Pasca Perhimpunan Agung UMNO: Masa Bekerja, Berkhidmat… Terus Bersama Rakyat Pulihkan Negara

SELEPAS dua minggu Perhimpunan Agung UMNO 2021 melabuhkan tirai, para pemimpin parti termasuk perwakilan mula bekerja dengan memikul amanah sebagaimana harapan untuk melihat UMNO kembali menerajui pentadbiran negara.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hingga kini ternyata terlalu banyak peristiwa yang telah menjadi penilaian dan perbandingan bukan hanya dikalangan anggota UMNO atau parti-parti politik, malah rakyat keseluruhan termasuk yang sebelum ini enggan endah situasi semasa mula ‘membuka mata’ dan ‘menajamkan minda’ demi masa depan negara tercinta.

Bermula peralihan kerajaan baharu yang hanya bertahan 22 bulan dengan pengisian penuh dendam kesumat pada Barisan Nasional (BN) dan kepimpinannya, tanpa ada usaha untuk melakukan pentadbiran lebih baik atau setidak-tidaknya mengekalkan kecemerlangan kerajaan BN, diikuti Perikatan Naional (PN) yang cacamarba.

Sungguh, Pakatan Harapan (PH) tumbang dari teraju kepimpinan negara akibat kedangkalan sendiri, bukan kerana UMNO/BN.

Kemudian sokongan UMNO/BN kepada PN dilaksana atas kepentingan rakyat dan negara namun madu yang disuap dibalas dengan tuba, kepimpinan yang dinaikkan telah secara senyap laksana gerakan untuk menguburkan UMNO….

Sememangnya tidak semudah itu malah UMNO telah mendepani pelbagai gelombang krisis lebih tujuh dasawarsa dan kelancaran perjalanan persidangan UMNO selama empat hari pertengahan Mac lalu adalah bukti bahawa UMNO parti akar umbi, sokongan dari segenap pelusuk negara mengangkat martabat demi mengekalkan cita-cita Kebangsaan untuk maruah agama, bangsa, negara.

Kejayaan Perhimpunan Agung UMNO 2021 menutup pelbagai kemelut dan persoalan berkaitan dakwaan ‘top 5’ UMNO tak sealiran sebaliknya kesepakatan diaplikasi dalam diam kerana gerak tak perlu diwara-wara serata alam sebaliknya hasil yang mesti dicapai adalah keutamaan.

Ternyata nakhoda tak perlu banyak bicara kerana tingkah Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan tentunya dibuat terbaik bagi keutamaan UMNO, ahli-ahli dan rakyat keseluruhannya.

Kini April, dalam bulan baharu membuka ruang seluas-luasnya kepada rakyat dengan pentadbiran kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO.

Keperitan, kesusahan dan pelbagai rasa yang sebelum ini menyelubungi hidup rakyat diharapkan akan berakhir dengan keupayaan yang dianggap munculnya cahaya di hujung terowong yang kelam.

Negara kini dalam Fasa Peralihan Ke Endemik selepas lebih dua tahun berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19.

Sungguh pandemik ini amat menekan dan memeritkan namun lebih derita apabila pentadbiran kerajaan ketika itu di bawah PN hanya bertindak mengurung rakyat selain minda ditanam rasa takut untuk keluar sedangkan di rumah ada mulut perlu disuap dan ada perut mesti diisi.

Lebih bermakna, 1 April bukan hanya fasa endemik yang ditunggu bagi membolehkan pelbagai aktiviti dilakukan tetapi juga tarikh permohonan pengeluaran khas RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang amat melegakan.

Biarpun ada pepatah mengatakan wang bukan segala-galanya namun dalam keadaan kini terbukti segala-galanya perlukan wang.

Inilah permulaan dengan anak-anak telah bersekolah seperti biasa yang menjadikan pelbagai kelengkapan perlu dipenuhi, Ramadan pun menjelma dengan gambaran hari raya yang sudah dua tahun tak dirai sangat didamba, termasuk para usahawan yang bakal kembali merancakkan perniagaan hasil wang KWSP sebagai modal permulaan.

Tidak ketinggalan mangsa musibah banjir penghujung tahun lalu yang kebanyakannya masih ‘sengsara’ dengan kenderaan tersadai di bengkel dan kediaman atau premis perniagaan perlu dibaik pulih.

Kepimpinan ditunjangi UMNO melaksana sehabis baik, bukan hanya merancang dan pandai berkata-kata sepertimana dihujahkan dalam Perhimpunan Agung UMNO. Kepimpinan parti tidak duduk diam sebaik sahaja selesai persidangan tetapi mula bekerja sebagaimana Presiden UMNO mengadakan pertemuan dengan duta-duta asing dalam negara sedang pula sekarang ini Perdana Menteri dari UMNO berkeliling ke negara Timur Tengah dan negara-negara jiran.

Hal ini bukan saja-saja ‘makan angin’ atau meminta hutang sebagaimana pernah dilakukan kepimpinan PH ketika melawat Negara Matahari Terbit, tetapi misi Ismail Sabri sebagai ketua kerajaan kini melaksanakan jalinan erat dengan negara luar, pulihkan hubungan diplomatik dan pelaburan antarabangsa ditarik untuk kembali ke Malaysia.

Antara buktinya, Ismail Sabri sendiri telah menyaksikan majlis pemeteraian dan pertukaran lapan memorandum di antara syarikat Malaysia dengan rakan perniagaan antarabangsa dalam lawatannya ke Dubai beberapa hari lalu.

Memanglah dalam misi PM ini turut disertai oleh menteri-menteri dari parti ‘bunga’ dan lain-lain kerana itu adalah antara protokol kerajaan yang kita hormati tetapi zaman PH pun menteri-menteri ini kerap juga ke luar negara namun hasilnya tidak pernah ada sebaliknya pelabur yang lari dari Malaysia.

Eh, ada yang bertanya mana Duta Khas ke Timur Tengah yang dilantik zaman PN … jawabnya entah kerana tentunya kematangan pentadbiran UMNO/BN enggan endah hal remeh-temeh tapi fokus demi rakyat dan negara.

Apa yang pasti, pasca siri Pilihan Raya Kecil (PRK), siri Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Perhimpunan Agung UMNO 2021, adalah ruang terbaik untuk kepimpinan dan ahli-ahli UMNO membuktikan bahawa laungan demi rakyat bukan retorik, janji dijadikan realiti dan kesediaan berkhidmat bukan cakap kosong.

UMNO kekal ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ dan BN tetap ‘Kata Dikota Janji Dilaksana’ dengan usaha untuk memberikan kejayaan kepada negara dalam aspek pelaburan, perdagangan dan peluang perniagaan demi pulangan kepada rakyat keseluruhan.

EDITOR UMNO ONLINE
Ropikah Ahmad

***********************************

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.