Wanita UMNO Dikenali, Disegani Kawan Dan Lawan – Jumaeah

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Wakil Wanita UMNO dari Selangor, Jumaeah Masdi berpandangan Wanita memainkan peranan yang tersendiri sebagai tulang belakang parti keramat ini.

Katanya, tidak mengambil kira ancaman dihadapan Wanita sentiasa komited dan konsisten dalam menghulurkan politik khidmat bakti kepada rakyat.

“Wanita UMNO sememangnya sudah cukup dikenali dan disegani masyarakat sama ada kawan atau lawan. Sebut saja apa kebaikan yang Wanita tak pernah buat? Kita ada Skuad Sayang yang betul-betul penyayang.

“Tak kira situasi atau cabaran pasti akan hadir membantu. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banjir, ribut taufan, asal diberitahu sahaja pasti berbondong-bondong sampai. Bukan dengan tangan kosong kita datang tapi penuh Hilux dan lori dengan barang bantuan.

“Ada bajet atau tidak, sikit mahupun banyak, kita pasti sampai dulu bersama semangat dan tanggungjawab! Saya juga mengambil kesempatan ucapan ribuan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang membantu Shah Alam ketika menghadapi musibah banjir,” katanya

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Shah Alam berkata demikian dalam sesi perbahasan pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini.

Jumaeah malah menambah kejayaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor pada tempoh hari juga memberikan signifikan yang tersendiri buat parti ini.

“Tahniah diucapkan kepada Melaka dan Johor atas kejayaan di PRN lalu… bayangkanlah jika wanita tiada di PRN….bayangkanlah juga jika di masa itu kita bukan sebahagian dari kerajaan.

“Siapa kita? Siapa kita ye…kitalah Wanita UMNO Malaysia. Dulu, kini dan selamanya kita tetap akan menjadi benteng parti, sentiasa bersedia demi kestabilan dan kemakmuran negara!

“Kita juga tidak pernah menolak setiap kali diarahkan turun ke medan juang. Kita pasti akan sahut setiap seruan daripada pucuk pimpinan. Asal ada sahaja PRK atau PRN, kita pasti menjadi yang terawal datang dan set-up markas perang untuk parti dan jentera,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.