Jangan Jadi Ejen Pecahkan ‘Permata’ Kita – Zawawi


KUALA LUMPUR, 20 Mac – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan Datuk Zawawi Othman atau mesra dengan gelaran Cikgu Wi menyeru semua ahli parti agar jangan menjadi ejen pihak lawan untuk memecah-belahkan barisan kepimpinan tertinggi parti.

Kata Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh itu, barisan kepimpinan pusat yang terdiri daripada Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden selayaknya digelar ‘permata’ parti.

Ini termasuk juga katanya kepada bekas Presiden Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak atau sekarang yang popular dengan gelaran Bossku sebagai ‘ibu permata’.

“Atas ini ‘permata’. Presiden, Timbalan Presiden, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden dan dua lagi Naib Presiden adalah ‘permata’ kita. Ditambah lagi dengan ‘ibu permata’ kita iaitu Bossku. Inilah ‘permata’ kita, jangan kita pecah-pecahkan ‘permata’ kita ini.

“Satukanlah ‘permata’ kita. Jangan ada suara-suara yang memecahkannya. Jangan jadi ejen Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin-Presiden PPBM) di dalam dewan ini. Siapa makan lada dia rasa pedas.

“Duduk sekali berbincang dengan elok. Bersatulah kamu untuk kami berpadu. Buatlah yang terbaik untuk kebahagian kita. Bersatunya anda bersatulah kita, berpecahnya anda marahnya kita,” katanya ketika sesi perbahasan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) semalam.

Dalam perbahasannya, Zawawi juga mengulas walaupun parti digelar dengan pelbagai gelaran seperti itik patah kaki, sudah rosak dan sebagainya, pimpinan UMNO pusat tidak pernah membalasnya dengan cercaan.

“Saya tidak pernah mendengar pemimpin kita, Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, Bossku… tak pernah kata apa pun, tak pernah pun menghina pemimpin Pas, tidak pernah menghina Pas.

“Presiden kita tak pernah kata Haji Hadi (Tan Sri Abdul Hadi Awang) gini-gini, tidak ada kenyataan dalam FB (Facebook), tidak ada kenyataan dalam akhbar-akhbar, tidak ada dari Timbalan Presiden, tiada ada dari Naib-naib dan Ketua-ketua sayap kita yang mengatakan Pas gitu-gini takde,” tegasnya lagi.

Rentetan beberapa isu, UMNO Kelantan katanya tidak menolak Pas di Kelantan tetapi menolak pemimpin-pemimpin Pas yang bermulut celupar yang tidak ada ada pegangan dalam sesuatu perkara.

Justeru katanya, UMNO Kelantan telah membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan Pas dan akan bertanding di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 14 Parlimen di negeri tersebut.

“Kita hendak melihat UMNO kembali, selama 32 tahun Kelantan di bawah Pas. Kali ini insya-Allah di bawah Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub Kelantan akan dapat kita rampas,” katanya lagi.

Cikgu Wi juga berkata UMNO Kelantan tidak mendesak untuk membubarkan Parlimen tetapi ia hendaklah berlaku sebelum pemilihan parti. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.