Siap Sedia Depani PRU15, UMNO Putatan Yakin Kembalikan Kerusi Untuk BN


KOTA KINABALU, 18 Julai – Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed yakin bahawa Parlimen P173 yang jatuh ke tangan lawan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 bakal ditawan kembali pada PRU akan datang.

Jelasnya, sebagai pemimpin, UMNO Putatan menerima sesiapa sahaja untuk memasuki parti kerana percaya ia akan dapat membantu BN berjaya dalam PRU-15.

“Sebab itu saya tekankan termasuk kepada mantan parti-parti lain yang menyertai UMNO ini ialah moto menjelang PRU-15 ialah ‘tidak ada sesiapa pun yang ditinggalkan’… maksudnya pengundi mesti dijaga rapi, jentera mesti ada di mana-mana sahaja dan markas mesti mengawal atau melindungi P173 Putatan,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam hal ini, beliau telah menggerakkan semua peringkat agar menetapkan hala tuju dengan matlamat apabila tarikh PRU ke-15 ditetapkan maka segala-galanya telah siap.

“Kita telah bersedia dan menetapkan sasaran kerja, jentera telah digerak melalui Jalinan Rakyat secara agresif dan saya percaya malah yakin kita akan mencapai sasaran untuk kembali meletakkan BN sebagai kerajaan termasuk kemenangan di Parlimen P173 Putatan.

“Untuk menghadapi PRU-15, strategi mesti ada, target dibuat melalui KPI. Proses sekarang bagaimana meningkatkan angka penyokong dan pengundi yang berpihak kepada BN.”

Ujarnya, sebagai pemimpin perlu arif dan tahu berkaitan persekitaran.

“Kita kena faham bahawa Putatan ini adalah penempatan dimana perkaitan persaudaraan yang luas. Justeru ikatan ini kita mahu perkukuhkan dengan mengaplikasi bagaimana membentuk jajaran khidmat kita kepada rakyat.

“Bagaimana kita mahu membentuk suasana yang mesra dengan penduduknya, adakah Putatan boleh berikan peluang pendapatan kepada rakyat, bagaimana mengawal kedudukan kita supaya tidak menjadi sepeti bandar-bandar lain yang rosak… dan itu semua ada dalam perancangan kita jika mentadbir di sini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.