untuk mensejahterakan kehidupan seluruh rakyat,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.