Berapa Kali Nak UMNO Jatuh? Bangkit Kembali Dan Bina Sejarah Baharu – Shukri Shamsudin
KUALA LUMPUR, 18 Mac – Pembahas wakil Negeri Sembilan, Mohd Shukri Samsudin berharap ahli-ahli UMNO dapat belajar dari sejarah apabila UMNO kalah pada pilihan raya.
Tegasnya, nama UMNO sudah tercalar dan tercatat dalam buku sejarah bahawa UMNO tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Saya hendak semua pemimpin di atas, di bawah mahupun di bahagian-bahagian belajar dari sejarah. Sampai bila hendak jatuh dan berapa kali UMNO hendak jatuh. Berapa lagi hendak kalah pada pilihan raya sama ada PRU dan Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas PRU lalu.
“Hari ini kita Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub dari UMNO. Ada yang hina Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan tidak yakin pada Presiden UMNO tapi…kehebatan Presiden UMNO pun Perdana Menteri dapat dari UMNO. Kalau Presiden tidak menarik sokongan dapatkah Naib Presiden menjadi Perdana Menteri…sudah pasti tidak dapat dan jawatan itu akan terus pada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Takkan nak ulang benda yang sama… orang yang tidak pernah belajar daripada sejarah akan dihukum mengulangi sejarahnya berkali- kali,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Dewan Merdeka, di sini.
Oleh kerana itu katanya, berhentilah dari berbalah dan fokus kepada kekuatan dan perpaduan di kalangan ahli.
“Kita tautkan barisan, kuatkan perpaduan, menangkan pilihan raya ini dan pastikan UMNO kembali berkuasa.
“Saya minta kalau boleh jangan berkelahi kalau boleh pemilihan… itu pemilihan punya cerita. Sekarang pembangkang di luar sana mereka sedang takut kerana UMNO akan mengadakan pilihan raya dan sebab itu para pengkhianat pun takut hendak buat pilihan raya dan pejuang-pejuang UMNO tidak sabar pilihan raya serta mahu pastikan UMNO kembali berkuasa.
“Kali ini mari kita buat sejarah yang baharu, buka lembaran yang baharu, biar sejarah menceritakan kepada anak cucu kita bahawa UMNO kembali berjaya bangkit kembali dengan majoriti lebih besar pada pilihan raya kali ini,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau menasihati pada ahli UMNO agar memperbetulkan niat apabila memasuki UMNO dan memperjuangkannya.
“Marilah sama-sama perbetulkan ‘nawaitu’ perjuangan ahli UMNO. Benda ini kecil tapi suduh lama tidak betulkan. Sebab itu kena perbetulkan nawaitu perjuangan UMNO supaya mendapat keredaan dari Allah SWT,” tegasnya lagi.
Tegasnya lagi, maka fikirkan masa depan anak-anak, bangsa, agama yang perlu lebih dan banyak lagi pembelaan dan sebab itu kena betulkan nawaitu supaya perjuangan dalam UMNO diberkati oleh Allah SWT. – UMNO Online
Oleh: Amin Adnan