BN Pendang Tekad Tingkatkan Majoriti Di Sungai Tiang, Sasar Parlimen Dan DUN Tokai

KUALA LUMPUR, 29 Julai – UMNO dan Barisan Nasional (BN) Pendang bertekad bukan sahaja untuk meningkatkan lagi majoriti kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang malah akan bekerja keras lagi untuk Parlimen Pendang dan juga DUN Tokai.

Bercakap kepada UMNO-Online, Ketua UMNO Bahagian Pendang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaakob berkata dalam apa jua keadaan usaha yang lebih keras sudah pasti menjadi fokus utama jentera parti pelbagai peringkat hari ini dalam usaha merealisasikan hasrat berkenaan.

Tambahan pula kata beliau Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang makin menghampiri dan rakyat sekali lagi berpeluang untuk membuat pilihan serta perbandingan parti manakah yang boleh menjadi harapan dan tempat mereka bertaut.

“Pendang kita perlu kerja keras. Selain itu kita juga turut meneliti perkembangan semasa kedudukan politik hari ini termasuklah Pas sama ada akan menggunakan logo sendiri atau logo PN (Perikatan Nasional) kerana ini akan menjadikan ‘movement’ berbeza. Namun apa sekali pun keseluruhannya kita sedang bekerja keras.

“Untuk DUN Sungai Tiang Alhamdulillah, BN tidak pernah kalah sejak merdeka malahan pada PRU-14 walaupun tsunami melanda di Kedah kita masih dapat pertahankan. Sebab itulah hasrat kita sepertimana yang dikatakan tadi kerja keras untuk tingkatkan majoriti kemenangan di DUN Sungai Tiang sekaligus dapat memberi impak kepada Parlimen Pendang nanti. DUN Tokai insya-Allah,” ujar Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu lagi.

Dalam perkembangan sama beliau percaya kemenangan serta kepercayaan rakyat kepada UMNO serta BN kelak akan memboleh ‘DNA’ parti berkenaan yang dekat dengan rakyat dapat direalisasikan sepenuhnya serta sebaik mungkin.

“Rakyat boleh nampak dan boleh rasa 22 bulan pentadbiran PH (Pakatan Harapan) bagaimana… sebelum ini kita dapat lihat bagaimana UMNO/BN masih kekal dengan imej parti yang memberikan perkhidmatan dan menjaga kebajikan rakyat.

“Jadi apabila kita tidak memerintah agak sukar juga untuk memenuhi kehendak serta kemahuan masyarakat. Justeru kita harap dapat memerintah kembali agar parti dapat memenuhi imej atau pun DNA sebenar UMNO/BN,” tambahnya.

Suraya seterusnya melihat masyarakat yang berada di tengah-tengah antara penyokong BN dan Pas akan memainkan peranan  tersendiri pada PRU nanti.

“Ini sangat unik juga memandangkan Kedah ini penyokongnya sama ada Pas atau UMNO…yang tengah-tengah ini kita kena tengok sama ada mahu ke kiri atau ke kanan. Sungguh menarik untuk dijadikan ‘benchmark’ (penanda aras) sebelum masing-masing membuat pilihan selepas ini,” ujanya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.