Berbudi Kepada Tanah… Nga Kor Ming & Howard Lee Jangan Asyik Fikir Semua Duduk Di Kondo

Kenyataan YAB Menteri Besar Perak baru-baru ini berkenaan saranan kepada rakyat Perak untuk mengusahakan tanaman sayur-sayuran sendiri dan penternakan telah menjadi polemik politik oleh YB Howard Lee dan YB Nga Kor Ming. Kenyataan berkenaan diputar belit seolah-olah MB tidak berfikir panjang dan membuat lawak kononnya orang tinggal di kondo tidak ada tanah untuk bercucuk tanam ataupun menternak haiwan.

Pertamanya, harus difahami bahawa kenyataan MB berkenaan dibuat pada program Agrofest Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) ke arah memperkasa bidang sekuriti makanan di Perak. Sebagai respons kepada soalan wartawan, MB telah menyarankan kepada rakyat Perak untuk menanam sendiri sayur-sayuran dan memelihara haiwan ternakan untuk kegunaan sendiri susulan kekurangan bekalan makanan yang dihadapi ketika ini.

Namun, kenyataan itu diambil seolah-oleh MB dan Kerajaan Negeri Perak tiada perancangan strategik untuk mendepani cabaran kekurangan bekalan makanan dan sekuriti makanan. Sedangkan, MB telah mengumumkan usaha Kerajaan Negeri Perak untuk membangunkan Projek Taman Agroteknologi Manong di Kuala Kangsar di kawasan seluas 40 hektar.

Selain itu, SADC juga telah melaksanakan projek Hab Halal Perak bagi mengukuhkan lagi sekuriti makanan dan juga bakal menyediakan peluang pekerjaan setempat bagi pembangunan ekonomi rakyat Perak.

Kedua, saranan berkenaan bukanlah lawak walaupun mungkin YB Howard dan YB Nga rasa lawak. Sejak MB menjadi Exco Kerajaan Negeri lagi, beliau giat berkempen untuk rakyat Perak mengusahakan tanaman sayur-sayuran sendiri. Pada tahun lepas, Jabatan Pertanian Perak telah membelanjakan lebih RM3 juta bagi Program Kebun Kita yang telah menyasarkan lebih 9,000 rakyat Perak. Program Kebun Kita ialah inisiatif bagi menggalakkan rakyat bercucuk tanam melalui pemberian kit tanaman dan bimbingan secara percuma.

Bahkan, MB juga memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan meneruskan Program Kebun Kita ini bagi terus menggalakkan dan membudayakan rakyat di negeri itu menanam sendiri sayuran dan buah-buahan di halaman rumah.

Ketiga, janganlah YB Howard dan YB Nga melawak. MB tiada pun cakap orang tinggal di Kondo kena tanam kangkung atau bela ayam. Sudah pastilah, logiknya saranan berkenaan adalah kepada rakyat yang tinggal di rumah bertanah. Peribahasa “berbudi kepada tanah, lambat-laun mendapat hasilnya” dan “berbudi kepada tanah, tanah tidak tipu” itu adalah warisan nenek moyang kita yang menggambarkan bahawa aktiviti pertanian pasti akan memberikan pulangan kepada kita. Hasilnya kita makan dan lebihnya boleh dijual. Bahkan budaya bercucuk tanam dan menternak haiwan ini adalah tidak asing bagi penduduk di Kampung Baru Cina.

Sebab itulah, YB Howard dan YB Nga jangan asyik pergi kondo atau banglo mewah sahaja, selalulah turun padang tengok rakyat di bawah dan sama-sama fikir apa kita boleh bantu.

Yang terakhir, kalau Pembangkang memang susah juga nak terima apa yang disarankan Kerajaan Negeri ini dan rasionalnya kepada ekonomi rakyat setempat, perkara yang sama juga pernah dicadangkan oleh NGO seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Education and Research Association for Consumers, Malaysia (ERA Consumer Malaysia). CAP misalnya pernah mencadangkan rakyat untuk tanam sayur sendiri bagi mengurangkan beban kenaikan harga makanan pada hujung tahun lepas. Bahkan CAP sendiri ada anjurkan Program dan Latihan Pertanian Asli atau Semula Jadi bagi menggalakkan orang ramai untuk berkebun.

Jadi, moh YB Howard and YB Nga, kita tanam sawi!

MUHAMAD IQBAL JAMAL JAMALUDIN
KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO
BAHAGIAN IPOH BARAT

************************************

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.