Percepat Akta Lompat Parti, Ke Arah Penambahbaikan Sistem Demokrasi Negara

TUJUAN Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022, pindaan dalam perkara 10 adalah untuk mewujudkan peruntukan yang membolehkan (enabling provision) sebagai PUNCA KUASA bagi RUU Anti Lompat Parti agar dapat dibentang secepat mungkin di Dewan yang mulia ini.

Pembuat dasar utama bagi parti saya UMNO iaitu Perhimpunan Agung UMNO pada 19 Mac 2022 telah dengan sebulat suara meluluskan usul yang berbunyi “Menggesa melaksanakan transformasi institusi politik termasuk cadangan yang diperjuangkan agar Akta Anti Lompat Parti dan Pendanaan Politik dibentangkan di Dewan Rakyat serta memperkasakan institusi Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri.”

Seawal 20 Disember 2018 dalam sebaran media sosial, saya sendiri menggesa agar kerajaan PH pada waktu itu supaya membawa Akta Anti Lompat Parti atas 3 sebab:

Pertama : Lompat mencemar demokrasi
Kedua : Lompat mengkhianati pengundi
Ketiga : Lompat melanggar etika parti

Saya turut mencadangkan pada tahun 2018, 4 perkara:

Pertama : Jika lompat maka automatik berlaku PRK
Kedua : Yang melompat tidak dibenarkan bertanding PRK itu
Ketiga : Denda kepada Ahli Parlimen melompat sejumlah dana yang dibenar ketika Pilihan Raya Umum iaitu RM200,000.00 dipulangkan kepada parti berkaitan.
Keempat : Diperingkat negeri juga wajar diadakan undang-undang ini.

Itulah cadangan saya pada 2018 dan saya ulangi pada 30 Ogos 2021, tahun lepas (sebelum MOU Kerajaan – PH pada 13 September 2021) dalam kenyataan di media sosial agar kerajaan Keluarga Malaysia ini melaksanakannya. Saya juga menyebut bahawa Malaysia akan menjadi salah satu contoh demokrasi yang terbaik jika Akta ini dibuat. Jangan cemari demokrasi mandat rakyat di negara ini dan hentikan perbuatan melompat parti.

Hari ini, 11 April 2022 adalah suatu hari yang akan tercatat dalam lembaran sejarah negara, tercatat dengan tinta emas, kerana Dewan Rakyat ini akan membawa suatu usaha besar yang pertama. Langkah seribu tapak tentu dimulakan dengan tapak yang pertama.

Kebebasan rakyat dalam Perlembagaan Malaysia/Persekutuan, Perkara 10 ialah kebebasan bercakap, berhimpun dan membentuk persatuan. Namun tiada suatu hak yang benar-benar mutlak kerana Parlimen boleh menyekat atas apa-apa sebab yang dibenarkan oleh Perlembagaan. Mahkamah telah menyatakan bahawa Parlimen boleh mengenakan sekatan yang perlu pada kadar berpatutan dan munasabah.

Parlimen boleh menyekat hak dengan menggubal undang-undang jika perlu atau sesuai bermanfaat (suaimanfaat) bagi 3 tujuan utama:

Pertama : Keselamatan negara (National security)
Kedua : Ketenteraman awam (Public order)
Ketiga : Nilai Akhlak/Prinsip Moral (Morality)

Sekatan yang dicadangkan pada hari ini adalah ditujukan hanya kepada Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

Dalam kertas undi ketika PRU dan PRN, terdapat senarai nombor, nama calon dan logo parti yang bertanding. Pengundi telah memilih dengan memangkah di tempat kosong di kanan nama dan logo parti calon yang bertanding. Jumlah undi yang terbanyak menang dalam sistem first pastthe post adalah amalan negara ini.

Maka sesiapa yang menang dengan mandat pilihan rakyat, adalah wajar berada dalam parti yang berkaitan itu.

Saya atau kita berharap agar RUU Anti Lompat Parti akan dibentangkan secepat mungkin kerana sesi libat urus telah dilaksanakan banyak kali dalam tempoh beberapa bulan yang telah berlalu. Saya kira tentu akan ditafsir maksud lompat parti seperti:

Pertama : parti politik berbeza dalam gabungan yang sama;
Kedua : parti politik berbeza dalam gabungan yang berbeza;
Ketiga : Bebas menjadi ahli politik;
Keempat : Ahli parti politik keluar menjadi bebas

Keputusan perlu dibuat dalam Jawatankuasa Pilihan Khas.

Seterusnya wajar ada pengecualian dalam tafsiran lompat parti contohnya berlaku:

Pertama : Berlaku pembubaran parti atau pembatalan pendaftaran;
Kedua : Selepas penggabungan parti asalnya dengan parti yang lain (merger of political parties)
Ketiga : Sekiranya Ahli Parlimen itu menjadi YDP Dewan Rakyat atau ADUN menjadi speaker DUN.
Keempat : Adakah jika seseorang yang dipecat daripada partinya wajar dikecualikan setelah pentafsiran dibuat contohnya di mahkamah, atau mana-mana pihak pendamai.
Kelima : Adakah Ahli Dewan Negara / Senator wajar dikecualikan?
Ada 2 kaedah perlantikan Senator iaitu perkenan SPB YDP Agong dan lantikan Dewan Undangan Negeri. Adalah dicadangkan agar Senator yang namanya dibawa oleh parti-parti politik wajar termasuk dan tidak dikecualikan dalam akta AHL (Anti Hopping Law) yang akan dibentang

Tan Sri Yang Dipertua,

Kestabilan politik negara sangat bergantung kepada kestabilan Ahli Dewan Rakyat dalam Dewan ini. Begitu juga kestabilan parti-parti politik dalam Dewan ini bergantung kepada kestabilan kedudukan ahli-ahli parti poltik dalam Dewan ini.

Oleh itu, kestabilan politik secara dasarnya akan wujud dengan pindaan Perlembagaan pada hari ini yang akan dibawa perinciannya ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Pantun
Sifat api , membakar cepat,
Terbakar padi, tidak diambil,
Jangan MP, melompat-lompat,
Negara jadi, tidak stabil.

Terbakar padi, tidak diambil,
Elok dijaga, siramlah basah,
Negara jadi, tidak stabil,
Rakyat juga, menjadi susah.

Terima kasih, Tuan Speaker.


DATUK SERI AHMAD MASLAN
AHLI PARLIMEN PONTIAN

(11 APRIL 2022)

* Ucapan ketika membahaskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 di Dewan Rakyat

*********************************

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.