Kedaulatan Undang-undang Dan Kebebasan Badan Kehakiman

1. Sebagai seorang peguam dan pengamal undang-undang saya mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang dan kebebasan Badan Kehakiman.

2. Walaubagaimanapun kita berhak untuk tidak bersetuju dan memberikan pandangan yang berbeza berasaskan kepada prinsip perundangan kerana sememangnya peguam dan pengamal undang-undang pun ada ketikanya tidak bersetuju atau bersependapat dengan dapatan dan keputusan hakim. Itu biasa.

3. Namun demikian perbezaan pandangan undang-undang tidak mewajarkan kita untuk lantang mengkritik apatah lagi menghina hakim dan mempertikaikan kebebasan seseorang hakim mahupun Badan Kehakiman dalam mengadili dan membuat keputusan.

4. Prinsip ini perlu konsisten dipertahankan dan janganlah ada double standard sama sekali.

5. Sebagai contoh apabila Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Sofian Abd Razak yang mula-mula mendengar kes pendakwaan ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hubungan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta daripada UMNO, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak, kita lihat pelbagai kritikan dan gesaan agar beliau menarik diri mendengar kes tersebut dibuat oleh Majlis Peguam dan pelbagai pihak yg menyokong Pakatan Harapan (PH).

6. Bukankah PH dan Majlis Peguam perlu mempertahankan prinsip kebebasan kehakiman dengan tidak mempertikaikan kebebasan Datuk Mohd Sufian utk mengadili kes tersebut.

7. Adalah tidak adil pada ketika itu untuk mengandaikan Datuk Mohd Sufian tidak bebas untuk mengadili dan membuat keputusan hanya kerana abangnya seorang ahli politik UMNO.

8. Bagaimana pula kini viral kenyataan suami kepada Ketua Hakim Negara di Facebooknya yang jelas menghentam Barisan Nasional (BN) dan secara peribadi menghentam Datuk Seri Najib Tun Razak selain beliau dikatakan aktif dgn parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

9. Apa pula respon Majlis Peguam dan PH terhadap perkara ini? Diam membisu? Mengapa meraka tidak menggesa Ketua Hakim Negara menarik diri dari mendengar rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Persekutuan atas prinsip yang sama?

10. Malah kita tidak lupa segala kecaman dan kritikan terhadap hakim-hakim dan Badan Kehakiman semasa kes liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu.

11. Kita lihat sebaik sahaja mahkamah persekutuan memutuskan beliau bersalah meliwat, pemimpin Pakatan Rakyat melalui BERSIH mengkritik Badan Kehakiman mengatakan ianya adalah pendakwaan politik dari awal dan pelbagai kritikan lain.

12. Kita juga tidak lupa bagaimana rusuhan, demonstrasi-demonstrasi jalanan dan himpunan BERSIH yang turut, antara lain membangkitkan tentang tiadanya kebebasan kehakiman hanya kerana keputusan-keputusan mahkamah yang tidak memihak pemimpin-pemimpin mereka.

13. Di dalam Buku Harapan pula iaitu manifesto PPBM/PH sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 PRU-14 menyatakan Janji 19: Mengembalikan kepercayaan terhadap Institusi Kehakiman dan perundangan.

14. Ianya jelas PPBM/PH cuba menggambarkan sebelum PRU-14 badan kehakiman tidak bebas dan rakyat sudah hilang kepercayaan kepada Institusi Kehakiman.

15. Maka kita jangan sesekali bersikap munafik atau hipokrit seperti itu. Amat memualkan.

16. Kita harus mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan prinsip kedaulatan undang-undang walaupun ketika keputusan yang kita inginkan tidak kita perolehi.

17. Saya yakin dan percaya sekiranya tempat Datuk Seri Najib Tun Razak ini digantikan dgn pemimpin PH maka gegak gempitalah seluruh negara.

18. Nada dan kenyataan meraka pasti berbeza sama sekali. Isu perlantikan YA Nazlan sebagai hakim yang pertama kali mendengar kes jenayah apatah lagi kes sebesar kes DSN dan kaitannya dengan penubuhan SRC International sudah pasti menjadi modal Pakatan menghentam kerajaan dan badan kehakiman.

19. Penolakan usul untuk mengemukakan bukti-bukti baru pasti dikecam hebat dan silap-silap akan ada demonstrasi di seluruh negara dgn lilin dibakar tanda gelapnya kehakiman negara.

20. Saya kongsikan video kenyataan Lim Guan Eng sendiri dalam soal kecaman dan kritikan pemimpin-pemimpin DAP terhadap badan kehakiman.

21. Campur tangan ke atas badan kehakiman perlu dihentikan.

22. Saya baca kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon yang tegas mengatakan bahawa beliau tidak akan sesekali campur tangan dalam apa jua kes mahkamah termasuk yang membabitkan kepimpinan BN.

23. Ini amat berbeza dengan kepimpinan PPBM/PH sebelum ini yg kita semua tahu campur tangan termasuklah pelantikan orangg politik sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa kepada penutupan banyak siasatan kes rasuah dan pengguguran kes-kes pendakwaan di mahkamah oleh Peguam Negara lantikan PPBM/PH.

24. Semasa PPBM/PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi kerajaan 22 bulan ada ke kedaulatan undang-undang? Pendakwaan terpilih terhadap pihak lawan dan membebaskan kawan walaupun atas kesalahan yang sama dilakukan sepatutnya tidak diamalkan di bawah prinsip kedaulatan undang-undang.

25. Harapan saya sebagai pemimpin muda adalah siapa pun menjadi kerajaan jangan kita ulangi sikap dan hipokrasi kerajaan PPBM/PH selama 22 bulan itu jika kita mahukan negara kita benar-benar melaksanakan kedaulatan undang-undang.

26. Semoga kebebasan kehakiman dan prinsip kedaulatan undang-undang di negara tercinta kita ini terus dipertahankan dan menjadi asas penting kemajuan negara.

Akhir kata ingatlah setiap kita samada pemimpin, hakim mahupun rakyat biasa, kita pasti akan diadili di mahkamah akhirat yang adil seadilnya.

DATUK ADNAN SEMAN

Peguambela & Peguamcara

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.