Alwiyah Talib Kembali Ke UMNO, Tinggalkan Bersatu Serta Merta
JOHOR BAHRU, 4 Jun – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alwiyah Talib hari ini mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta meletakkan semua jawatan yang disandang dalam parti itu berkuat kuasa serta-merta sebelum kembali menyertai UMNO.
Pengumuman tersebut dibuat menerusi satu sidang media yang diadakan hari ini selepas beliau mengambil kira pelbagai aspek demi kebaikan dan masa depan kawasan DUN Endau.

Menurut beliau, keputusan berkenaan dibuat atas pertimbangan sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
“Saya telah membuat keputusan untuk mengumumkan keluar daripada Bersatu dan meletakkan segala jawatan saya dalam parti berkuat kuasa serta-merta serta kembali bersama UMNO.
“Keputusan ini dibuat tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Pendirian saya kekal untuk terus berkhidmat dan memelihara kebajikan rakyat di DUN Endau,” katanya.
Beliau berkata, tindakan tersebut diambil demi kelangsungan serta masa depan yang lebih baik untuk kawasan yang diwakilinya selain memperkukuhkan aspek penyatuan masyarakat di DUN Endau.
Alwiyah turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi dan rakyat di kawasan Endau yang sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai wakil rakyat.
“Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak khususnya pengundi di DUN Endau atas sokongan dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi sepanjang saya berkhidmat,” ujarnya.
Untuk rekod, Alwiyah meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu pada Mei 2018 susulan perubahan landskap politik negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). – UMNO Online
