Kelab UMNO Platform Terbaik Mahasiswa Tanam Semangat Cintakan Negara

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Mahasiswa luar negara, Haziq Hafiz Himas berkata Kelab UMNO Luar Negara merupakan antara platform yang releven dalam melahirkan pemimpin masa depan negara.

Jelasnya ia sebagai salah sebuah badan yang membantu mahasiswa di luar negara agar dapat menyemaikan kecintaan pada negara lebih baik.

“Sebagai satu-satunya pertubuhan pelajar di luar negara di bawah naungan parti politik, kita harus bertindak proaktif dalam menjadi sebuah badan menaungi mahasiswa di luar negara agar mereka ini dapat kita suburkan semangat dan kecintaan untuk membina negara yang lebih baik bersama UMNO.

“Jangan kita lupa… banyak pengundi yang berada di luar negara. Bayangkan kalau mereka ini semua termakan dengan racun yang disuapkan oleh pihak-pihak pembangkang. Bimbang… kalau kita leka memikat hati pengundi-pengundi ini, orang lain yang akan pinang mereka dahulu.

“Jangan pernah disia-siakan peluang ini… jangan pernah untuk kita leka lagi sebelum parti politik lain ambil kesempatan dan lebih baik kita mengawal keadaan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Kelab UMNO Medan berharap agar UMNO dapat mencari bakat berkualiti khususnya dari mahasiswa sebelum diambil oleh pihak pembangkang.

“UMNO perlu segera memburu bakat-bakat berkualiti ini sebelum mereka beralih angin ternoda dengan fitnah dan penipuan puak pembangkang,” ujarnya.

Tambahnya lagi agar UMNO akan terus mekar dan diterima baik semua golongan termasuk anak muda.

“Masa depan yang kami impikan untuk UMNO adalah agar dapat bersatu tenaga tanpa mengira biro, kem mahupun identiti untuk membina UMNO yang lebih baik untuk anak muda.

“Segala bentuk sokongan dan dorongan kami terima seadanya. Tak kiralah masa, tenaga, wang ringgit atau kepakaran semua itu sangat bernilai buat kami dalam mengukuhkan kembali kedudukan dan legasi UMNO Luar Negara seperti dahulu kala,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.