UMNO Tidak Melihat Kuasa Semata-Mata, Tetapi Perjuangan Untuk Rakyat – Mohd Zaidi

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Pembahas Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata UMNO tidak melihat faktor kuasa semata-mata biarpun mencapai kejayaan cemerlang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan terbaru di Johor.

Menurut beliau jika melihat kepada senario berkenaan, rakyat telah mula memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) setelah menyesal dengan segala kepercayaan yang diberikan pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

“Jika dilihat daripada trend Pilihan Raya Negeri di Melaka dan Johor, rakyat sudah mula kembali memberi kepercayaan kepada BN. Benarlah kata rakyat di kedai kopi, mereka menyesal. Kerana selepas PRU-14 yang lalu, barulah mereka sedar hanya UMNO dan BN sahajalah yang mampu menjadi pentadbir kerajaan yang baik.

“Ya. Oleh kerana itu, mulalah ramai yang mendesak supaya Parlimen dibubarkan. Mereka mahukan Pilihan Raya Umum diadakan secepat mungkin. Sama juga seperti saya. Saya juga mahukan Pilihan Raya Umum diadakan secepat mungkin. Kerana saya yakin, kita mampu menang besar berdasarkan momentum yang ditunjukkan.

“Namun, UMNO ini bukanlah parti yang hanya melihat kepada kuasa semata-mata. Tetapi kita adalah parti perjuangan. Perjuangan untuk agama, bangsa dan negara adalah keutamaan. Selepas habis sahaja tempoh perjanjian persefahaman (MoU) yang tidak membenarkan kerajaan membubar Parlimen sebelum 31 Julai 2022, maka kita bubarlah Parlimen selepas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Pemuda UMNO Negeri Sembilan pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya mengingatkan agar soal berkenaan dibincangkan di peringkat tertinggi dan mengekalkan prinsip.

“Kerajaan pula, janganlah terima tawaran mereka daripada Dap supaya MoU siri kedua ditandatangani. Kita kekalkan prinsip. Selepas Julai, kita pertimbangkanlah untuk adakah PRU segera. Itu desakan kami.

“Kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bincanglah elok-elok dengan Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Jika boleh, kami ingin mencadangkan supaya pembubaran Parlimen dicadangkan oleh Majlis Kerja Tertinggi parti untuk diangkat oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri selaras dengan kuasa yang diberikan kepada beliau di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Lakukanlah secara harmoni. Kerana akhirnya masing-masing mempunyai objektif sama iaitu mahu pastikan parti kita iaitu UMNO dan BN kembali ke Putrajaya sekali gus menabur khidmat bakti yang baik kepada rakyat,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.