Apa Hal Dia Nak Masuk Campur Hal Dalaman UMNO, PPBM Terengganu Dibidas

HULU TERENGGANU, 18 Julai – Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu Datuk Rozi Mamat membidas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM/Bersatu) negeri Datuk Razali Idris yang tidak berhak mencampuri hal ehwal dalaman dan permintaan ahli UMNO.

Tegas Rozi yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, seharusnya Razali lebih baik menumpukan kepada urusan partinya.

“Tak patut dia nak masuk campur, apa hal dia nak masuk campur. Dia jagalah keluarga dia, parti dia (supaya) jalan dengan baik.

“Kita jaga parti kita. Kita pun tak campur parti dia. Ada kita campur hal parti dia? Tiada. Kalaupun dia nak campur hal UMNO walaupun dia bekas UMNO tapi mungkin dia tidak tahu dari segi perlembagaan ini,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui baru-baru ini.

Rozi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong memberi respon demikian berhubung sindiran Razali menerusi Facebooknya yang berkata fasa pemilihan dalam Perlembagaan UMNO perlu dibuang dan diganti dengan kehendak utama ahli, merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan yang sebelum itu berkata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) perlu mengikut kehendak ahli UMNO yang lebih memahami kepentingan parti berhubung pindaan perlembagaan UMNO.

Jelas Rozi, salah satu tujuan utama penubuhan RoS adalah untuk menjaga kebajikan dan kepentingan ahli di dalam sesebuah organisasi dan pertubuhan.

“…salah satu daripada penubuhan RoS ini adalah untuk menjaga kebajikan dan kepentingan ahli-ahli dalam satu-satu kumpulan. Bukan sahaja jaga dari segi perjalanan pertubuhan, organisasi tetapi juga perlu melindungi dan menjaga kebajikan ahli-ahli dari sebuah organisasi.

“Dan keputusan untuk mengubah (pinda) perlembagaan parti ini daripada ahli, kena mesyuarat di Cawangan, Bahagian dahulu baru di Perhimpunan Agung. Kita kena faham itu dulu. Jadi ahli parti minta supaya perlembagaan parti ini diubahsuai mengikut semasa.

“RoS tidak ada hak sebenarnya… sepatutnyalah… tetapi teknikal betullah kalau ada masalah, yang perlu kita perbetulkan,” ujarnya.

Tambahnya, perlembagaan parti diwujudkan oleh ahli parti dan begitu juga apabila ada pindaan ia merupakan sesuatu perkara yang normal.

Mengulas mengenai kekuatan PPBM di Hulu Terengganu, Rozi berpandangan tidak boleh dinafikan mengenainya dalam konteks jika ia bergabung dengan Pas.

Walaupun begitu, Rozi tetap optimis Barisan Nasional (BN) akan mempertahankan kerusi di kawasannya dan Parlimen Hulu Terengganu serta mampu merampas tiga kerusi lain iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, Manir dan Kuala Berang. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.