Pengguna Dan Peniaga Sama-sama Terkesan Akibat Kenaikan Harga Ayam

PENIAGA merintih sukar mematuhi harga siling ayam ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Mereka mendakwa mendapat bekalan ayam pada harga hampir menyamai paras siling ditetapkan iaitu RM8.90 sekilogram.

Justeru, bagaimana mereka mampu mendapat keuntungan jika masih menjual ayam pada RM8.90 sekilogram di pasaran.

Akibatnya sebilangan peniaga bertindak menjual ayam melebihi paras siling dan dikenakan tindakan oleh penguat kuasa.

Kita hairan jika dakwaan peniaga itu benar kerana langkah untuk menstabilkan harga ayam di pasaran pernah diumumkan.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan misalnya memberi subsidi kepada penternak ayam sebanyak 60 sen setiap kilogram.

Ia dikatakan bagi membantu kenaikan kos makanan jagung dan soya yang merangkumi 70 peratus kos penternakan ayam.

Begitu juga permit import ayam bulat dibuka kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP) bagi mengimport ayam.

Namun selepas segala pengumuman itu, peniaga masih mendakwa menerima bekalan ayam pada harga yang tinggi.

Jika begitu apakah impak positif daripada pemberian subsidi dan kebenaran mengimport ayam diberikan kepada syarikat tertentu?

Barangkali ada aspek tertentu daripada peringkat penternakan sehingga ke peringkat penjualan pihak berwajib terlepas pandang.

Peringkat tertentu yang menyebabkan harga ayam masih belum dapat distabilkan dan impaknya sehingga ke peringkat pengguna.

Walau apapun yang pasti pengguna dan peniaga sama-sama terkesan akibat kenaikan harga ayam ini.

Bagi pengguna kenaikan harga barang secara langsung telah meningkatkan kos sara hidup mereka.

Keadaan ekonomi belum cukup stabil akibat kesan pandemik telah menambah beban perbelanjaan harian orang ramai.

Peniaga yang baru mahu ‘bernafas’ semula ketika negera beralih ke fasa endemik terkesan apabila margin keuntungan berkurangan.

Jika dijual pada harga lebih tinggi orang tidak beli. Jualan merosot sekiranya pengguna mengurangkan perbelanjaan.

Kita sokong pengeluaran makanan ternakan atau dedak alternatif dalam negara untuk turunkan harga ayam bagi jangka masa panjang.

Bagaimanapun dalam keadaan negara masih bergantung kepada import perlu ada penyelesaian jangka masa pendek yang konkrit.

Begitu juga dakwaan isu ‘orang tengah’ dan manipulasi bekalan untuk menetapkan harga tinggi perlu diteliti sebaik mungkin.

Jangan pula dipersoalkan ramai makan ayam kerana purata keperluan ayam 2.09 juta ayam sehari atau 62.9 juta sebulan.

Hujah sebegitu langsung tidak membantu berdepan isu sebenar dan sekadar mengundang ‘riwayat’ Bangau Oh Bangau.

 

DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI

Presiden UMNO

Ahli Parlimen Bagan Datuk

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.