UMNO Garis Lima Teras Demi Kelestarian Politik Negara – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Pemulihan ekonomi antara lima teras utama yang digariskan UMNO sebagai agenda parti itu bagi melestarikan politik negara, kata Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Berucap di hadapan kira-kira 2,680 perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO hari ini, Ahmad Zahid berkata teras kedua pula melibatkan peluang pekerjaan termasuk mewujudkan jawatankuasa khas hal ehwal pekerjaan negara melibatkan anak-anak muda negara.

“Teras ketiga pula berkaitan melahirkan lebih ramai usahawan berwibawa antaranya mempermudahkan proses pinjaman kredit kepada usahawan baharu dengan melonggarkan syarat-syarat pinjaman.

“Teras keempat pula meneruskan agenda integrasi pendidikan supaya soal duniawi dan ukhrawi bergerak seiring manakala teras kelima pula adalah reformasi agenda rakyat satu keperluan agar keyakinan rakyat kepada kerajaan dapat dipulihkan,” katanya berucap merasmikan perhimpunan itu di sini.

“Justeru, perhimpunan agung ini wajib mendengar suara akar umbi yang meminta agar mandat baharu diperoleh melalui PRU15. Janganlah guruh berdentum dan kilat sabung-menyabung, namun tidak setitis pun hujan jatuh ke bumi.

“Untuk itu, saya mengharapkan agar kita kembali kepada rakyat. Serahkan semula kepada mereka. Berilah mandat baharu kepada UMNO. Ketika orang sayang kita, sambutlah kasih sayang mereka. Jangan ditagih kasih itu selepas ia hilang. Makin bertangguh, makin melaratlah rakyat, makin rosaklah negara,” katanya.

Menyentuh mengenai memorandum persefahaman (MoU) politik yang dimeterai kerajaan dan pembangkang, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bagaimanapun menasihati ia berkemungkinan satu strategi lawan untuk melemahkan parti.

Beliau berkata UMNO perlu sedar bahawa lawan-lawan itu tidak pernah berhenti daripada berusaha untuk menghancurkan parti.

“Apabila mereka bersetuju untuk menandatangani memorandum persefahaman, ia bererti mereka ada muslihat tertentu. Saya percaya, mereka menerima kita, kerana mereka tahu itulah cara mereka boleh membunuh kita.

“Actually they never love us. Bacalah perlembagaan setiap parti lawan kita. Sedarlah! Berhati-hati. Mereka menyimpan belati dalam selimut kita. Apakah kita mahu menyambung MoU itu lagi?,” katanya.

Ahmad Zahid berkata justeru parti menyerahkan hal itu kepada kebijaksanaan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membuat keputusan berkaitan hala tuju MoU berkenaan.

UMNO sebagai parti yang menjunjung Perlembagaan negara turut memahami bahawa kuasa untuk membubarkan Parlimen adalah keputusan Perdana Menteri.

“Beliau (Perdana Menteri) yang akan berurusan dengan memohon perkenan kepada Yang di-Pertuan Agong. Kita tidak mahu mengganggu urusan itu. Tetapi, UMNO sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab, kita ada kuasa untuk menentukan arah tuju parti kita sendiri,” katanya.

Terdahulu, perhimpunan meluluskan usul pelantikan Pengerusi Tetap Wanita UMNO Datuk Saripah Aminah Syed Mohamad, bagi membantu Pengerusi Tetap UMNO Tan Sri Badruddin Amiruldin mengendalikan persidangan.

Saripah Aminah dilantik bagi menggantikan Datuk Seri Rizuan Abd Hamid yang meninggal dunia pada Mei lepas akibat COVID-19. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.