Kerajaan Prihatin Dan Cakna Rakyat – Azlan Man

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berpandangan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob prihatin dan cakna rakyat.

Katanya, ini kerana meskipun berdepan dengan cabaran ekonomi global namun pelbagai langkah dilakukan kerajaan bagi menangani kos sara hidup dihadapi rakyat.

Bagaimanapun menurut Azlan, pihak pembangkang sinonimnya akan mengambil kesempatan dan menggunakan isu ini untuk menyerang kerajaan.

“Dalam hal ini penerangan yang sewajarnya harus diberikan oleh pihak kerajaan bagaimana caranya kita mengurangkan bebanan dihadapi oleh rakyat akibat daripada kenaikan barang tersebut. Jadi dalam hal ini misalnya isu subsidi yang diberikan oleh kerajaan, keputusan-keputusan untuk tidak menaikan harga tarif elektik dan lain-lain berkaitan seperti memberi subsidi kepada harga ayam.

“Rakyat harus diberikan penerangan dan perbandingan harus diberikan iaitu apa yang berlaku di Malaysia dan negara jiran khususnya kalau kita lihat harga minyak kita RON95 baru RM2.05 sedangkan Singapura RON95 adalah RM9.50, Thailand iaitu RM4.50 malah Indonesia sebagai salah sebuah pengeluar minyak di dunia tidak dapat mengawal harga.

“Di Malaysia sekurangnya-kurang kerajaan masih prihatin dan memberikan subsidi kerana itu harga kita kekal jadi saya rasa ini suatu penerangan yang harus diberikan kepada rakyat supaya tidak terkesan dengan dakyah atau cara ‘twist fact’ yang dilakukan oleh pembangkang pada masa ini,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis itu ketika ditemui secara eksklusif oleh UMNO Online.

Ulasnya lagi, pada masa sama harus diterangkan semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) harga minyak jatuh di bawah paras 100 US Dolar dan sekarang ini sudah melebihi daripada paras itu tetapi masih kekal RM2.05.

“Jadi di situ rakyat harus dibawa untuk memahami peranan yang telah dimainkan oleh kerajaan,” kata Ketua UMNO Bahagian Kangar itu.

Sementara itu, Azlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong pada masa sama turut berkata perkara sama juga bakal dihadapi di negeri itu apabila pembangkang akan memanipulasi sentimen yang berpihak kepada mereka.

“Saya yakin akan dijadikan isu semasa Pilihan Raya Umum ke-15 bagi seluruh negeri Perlis bukan hanya di Kangar iaitu berkaitan dengan perkhidmatan air terawat.

“Sebab kita menghadapi masalah yang agak besar di negeri ini kerana ‘non revenue water’ hampir 64 peratus dan adalah mustahil untuk kerajaan negeri mengatasi dalam jangka masa pendek disebabkan perbelanjaan yang begitu besar yang diperlukan untuk mengatasi masalah ini atau sebahagian daripadanya.

“Jadi ini akan bermain di fikiran rakyat dan ditambahkan kalau sekiranya pembangkang mengapikan-apikan jadi akan beri kesan kepada segelintir pengundi-pengundi,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.