Pemilihan Parti UMNO Ditangguh Enam Bulan Selepas PRU – Mohamad

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Perhimpunan Agung UMNO 2021 meluluskan usul supaya pemilihan parti ditangguh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan, kata Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan parti berkata perkara yang hangat dibangkitkan dalam parti sejak akhir-akhir ini telah selesai dan meminta Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan segera memaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung perkara itu.

“Usul sudah diluluskan, setiausaha buat memo, ikut usul itu, pemilihan parti diadakan dalam masa enam bulan selepas PRU, kita tidak mahu perpecahan dalam parti, jangan pandang ringan, pertahankanlah martabat UMNO.

Saya juga minta Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) tolong perhatikan hal ini, kalau kita tulis pada RoS jangan ada orang yang halang keputusan parti kita,” katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2021 di sini hari ini.

Pemilihan UMNO dijadual diadakan selewat-lewatnya Disember ini selepas ditangguh pada tahun lepas berikutan pandemik COVID-19.

Mohamad berkata perkara yang membimbangkan sekiranya pemilihan diadakan sebelum pilihan raya adalah perpecahan akan berlaku dalam parti.

“Sejarah menunjukkan jelas bahawa setiap kali ada pemilihan parti, perpecahan akan berlaku, kita jangan menidakkan ini, kita tidak mahu parti dalam keadaan yang dah baik ini bergeseran antara satu sama lain dan berpecah belah,” katanya.

Mohamad berkata perpaduan parti merupakan perkara penting untuk UMNO dan Barisan Nasional memenangi pilihan raya umum.

Sehubungan itu, beliau berkata semua pihak dalam parti perlu berwaspada dengan pengumuman parti pembangkang yang sentiasa mempunyai strategi untuk menghadapi pilihan raya umum.

“Semalam Tun Dr Mahathir Mohamad menyebut bahawa mereka akan cuba bergabung dengan parti pembangkang lain, jangan kita tunggu lama sehinga mereka bergabung.

Walaupun BN menang bergaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, kalau kita lihat ia kerana mereka (pembangkang) berpecah,” katanya.

Beliau berkata tidak mustahil semua parti pembangkang bergabung semula dalam satu pasukan yang besar pada PRU15. – BERNAMA