Pendakwaan Terpilih: Tiada Istilah Balas Dendam Bagi UMNO/BN – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Tiada istilah balas dendam bagi UMNO/Barisan Nasional (BN) sekiranya parti itu berjaya berkuasa semula meskipun berlaku pendakwaan terpilih terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, begitu besar jasa Najib apabila beliau menghambakan diri dalam politik sehingga perlu membayar harga yang amat tinggi di akhir kerjayanya.

“Selama 46 tahun beliau menghambakan diri dalam politik negara. Perkhidmatan yang beliau berikan kepada negara, sehingga terpaksa membayar harga yang amat tinggi di akhir kerjaya politiknya. Ingatlah, jasa beliau amat besar kepada negara dan ini harus diberikan pertimbangan oleh rakyat Malaysia keseluruhannya.

“Bila beliau ada gula, semut datang walaupun tidak dipanggil. Kini beliau tidak ada gula, semut-semut merah bertempiaran lari. Saya juga tidak ada gula. Rupa-rupanya semut takut kerana gula-gula yang ada hari ini adalah gula-gula yang beracun. Tunggulah apabila UMNO/BN ada gula semula. Kita tidak mahu membalas dendam, kita mahu memberikan kualiti, kesaksamaan kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Perhimpunan Agung Tahunan ke-14 Parti Makkal Sakti Malaysia, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi BN itu turut yakin bahawa UMNO/BN akan kembali berkuasa secara dominan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 serta berjanji tidak akan membalas dendam kepada sesiapa pun.

“Saya yakin PRU ke-15 UMNO/BN akan berkuasa semula secara dominan di negara ini. Kita berjanji, kalau Allah mentakdirkan serta mengizinkan kita memegang kuasa kembali, kita tidak akan membalas dendam kerana kita tidak ada sifat vindictive kepada sesiapa pun.

“Saya berjanji disaksikan oleh Allah SWT dan para malaikat kerana cukuplah. Negara kita, negara bertamadun. Membalas dendam tidak akan berakhir, membalas dendam tidak akan menguntungkan sesiapa.

“Yakinlah, biar rakyat yang menghukum mereka yang membalas dendam itu kerana dengan mandat rakyat, sekiranya pada PRU ke-15 pemimpin-pemimpin itu ditolak, itulah vindictive sebenarnya daripada rakyat kepada mereka,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.