Ahmad Maslan Rakam Penghargaan, Terima Kasih Jayakan PAU 2021

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan merakamkan ucapan penghargaan dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat khususnya 5,542 perwakilan serta para pemerhati yang telah hadir dalam menjayakan Perhimpunan Agung UMNO 2021.

Persidangan yang berlangsung selama empat hari bermula Rabu telah melabuhkan tirai dengan perjalanan PAU 2021 berlangsung lancar.

“Terima kasih setulusnya kepada 5,542 perwakilan dan banyak ribuan lagi pemerhati yang hadir dalam empat hari PAU 2021 termasuk tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Terima kasih banyak kepada Datuk Seri Presiden, Datuk Seri Timbalan, Datuk Seri PM, Naib-naib, Bendahari, Ketua-ketua sayap, Ahli MKT dan semua yang telah memberi kepercayaan kepada kami di Ibu Pejabat UMNO untuk mengurus pertemuan tahunan paling penting dan paling besar kepada bangsa Melayu/Bumiputera di Malaysia,” katanya dalam kenyataan kepada UMNO Online.

Ujarnya, banyak perkara terlibat dalam menguruskan Perhimpunan Agung UMNO malah berbulan-bulan masa diambil yang melibatkan ratusan kakitangan terlibat.

“Ditambah cabaran kerana kesibukan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Walaupun demikian, syukur Alhamdulillah, semua telah selesai dengan baik.

“Saya bersama kepimpinan UMNO memohon maaf jika terdapat sebarang kekurangan. Yang baik datangnya daripada Allah dan yang tidak baik daripada kami yang telah pun berusaha sehabis baik.

“Selamat pulang ke destinasi masing-masing dengan selamat. Moga UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang besar dalam PRU15, Insya-Allah.”

Dilaporkan. perhimpunan kali ini disertai perwakilan secara bersemuka sepenuhnya selepas menggunakan kaedah hidrid tahun lepas manakala pada tahun sebelumnya tidak diadakan berikutan pandemik COVID-19. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.