BN Sik Berhasrat Kembalikan Kejayaan 3-0 Pada PRU Akan Datang – Tajuddin

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Rekod 3-0 Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sik pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 sebelum bertukar tangan kepada pihak lawan pada PRU yang lalu bukanlah satu halangan besar kepada parti berkenaan untuk sekali lagi mencipta kejayaan pada PRU akan datang.

Ketua UMNO bahagian yang juga Pengerusi BN Sik, Datuk Tajuddin Abdullah berkata boleh dikatakan parti itu  telah meninggalkan legasinya tersendiri di parlimen berkenaan serta di Dewan Undangan Negeri (DUN) Belantek serta Jeneri apabila diberikan mandat oleh masyarakat setempat pada PRU-13.

Katanya pelbagai pembangunan serta pelbagai manfaat lain dilaksanakan dan rata-rata rakyat dapat menikmati segala pelaksanaan dan hari ini telah mula kedengaran ketidakpuasan hati masing-masing setelah cuba beralih angin pada PRU-14 yang lalu.

“Kita kena berpijak di bumi nyata apabila pada PRU lalu pengundi tertipu dengan segala janji dan dakyah yang dimainkan. Hari ini masing-masing boleh buat perbandingan…BN 60 tahun lebih bagaimana…PH 22 bulan dan PN 17 bulan.

“Sebenarnya kalau bercakap soal momentum memang benar…pada PRU yang ke-13 BN catat kejayaan 3-0 apabila menang di DUN Belantek, Jeneri serta Parlimen Sik. Pada PRU lalu kita pula kalah 3-0. Jadi sekarang ini rakyat lihat bahawa apa yang  dibuat oleh wakil rakyat hari ini berbeza dengan wakil rakyat BN yang lalu.

“Apa pun kita telah mempunyai ‘track record’ di Sik ini. Kita telah bawa Kolej Komuniti, MRSM Ulul Albab insya Allah dan dengan Kompleks Sukan Perdana Mini Stadium ini… benda yang nampak serta jelas sewaktu BN berkhidmat di kawasan ini.

“Hari ini mereka boleh bandingkan wakil rakyat sekarang dengan wakil rakyat terdahulu. Mana yang boleh membangunkan daerah Sik adalah wakil rakyat daripada BN. Terbukti dan mempunyai ‘track record’ malah kita difahamkan menerusi media sosial dan group ‘whatsapp’ masing-masing berpandangan kena bagi kat BN balik. BN ‘deliver’,” katanya kepada UMNO-Online.

Tajuddin seterusnya menambah walaupun dalam keadaan sedemikian, BN Sik tidak mengambil mudah malah sentiasa bergerak serta memanfaatkan masa yang ada untuk melipatgandakan lagi usaha khususnya soal jentera pelbagai peringkat.

“Walaupun rakyat dah nak kembali kepada BN tetapi yang lebih penting UMNO/BN Sik tetap tingkatkan kesiapsiagaan terutama sekali jentera parti di pelbagai peringkat. BN Sik insya Allah siap siaga untuk berdepan PRU kali ini dan gerak kerja bersepadu telah lama dilaksanakan,” tambahnya.

Bercakap soal pendaftaran automatik pengundi serta pengundi muda pada pilihan raya umum kali ini, Tajuddin berpandangan soal tersebut sememangnya satu cabaran bukan sahaja kepada UMNO/BN malah kepada semua parti politik yang lain.

Cuma katanya mungkin pelbagai pendekatan yang dilaksanakan oleh setiap parti adalah berbeza dan BN Sik turut mengambil langkah-langkah perlu sejak sekian lama.

“Alhamdulillah kami di Sik ini sentiasa dekat dengan pelbagai kumpulan masyarakat tidak kiralah pengundi automatik mahupun pengundi daripada orang muda. Sekian lama saya sendiri dan jentera parti telah mendekati kumpulan pengundi yang pelbagai,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.