Politik Khidmat Bakti UMNO/BN Berterusan Demi Rakyat – Mohd Nizar

 

IPOH, 25 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria memaklumkan bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) sentiasa konsisten dalam menjalankan politik khidmat bakti kepada rakyat bagi memastikan agenda dokongan tersebut dilaksana berterusan.

Katanya, mengambil kira daripada itu pelbagai pembangunan juga telah dilaksana berdasarkan keadaan setempat dalam memudahkan rakyat untuk menjalani kehidupan seharian.

“Kita menangani isu-isu yang berlaku itu sebaik mungkin, berada dalam suasana luar bandar keperluan-keperluan yang dikehendaki oleh masyarakat dan rakyat yakni dalam bentuk pembangunan alhamdulillah setakat ini kita selesai.

“Cukup lama perjuangan kita untuk mendapatkan hospital. Alhamdulillah ianya sedang dilaksanakan, begitu juga dengan Jalan Parit-Siputeh ianya sedang dilaksanakan, Jambatan Lambor telah pun siap.

“Itu merupakan sebutan-sebutan ketika berlakunya pilihan raya, perkara yang dijanjikan dahulu dalam perancangan semuanya telah berjaya hasil kerjasama wakil-wakil rakyat dalam Parlimen Parit, kepimpinan parti dan juga sokongan padu daripada rakyat yang memilih kita,” katanya ketika ditemui secara eksklusif bersama UMNO Online baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit turut meluahkan keyakinan bahawa rakyat akan sekali lagi memberi kepercayaan kepada UMNO/BN untuk terus berkhidmat kepada mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

Jelas Mohd Nizar ini kerana pelbagai strategi yang dilakukan beliau untuk mendekati masyarakat termasuk menggunakan pendekatan menerusi aktiviti-aktiviti dan penggunaan media sosial bagi menjelaskan berkenaan perkembangan isu-isu semasa di peringkat nasional, negeri dan kawasan.

“Dengan usaha yang begitu keras strategi tersusun insya-Allah pada PRU-15 nanti kita akan mengekalkan kerusi kerana dari segi gerak kerja menerusi majlis, perjumpaan, media sosial termasuk juga UMNO Online sendiri, Penerangan UMNO Malaysia itu manfaat yang kita sebarkan.

“Maklumat-maklumat tersebut cukup terperinci dan isu-isu itu bagi masyarakat kampung ia tidak begitu agak berat tetapi apabila tempoh pilihan raya berlaku maka bila adanya sesi-sesi ceramah maka di situlah dimomokkan isu yang berlaku untuk meraih simpati dan sebagainya,” ujar beliau.

Beliau dalam pada itu turut menegaskan bahawa UMNO/BN ternyata satu-satunya parti yang mempunyai pengaruhnya dan pengalaman tersendiri di dalam membina negara ini sehingga ke tahap membanggakan.

Jelas bekas ADUN Belanja itu lagi, parti mempunyai pemimpin yang berkredibiliti malah ianya memberi signifikan tersendiri dalam memastikan agenda memperkasa rakyat terus menjadi pendekatan utama buat parti keramat ini.

“Kita telah menempuhnya sebanyak 14 kali pilihan raya dan ianya telah melahirkan pemimpin dan menubuhkan sebuah kerajaan baik di peringkat Persekutaan dan Negeri sehingga kita mengolah membangun negara bangsa ini. Rakyat kena memahami negara kita ini membangun bukan hanya datang sebegitu sahaja tetapi melalui sistem dan pola pemikiran, acuan kita sendiri.

“Secara tidak langsung semua orang faham bahawa UMNO/BN merupakan sebuah parti yang mampu untuk mengurus mentadbir, memerintah, menjadi kerajaan dan ia tidak dapat dinafikan dalam bentuk perancangan-perancangan contohnya Rancangan Malaysia Ke-1 sehingga ke-12 secara teratur dan tersusun.

“Jadi saya harap pengundi khususnya di dalam Parlimen Parit, DUN Bota dan Belanja bahkan seluruh negara memberi sokongan yang padu kepada calon BN pada PRU-15 untuk kita terus melonjak ke persada yang lebih tinggi lagi,” ujar Nizar. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib