Perwakilan Mahu Orang Muda Terus Diberi Peluang, Pastikan Sasaran Remajakan UMNO Tercapai

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Beberapa perwakilan muda UMNO hari ini mahu parti itu terus memberi peluang kepada anak muda untuk memastikan sasaran meremajakan parti terlaksana.

Malah ada antara mereka memberi jaminan akan berusaha menarik sokongan golongan muda demi memberi kemenangan kepada UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

‘’Insya-Allah jika PRU 15 ini, ayahanda presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) beri 50 kerusi sekali pun untuk Pemuda…kita janji dan jamin kita akan menangkan kesemua kerusi itu,” kata Wakil Pergerakan Pemuda Melaka Dr Muhammad Akmal Saleh.

‘’Kalau sebelum ini, jarang nak tengok calon Pemuda lebih daripada seorang (bertanding di satu-satu kawasan pilihan raya), tetapi di bawah pimpinan presiden hari ini, bukan seorang…bukan juga dua tetapi empat (kerusi) diberikan kepada Pemuda (UMNO) di PRN Melaka dan lima di (PRN) Johor dan Alhamdulilah semua kerusi kita menang,’’ katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di sini hari ini.

Sementara itu, perwakilan Mahasiswa UMNO Wan Muhammad Zuhir Ghazali berkata calon-calon muda yang berpotensi harus terus diketengahkan bagi menzahirkan prinsip peremajaan UMNO.

“Calon-calon muda yang berpotensi harus kita angkat. Calon-calon yang berupaya dan berimej bersih harus kita julang. Representasi dan partisipasi calon muda hari ini bukan lagi fatamorgana ciptaan semata-mata.

“Di (pilihan raya negeri) Melaka dan Johor adalah saksi hidup, bagaimana calon muda boleh menang di kerusi ‘keras’. Bagaimana calon yang berkredibliti yang dijadikan “poster boy of Johor” begitu mendapat sambutan yang luar biasa,” katanya.

Beliau berkata UMNO perlu membawa pembaharuan merangkumi tawaran, tindakan dan pendekatan baharu untuk menenangi hati golongan muda sekali gus mampu meremajakan parti itu khususnya menarik sokongan Undi 18.

Sementara itu, perwakilan dari Terengganu Bazlan Abd Rahman berkata UMNO mesti merangka tawaran baharu kepada golongan muda bagi meyakinkan mereka terus bersama-sama parti itu.

Bazlan berkata keperluan golongan muda mesti diurus secara holistik dan konsisten, bukan hanya semata-mata untuk tujuan pilihan raya.

“Pada PRU ke 15 nanti, dijangka 22.7 juta layak mengundi. Daripada jumlah itu seramai 5.6 juta ialah pemilih kali pertama…1.2 juta daripada mereka berusia sekitar 18 hingga 20 tahun.

“Bagaimana kita mahu memastikan mereka ini menyokong UMNO. Apakah rancangan kita? Apakah tawaran kita? Apakah peluang mereka nanti dalam bidang pendidikan, peluang pekerjaan, perumahan dan segala bentuk kebajikan mereka,” katanya.

Sementara itu, wakil Kelab UMNO Luar Negara Haziq Hafiz Himas meminta UMNO untuk lebih proaktif dalam menyuburkan semangat dan kecintaan untuk membina negara yang lebih baik bersama parti.

“Jangan pernah disia-siakan peluang ini , jangan pernah untuk kita leka lagi. Sebelum parti politik lain ambil kesempatan, lebih baik kita mengawal keadaan. UMNO perlu segera memburu bakat-bakat berkualiti ini sebelum mereka beralih angin ternoda dengan fitnah dan penipuan puak pembangkang,” katanya.

Tegasnya, ini kerana banyak pengundi termasuk mahasiswa berada di luar negara dan boleh dipikat mana-mana pihak termasuk pembangkang. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.