Tidak Wajar Rakyat Dibebankan Lagi Dengan Kenaikan Kadar Faedah OPR – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menaikkan Kadar Semalaman (OPR) iaitu penanda aras untuk menentukan kadar faedah pinjaman bank bertujuan memastikan kestabilan harga dan kemampanan pertumbuhan ekonomi dalam jangka panjang.

Ianya dijangka mengekalkan kecenderungan untuk meningkatkan kadar faedah pada September, menyaksikan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) untuk kali ketiga berturut-turut tahun ini.

1.BNM dijangka akan sekali lagi menaikkan OPR atas alasan untuk mengimbangi tekanan inflasi yang kononnya didorong oleh tarikan permintaan.

2.Namun begitu tidak pula dinyatakan sejauh manakah peningkatan inflasi ketika ini betul-betul berpunca daripada tarikan permintaan (demand pull inflation). Walhal faktor utama yang perlu diambil kira adalah pengaruh besar gangguan dalam rantaian bekalan akibat perang di Ukraine serta dasar COVID-19 yang ketat di China dalam menyebabkan peningkatan harga barangan (cost push inflation akibat supply side / supply chain disruption).

3. Bank Negara sewajarnya terlebih dahulu mengenal pasti punca sebenar kenaikan kadar inflasi sebelum mengambil keputusan drastik untuk melaksanakan dasar monetari menguncup. Ini kerana peningkatan OPR pasti akan memberikan kesan negatif kepada banyak sektor lain, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi domestik negara kita yang masih berada dalam fasa pemulihan ketika ini.

4. Di dalam posting saya sebelum ini saya sudah jelaskan bahawa kadar hutang isi rumah yang tinggi di negara kita akan menyebabkan mereka akan lebih terbeban berbanding isi rumah negara serantau setiap kali OPR dinaikkan. Dengan itu objektif BNM untuk mengurangkan tingkat permintaan dengan menaikkan OPR hanya akan dicapai dengan pertambahan jumlah pembayaran balik pinjaman, bukan menerusi peningkatan jumlah tabungan isi rumah. Ini jelas bertentangan dengan objektif yang mahu dicapai dalam Pelan Pemulihan Ekonomi Malaysia Pasca Covid.
(rujukan : https://www.facebook.com/100044601692003/posts/616587076504677/ )

5. Teori di belakang dasar monetari konvensional yang diamalkan Bank Pusat dengan menaikkan kadar bunga setiap kali berlaku kenaikan tingkat inflasi adalah bersandarkan kepada realiti ekonomi yang berlaku pada tahun 1970an dahulu. Teori ini bukan sahaja sudah tidak relevan bagi menyelesaikan masalah ekonomi yang dihadapi sekarang, malah berkemungkinan besar akan mencetuskan masalah resessi ekonomi yang lebih parah.

6. Ini jelas terbukti apabila peningkatan kadar bunga yang sudah dibuat beberapa kali oleh Bank Pusat Amerika Syarikat dan Bank Pusat di Eropah bukan sahaja tidak berjaya menurunkan kadar inflasi di negara itu, malah kesannya dijangkakan akan membawa kepada resessi ekonomi.

7. Ahli Ekonomi di IMF sendiri mengakui bahawa polisi monetari tidak berupaya untuk menyelesaikan masalah ‘bottlenecks’ dalam rantaian bekalan dunia dan gangguan bekalan dalam pasaran komoditi akibat perang di Ukraine.
(rujukan :
https://blogs.imf.org/…/central-banks-hike-interest…/ )

8. Dalam hal ini, perjanjian damai antara Russia-Ukraine dan pembatalan sekatan ke atas export gas dari Russia serta pembukaan lockdown akibat Covid-19 di China akan lebih berjaya menurunkan kadar inflasi di Eropah kerana ianya dapat meredakan tekanan dalam produksi, rantaian bekalan dan komoditi dunia.

9. Jelas di sini kenaikan OPR tidak akan dapat menurunkan kadar inflasi walaupun permintaan domestik mungkin sedikit berkurangan kerana inflasi yang tinggi ketika ini bukan didorong oleh tarikan permintaan yang berlebihan.

10. Di negara kita pula, keputusan Kerajaan untuk tidak menaikkan harga bahan api (petrol dan diesel) , tarif elektrik dan air jelas lebih berjaya menahan kadar inflasi dari melambung lebih tinggi seperti di negara lain. Justeru, tidak perlulah BNM menaikkan OPR yang berisiko memberi dampak negatif dan kontradik dengan Pelan Pemulihan Ekonomi yang dirancang.


Ketua Pemuda UMNO Malaysia
DR ASYRAF WAJDI DUSUKI


@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.