Kedaulatan Institusi Kehakiman Negara Dirobek PH/Dap, Tommy Thomas – Alfie

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Alfie Zainal menempelak Pakatan Harapan (PH) yang telah mencabul kedaulatan institusi kehakiman negara ketika menjadi kerajaan dalam tempoh 22 bulan.

Katanya ini kerana, pendedahan terbaharu bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan arahan daripada Peguam Negara pada ketika itu, Tommy Thomas telah mencapuri dalam urusan pelantikan hakim-hakim dengan meletakkan individu tertentu demi melindungi kepentingan mereka.

“Tiga tiang demokrasi iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman tidak patut diganggu gugat dan haruslah dilindungi setiap masa namun terbukti pada zaman PH mereka telah mencabul kedaulatan institusi kehakiman untuk kepentingan dan untuk menekan musuh politik mereka.

“Rupa-rupanya mereka dah susun sesama mereka untuk langgar undang-undang pasal pelantikan hakim-hakim utama negara kita… baru-baru ini kita dapat tahu tentang laporan siasatan tentang pelanggaran undang-undang kerajaan PH/Dap.

“Baru satu negara tahu Tun Tengku Maimun Tuan Mat dapat jadi Ketua Hakim Negara pasal Tommy Thomas arah Tun Mahathir untuk lantik dia walaupun ikut pengalaman belum cukup bagi sandang jawatan penting tu. Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaya, Sabah dan Sarawak tersebut berbeza dari pilihan Suruhanjaya Pelantikan Hakim,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas beliau ini bertentangan dengan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bahawa seorang Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk memilih calon hakim untuk mahkamah-mahkamah tersebut.

Sebaliknya kata beliau sebarang nama yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong hendaklah berasaskan cadangan dari Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

“PM boleh mohon untuk beberapa nama lain untuk sesuatu kekosongan tetapi hendaklah dari kalangan senarai itu. Bukan pilihan sendiri bersama Peguam Negara.

“Ini bermaksud, PH telah campur tangan secara terus dalam perlantikan jawatan tinggi penghakiman.

“Sudahlah PH ni suka menipu, institusi kehakiman pun dia nak kacau. Letak kroni dia untuk kepentingan masing-masing,” tegas beliau.

Tegas beliau keadaan ini memberikan kesan kerana apabila hakim-hakim tersebut memperolehi jawatan hasil daripada dilobi ianya memberikan impak kepada integriti kehakiman negara.

“Dapat jawatan pasal dilobi oleh geng peguam, integriti kehakiman negara kita ni habis rosak. Mungkin keputusan mahkamah zaman hakim yang disusun ni ada banyak berat sebelah dan diatur oleh pejabat-pejabat pelobi ni.

“Saya ingat eloklah barisan hakim yang dilantik tak ikut undang-undang ni letak jawatan kalau sayangkan integriti dan masih nak jaga institusi kehakiman negara kita ni.

“Patutlah Tun Mahathir letak jawatan, tak tahan kena buli dengan Dap. Itulah dia bila Dap begitu berkuasa dalam kerajaan. Habis disusun orang mereka untuk rosakkan demokrasi di negara kita,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.