Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO – Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2021

UCAPAN DASAR DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
KETUA WANITA UMNO MALAYSIA
SEMPENA
PERHIMPUNAN AGUNG UMNO WANITA UMNO MALAYSIA 2021
“WANITA PENERAJU KEBANGKITAN”
16 MAC 2022

DEWAN MERDEKA, PWTC
*************************************************************************
BismillahirRahmanirRahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Perjuangan,

SALUTASI

Yang Berbahagia Dato’ Saripah Aminah Syed Mohamad,
Pengerusi Tetap Wanita UMNO Malaysia;

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob,
Naib Presiden UMNO Malaysia

Yang Berhormat Datuk Seri Diraja Mahdzir Khalid,
Naib Presiden UMNO Malaysia;

Yang Berbahagia Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin,
Naib Presiden UMNO Malaysia;

Yang Berhormat Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan,
Setiausaha Agung UMNO Malaysia;

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Azizah Johor,
Timbalan Pengerusi Tetap Wanita UMNO Malaysia;

Yang Berbahagia Datuk Norliza binti Abdul Rahim,
Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia;

Yang Berhormat Datuk Rosni Sohar,
Setiausaha Wanita UMNO Malaysia;

Yang Berbahagia Datin Maizatuk Akmam binti Haji Alawi @ Ad. Badawi,
Bendahari Wanita UMNO Malaysia;

Yang Berbahagia Datuk Norshida Ibrahim,
Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia;

Barisan Pegawai, Exco-Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia;

Wakil-wakil Ahli Majlis Kerja Tertinggi ke Perhimpunan Agung Wanita UMNO;

Yang Berhormat Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican;

Yang Berbahagia Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir;

Yang Berbahagia Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii;

Para perwakilan yang saya kasihi sekalian,

Saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran,

Yang Berbahagia Datuk Heng Seai Kie,
Ketua Wanita MCA;

Yang Berbahagia Datuk Mohana Muniandy,
Ketua Wanita MIC;

Yang Berusaha Puan Zainon Kayum,
Ketua Wanita PBRS;

Dan Ketua-ketua Friends of UMNO dan Barisan Nasional, dari KIMMA, IPF dan Makkal Sakti.

Terima kasih, atas kesudian meluangkan masa untuk bersama-sama kami di pagi ini. Kami Wanita UMNO amat menghargainya.

Tuan-tuan dan puan-puan, wakil-wakil media, serta hadirin, hadirat yang saya hormati sekalian.

PENDAHULUAN

1. Alhamdulillah, pada hari yang penuh bermakna ini, kita bersyukur kerana diberi keizinan oleh-Nya, dapat bersama-sama memenuhi kehendak perlembagaan parti menjayakan perhimpunan yang penuh bermakna kepada agama, bangsa dan negara ini.

2. Kita doakan mudah-mudahan, majlis perhimpunan kita ini dan penangguhannya beberapa hari lagi, akan dirahmati, dan menjadi suntikan semangat untuk Wanita UMNO terus berjuang demi mengangkat kemuliaan bangsa serta negara Malaysia tercinta.

3. Saya ingin mengalu-alukan kehadiran sembilan ratus lima puluh empat (954) perwakilan Wanita dari seratus sembilan puluh satu (191) bahagian, yang mewakili dua puluh ribu tiga ratus tujuh puluh (20,370) cawangan Wanita UMNO, yang hadir pada hari ini mewakili suara akar umbi dari seluruh Negara.

4. Sedar tak sedar, Perhimpunan Agung UMNO sudah memasuki kali Ke-71. Alhamdulillah, jika tahun lepas, kita hanya berhimpun secara hibrid sahaja. Tetapi hari ini, kita bersyukur diberi keizinan untuk bersama-sama hadir memeriahkan Dewan Merdeka yang penuh keramat ini.

5. Gunakanlah kesempatan ini untuk sama-sama memberi pandangan, pendapat dan berbahas demi kelangsungan masa depan parti. Jadikanlah perhimpunan kali ini tempat kita mengukuhkan ukhwah dan tali persahabatan, mencari titik-titik persamaan, dan bukannya medan melebarkan jurang perbezaan sesama kita.

6. Marilah kita sama-sama manfaatkan Perhimpunan Agung ini sebagai wadah perbahasan, membentangkan denyut nadi, hati nurani rakyat, bukannya nafsu politik peribadi.

KEMENANGAN PRN JOHOR

Puan-puan sidang perwakilan yang dihormati sekalian,

7. Sebelum meneruskan ucapan dasar ini, saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Allah dan jutaan tahniah serta terima kasih kepada Bangsa Johor yang telah memberi kepercayaan kepada UMNO dan Barisan Nasional untuk terus menerajui kepimpinan negeri.

8. Alhamdulillah, pada Sabtu lalu, setelah kita berjuang hampir satu bulan di bumi Johor Darul Takzim, akhirnya pada malam tanggal 12 Mac 2022, menjadi detik bersejarah, tatkala menyaksikan UMNO dan Barisan Nasional diumumkan menang dalam Pilihan Raya Negeri Johor Ke-15! Syabas dan tahniah saya ucapkan.

9. Menariknya, kita bukan sekadar menang. Tetapi kita menang penuh bergaya. 40 daripada 56 kerusi, kita genggam dan kita tawan! Tahniah sekali lagi!

10. Semasa berkempen, ada parti yang berkata kononnya UMNO akan berkubur di negeri kelahirannya sendiri. Namun kuasa dan perancangan Allah itu maha hebat, Barisan Nasional menang besar dengan majoriti dua per tiga.

11. Kemenangan ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk kita capai. Banyak rintangan dan dugaan telah kita sama-sama hadapi. Lelahnya pun masih kita rasai hingga hari ini.

12. Kepada semua pimpinan wanita UMNO, bermula dari cawangan, bahagian dan Negeri serta jentera padu JR Wanita, yang datang dengan semangat kental dari seluruh negara, bertungkus-lumus, sanggup berhujan, berpanas, berkempen sepenuh jiwa, meninggalkan keluarga tercinta seketika, demi kemenangan UMNO dan Barisan Nasional di Negeri Johor.

13. Anda semua adalah Wanita Luar Biasa!

14. Kepada pengundi dan Bangsa Johor, InsyaAllah kami akan kotakan Ikhtiar Barisan Nasional dan segala inisiatif seperti yang dijanjikan.

15. Kemenangan di Pilihan Raya Negeri Johor ini adalah sangat penting kerana, di bumi Johor-lah, UMNO dilahirkan, di tanah Johor-lah parti ini dibesarkan, dan di negeri Johor jugalah parti keramat UMNO telah bangkit, untuk kembali kita gemilangkan!

16. Tidak dilupakan juga negeri Melaka. Kita bukan sahaja menang dengan majoriti dua per tiga, bahkan daripada 28 kerusi yang dipertandingkan, kita menang 21 kerusi, mencapai majoriti tiga per empat! Tahniah! Hebat betul orang Melaka ni!

17. Mewakili Wanita UMNO Malaysia, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB Presiden, YB Timbalan Presiden, YAB Perdana Menteri, Naib-naib Presiden, komponen-komponen Barisan Nasional, YB Menteri-menteri, negeri-negeri angkat dan seluruh barisan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional serta jentera yang telah bertungkus-lumus memastikan kemenangan di kedua-dua negeri yang amat bermakna ini. Tidak dilupakan juga terima kasih kepada Bossku, yang sama berkempen, yang sama turun padang, yang sama ke hulu ke hilir untuk menangkan parti keramat ini.

Puan-puan, sidang perwakilan yang saya kasihi,

18. Kata orang, tanpa yang dulu, tiadalah yang sekarang. Kepada pemimpin-pemimpin, para pejuang, barisan frontliners, ibu dan ayah, serta seluruh ahli, veteran dan Keluarga Besar UMNO yang telah pergi mendahului kita, khususnya kepada:

Ketua Wanita Bahagian Lembah Pantai, Allahyarhamah Datin Azizan Sharif; dan

Ketua Wanita Bahagian Nibong Tebal, Allahyarhamah Sophia Shariff.

19. Hati berasa hiba, mulut pun berbicara, semoga Allah beri keampunan, dan menempatkan mereka semua dalam kalangan orang beriman, seraya bertafakur serta kita sedekahkan Al-Fatihah buat mereka. Al-Fatihah… (berhenti sejenak)

MENGINSAFI SEJARAH, MEMBANGKITKAN KESEDARAN

Para perwakilan sekalian,

20. Kejayaan yang kita kecapi hari ini bukanlah satu perjuangan yang mudah. Ia melalui satu proses perjalanan panjang yang berliku lagi memeritkan. Detik hitam 2018 masih terpahat. Ingatlah, kita tewas dalam PRU14.

21. Rentetan daripada tragedi itu, kita dihina, kita dicaci, kita diperlekehkan. Kita diasak oleh musuh dan kawan. Kita ditinggalkan oleh rakan-rakan seperjuangan.

22. Kepada yang setia, terima kasih saya ucapkan. Ya, para perwakilan di hadapan saya, yang berada di luar sana, pejuang-pejuang tegar parti yang telah melalui detik-detik sukar. Terima kasih kerana terus setia bersama.

23. Benarlah bagai dikata oleh YB Presiden Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, setia itu amat mahal harganya. Tidak dimiliki oleh orang sembarangan, ada pada ahli serta penyokong nan setia, yang bersama mengharungi ranjau dan onak duri tanpa gentar, tanpa kesal, walau begitu ganas mereka diasak dan digasak. Kerana kesetiaanlah kita masih berada di sini.

WANITA PENERAJU PERJUANGAN

Para perwakilan sekalian,

24. Kembalinya UMNO dalam kepimpinan negara harus diterjemahkan dengan transformasi politik dan pentadbiran yang jitu. Keyakinan rakyat perlu dikembalikan. Kita tidak lagi boleh mengharapkan kemarahan rakyat kepada parti lawan untuk meraih kemenangan.

25. Slogan membawa kestabilan politik mungkin relevan pada masa kini. Namun, rakyat akan melihat apa kebaikan dan kemajuan yang akan kita laksanakan dalam membawa negara ini ke hadapan.

26. Antara cabaran negara pada masa kini adalah untuk memulihkan kehidupan rakyat pasca pandemik COVID-19. Pandemik yang melanda negara dua tahun lalu masih memberi kesan mendalam kepada kehidupan seharian kita termasuklah wanita.

27. Terima kasih kepada YAB Perdana Menteri yang begitu prihatin dengan keresahan hidup rakyat dengan membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.

28. Pastinya, ia memberi satu rahmat dan kelegaan yang besar kepada rakyat yang sedang berusaha untuk memulihkan kehidupan mereka.

WANITA PENERAJU PERJUANGAN: EKONOMI

Para perwakilan yang saya hormati sekalian,

29. Kesungguhan dalam memartabat dan memperkasakan peranan wanita di arena kepimpinan, bukanlah satu usaha yang main-main atau secara semberono. Komitmen berterusan telah lama kita perjuangkan sejak parti ini ditubuhkan.

30. Wanita UMNO sentiasa menyokong usaha mencapai matlamat 30 peratus penyertaan wanita dalam pembuat dasar negara. Sebahagiannya, kita telah capai melalui partisipasi dalam pentadbiran awam, sejak pentadbiran Barisan Nasional di bawah kepimpinan Perdana Menteri keenam, Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak.

31. Namun jumlah penyertaan wanita di peringkat pembuat dasar politik dan keusahawanan masih jauh ketinggalan.

32. Global Gender Gap Report, 2021 (GGGP 2021) yang dikeluarkan oleh World Economic Forum (WEF) menunjukkan Malaysia berada di ranking ke-70 daripada 156 buah negara dari segi penyertaan wanita dalam sektor pendidikan.

33. Ini diikuti dengan sektor kesihatan dan kelangsungan hidup pada posisi ke-74. Sektor ekonomi pula pada tangga ke-104, dan yang paling rendah adalah dalam bidang politik, iaitu pada kedudukan ke-128.

34. Walaupun pada masa kini golongan wanita telah memegang 25 peratus daripada komposisi ahli lembaga pengarah bagi 100 syarikat awam utama, namun, terdapat sekitar 250 syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang masih belum mempunyai komposisi pengarah wanita. (Ucapan Bajet 2022)

35. Justeru, Wanita Umno mengalu-alukan keputusan kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti untuk mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senarai awam. Ini menunjukan komitmen kerajaan dalam meningkatkan partisipasi wanita dalam pengurusan ekonomi dan perniagaan.

36. Wanita UMNO berharap, pelaksanaan dasar ini, yang bakal berkuat kuasa pada 1 September 2022 bagi syarikat bermodal besar dan 1 Jun 2023 bagi syarikat tersenarai lain, akan menjadi kenyataan.

WANITA PENERAJU PERJUANGAN: KEBAJIKAN

37. Wanita UMNO juga ingin merakamkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri kerana memperkenalkan Program MyKasih Kapital dalam Belanjawan 2022. Mykasih Kapital bertujuan membantu wanita menjana pendapatan dari rumah. Sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi program ini yang dijangka memberi manfaat kepada 5,000 peserta.

38. Wanita UMNO mengalu-alukan peruntukan ini kerana ia memberi peluang kepada wanita membantu menambah pendapatan keluarga tanpa perlu meninggalkan tanggungjawab menjaga anak-anak.

39. Namun, Wanita UMNO berpandangan jumlah peruntukan dan sasaran peserta wanita ini perlu dipertingkatkan. Sasaran 5,000 orang peserta sangat sedikit, tidak akan membantu memulihkan ramai wanita yang hilang pekerjaan dan mata pencarian akibat pandemik Covid-19.

40. Berdasarkan Laporan Banci Malaysia 2020, jumlah ibu tunggal di negara ini hampir mencecah satu juta orang. Ini belum termasuk wanita dari keluarga B40 dan M40 yang juga memerlukan sumber pendapatan tambahan bagi membantu keluarga.

41. Kita faham, walaupun bukan semua ibu tunggal berada dalam kesempitan hidup, namun peluang untuk mereka meraih pendapatan dari rumah harus dibuka seluas-luasnya. Bukan mudah untuk membesarkan anak-anak bersendirian.

42. Justeru, peruntukan bagi memperkasa peranan wanita dan menjaga kebajikan mereka perlulah ditambah baik dari semasa ke semasa.

Para perwakilan sekalian,

43. Hari ini, kita masih lagi dalam mood meraikan Hari Wanita Sedunia. Sebagai tanda kasih dan sayang, kepada semua kaum hawa yang bersemangat sentiasa, bertemakan ‘Saksama Bersama’, belum terlambat untuk saya zahirkan, Selamat Hari Wanita.

44. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan yang telah mengumumkan enam inisiatif dalam usaha memastikan wanita Malaysia terus diperkasa.

45. Enam inisiatif yang dimaksudkan ialah Penubuhan Majlis Wanita Negara (BDPS); Pewujudan Rang Undang-Undang Anti Gangguan Seksual (BDPS); Memantapkan Institusi Hakam di bawah Mahkamah Syariah; Memperkenalkan Akta Pembiayaan Kewangan yang mana pihak bank boleh membekukan akaun bank suami atas arahan mahkamah; Menggalakkan Ketua Jabatan dan Pengurusan Tertinggi Organisasi membenarkan wanita yang kematian suami bekerja dari rumah; dan Mengumumkan Sambutan Hari Wanita wajib dilaksanakan pada 8 Mac setiap tahun di peringkat Persekutuan dan negeri bagi menghargai dan mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita.

WANITA PENERAJU PERJUANGAN: PENDIDIKAN

Para perwakilan sekalian,

46. Pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak dua tahun lalu bukan sahaja menyebabkan krisis kepada kesihatan awam, tetapi sektor ekonomi dan pasaran buruh juga turut menerima impaknya. Dalam Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia 2020, dilaporkan bahawa dua puluh peratus atau 580,000 isi rumah yang dahulunya berada dalam kumpulan M40, kini tergolong dalam kumpulan B40.

47. Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam laporannya turut menyatakan bahawa, pengangguran pada Oktober 2021 berada pada kadar 4.3 peratus. Walaupun terdapat penurunan kadar pengangguran, angka ini masih tinggi jika hendak dibandingkan dengan kadar pengangguran yang dicatat pada 31 Disember 2019 yang merekodkan 3.2 peratus, ketika pandemik Covid-19 ini belum bermula. Krisis yang melanda negara ini telah menyebabkan persaingan mendapatkan pekerjaan semakin sukar.

48. Menjengah Industri 4.0, kemahiran dan daya saing dalam sesuatu pekerjaan juga menjadi semakin kompleks. Sudah tentu, mereka yang menguasai bidang teknologi terkini akan menjadi pilihan utama majikan.

49. Namun di sebalik kegusaran ini, graduan TVET terus menunjukkan prestasi cemerlang dalam lapangan kerja. Malah, pada tahun lalu sahaja kebolehpasaran graduan TVET melebihi 94 peratus.

50. Ini jelas membuktikan graduan TVET terus menjadi pilihan industri, selain berpotensi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi hingga ke universiti.

51. Iltizam saya sebagai Ketua Wanita UMNO Malaysia untuk mengangkat darjat pendidikan tinggi anak-anak bangsa ke persada yang lebih tinggi telah dan sedang dilakukan.

52. Agenda pembelajaran sepanjang hayat ini, telah memberi ruang yang besar, kepada kumpulan masyarakat yang sebelum ini tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

53. Dalam usaha menjadikan TVET sebagai pendidikan utama dan penting di Malaysia ini, dan bukannya lagi pendidikan kelas kedua, Kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional telah menggerakkan satu agenda merakyatkan pendidikan secara menyeluruh dengan penubuhan Majlis TVET negara (MTVET).

PERSIAPAN PRU15

Para perwakilan sekalian,

54. Dalam PRU-14, calon wanita Barisan Nasional hanya mewakili 11.7 peratus daripada keseluruhan calon yang ditampilkan.

55. Dalam PRN Melaka baru-baru ini, lima (5) wanita telah dicalonkan berbanding hanya dua (2) calon pada PRU-14.

56. Kita berterima kasih kepada YB Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, serta pucuk pimpinan parti di peringkat pusat dan negeri yang memberi ruang lebih besar kepada wanita dalam PRN Johor. Inilah kali pertama Barisan Nasional meletakkan 25 peratus calon wanita.

57. Dan semua calon Wanita UMNO menang. Tahniah kepada:

YB Datuk Sharifah Azizah Syed Zain [Ketua Wanita KLUANG] Adun Mahkota;

YB Khairin Nisa Ismail [Ketua Wanita LEDANG] Adun Serom;
YB Haslinda Salleh [Ketua Wanita LABIS] Adun Tenang;

YB Hasrunizah Hassan [Ketua Wanita PONTIAN] Adun Pulai Sebatang;

YB Fauziah Misri [Ketua Wanita PENGERANG] Adun Penawar;

YB Rashidah Ramli [Naib Ketua Bahagian SRI GADING] Adun Parit Raja;

YB Rashidah Ismail [Naib Ketua Wanita TENGGARA] Adun Pasir Raja.

58. Dan tidak kita lupa YB-YB Wanita kita yang menang di PRN Melaka. Tahniah kepada:

YB Tuminah Kadi @ Mohd Hasim (Ketua Penerangan Wanita Bahagian Tangga Batu) DUN Pantai Kundor; dan

YB Datuk Kalsom Nordin, (Ketua Wanita Bahagian Hang Tuah Jaya) DUN Pengkalan Batu.

59. Wanita UMNO berharap trend pencalonan ini akan diteruskan dalam PRU akan datang. Kita telah buktikan. Apabila diberikan amanah, Wanita UMNO mampu memberikan kemenangan kepada UMNO dan Barisan Nasional.

60. Insya-Allah kemenangan ini tidak akan melalaikan kita, malah ini sebagai pembakar semangat untuk kita tambah baik dan perhebatkan gerak kerja kita.

61. Mulai sekarang, kita kuatkan tekad semua pimpinan, jentera dan ahli parti supaya bersiap siaga pada tahap tertinggi, berada dalam ‘election mode’, berbekalkan lima teras, iaitu PLAN, ORGANIZE, WELLBEING, EDUCATE AND READY atau singkatannya POWER.

62. Teras Pertama adalah Plan. Kita sudah berada di ambang PRU15. Mungkin perhimpunan kita pada kali ini merupakan perhimpunan terakhir sebelum kita masuk ke medan perang. Justeru para perwakilan yang saya kasihi sekalian, saya minta kembali sahaja ke Bahagian masing-masing selepas ini, satu perancangan yang teliti dan berstruktur merangkumi segala aspek dibuat, dari segi jenteranya, gerak kerjanya, kajian sikapnya, program-program santuni masyarakat yang memberi impak sokongan dan kerja-kerja lapangan bagi menghadapi PRU15.

63. Teras Kedua adalah Organize. Sebaik mana perancangan yang dibuat, ia tidak akan memberi sebarang makna jika tidak dilaksanakan dengan baik. Kita tidak ada masa untuk bertangguh lagi. Laksanakanlah program-program yang memberi impak positif kepada sokongan parti. Latihan-latihan pilihan raya perlu dibuat segera, masyarakat terus disantuni, para pengundi terutamanya pengundi baharu, pengundi muda terus didekati.

64. Teras Ketiga adalah Wellbeing dan Welfare. Wanita UMNO harus mewujudkan satu suasana yang harmoni dan sejahtera bukan sahaja dikalangan jentera, tetapi juga masyarakat. Wanita UMNO perlu dilihat sebagai agen yang mudah didekati, mudah dibawa berbincang, mudah untuk mengadu masalah. Wanita UMNO perlu menjadi agen capaian kepada masyarakat dan pengundi. Kita perlu menerapkan nilai dan semangat kesukarelawan untuk membantu serta menjaga kebajikan rakyat.

65. Teras Keempat adalah Educate. Wanita UMNO perlu menjadi agen dalam usaha mendidik masyarakat betapa pentingnya memilih sebuah kerajaan yang stabil dan berpengalaman. Apatah lagi melihat kepada penambahan pengundi baharu dalam pilihan raya. Justeru, menjadi tanggungjawab kepada Wanita UMNO untuk terus memberi kesedaran kepada kumpulan ini dan sekaligus menyokong UMNO dan Barisan Nasional.

66. Dan teras yang terakhir adalah Ready, Responsibility, dan Result. Wanita UMNO perlu sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya pilihan raya pada bila-bila masa.

67. Besar harapan saya, apabila semboyan perang dibunyikan, Wanita UMNO telah siap sedia untuk berjuang di medan pertarungan pilihan raya.

68. Inilah yang akan menjadi tonggak kekuatan baharu kita. Kekuatan yang akan meneruskan kesinambungan parti kita. Kekuatan yang akan menarik sokongan rakyat kepada kita. Kekuatan yang akan menggerunkan pihak lawan, sehingga mereka rasa lemah lagi tidak bermaya. Wanita Luar Biasa, Wanita POWER!

Para perwakilan sekalian,

69. Alhamdulillah, sejak berakhirnya PRU-14, setapak demi setapak, kita kembali bangkit daripada kekalahan. Momentum ini dapat dilihat dalam siri PRK yang telah kita tempuhi bersama, termasuklah yang terbaru kejayaan di PRN Melaka dan PRN Johor.

70. Berdasarkan kejayaan-kejayaan ini, kita juga telah melihat bahawa penyokong-penyokong kita begitu bersemangat untuk menghadapi PRU15.

71. Namun begitu, kita juga harus sedar bahawa rakyat sedang melihat dan memerhati kita. Menyahut seruan YB Timbalan Presiden berhubung the right timing to call for election, Wanita UMNO sentiasa bersedia pada bila-bila masa apabila sampai pada waktunya.

72. Pada masa sama, kita juga mengambil kira akan kesepakatan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang telah ditandatangani bersama antara blok kerajaan dengan blok pembangkang yang keabsahannya sehingga 31 Julai 2022.

73. Justeru, sebarang tindakan dan keputusan kita hendaklah dibuat secara berhemah, matang dan bijaksana. Wanita UMNO percaya, YB Datuk Seri Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi akan membuat keputusan yang terbaik dalam mencadangkan masa yang tepat dan sesuai kepada YAB Perdana Menteri selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Sekali lagi saya ingin menegaskan di sini bahawa Wanita UMNO always ready pada bila-bila masa.

74. Insya-Allah Wanita bersama jentera Barisan Nasional akan berganding bahu, seia dan sekata, sederap kita melangkah, berkongsi aspirasi parti menjadi pencari undi, penentu undi, perayu undi, pengekal undi, hatta pemecah undi di mana yang perlu.

PENUTUP

Para perwakilan yang disayangi sekalian

75. Perhimpunan Agung UMNO ini adalah yang terakhir sebelum diadakan pemilihan parti yang akan datang. Ini juga mungkin perhimpunan terakhir sebelum pilihan raya umum.

76. Sepanjang lebih tiga tahun ini, banyak kejayaan telah kita capai, banyak pembaharuan telah kita lakukan. Kita juga pernah berhadapan dengan kekangan kewangan dan sumber. Namun, Wanita UMNO tetap berdiri teguh meneruskan agenda perjuangan agama, bangsa dan negara.

77. Penjenamaan semula Skuad Sayang 3K, Jalinan Rakyat 2.0, pengkaderan dan latihan serta pelbagai lagi yang telah kita sama-sama rencanakan, demi kelangsungan pengukuhan peranan Wanita, sudah menunjukkan kejayaan dalam PRN Melaka dan Johor.

78. Syabas dan tahniah saya ucapkan! Teruskan usaha ini, kerana tanpa wanita, pengukuhan dan pemerkasaan parti tidak dapat berjalan dengan sempurna.

79. Pun begitu, kita tidak boleh terus mendabik dada. Perjalanan kita masih jauh. Walaupun banyak kejayaan telah kita capai, tetapi banyak lagi perkara yang harus kita gapai. Nasib kita dalam membela anak bangsa tidak ada titik noktahnya. Selagi hayat dikandung badan, berjuanglah, dan terus berjuang!

80. Pastinya, Wanita UMNO perlu sentiasa meningkatkan keberkesanan program-program khususnya Jalinan Rakyat (JR) dan Skuad Sayang 3K yang menjadi platform utama untuk menghadapi PRU15. Jaringan yang kita ada kini – di atas platform 191 bahagian perlu diperhebatkan.

Puan-puan, rakan-rakan seperjuangan wanita sekalian,

81. Saya percaya barisan kepimpinan Wanita UMNO di atas ini telah memberikan yang terbaik bagi meneruskan survival parti kita sepanjang lebih tiga tahun ini.

82. Dan saya juga percaya masih banyak boleh kita perbaiki dan pertingkatkan dalam memperkasa wanita dan juga parti untuk masa hadapan.

83. Marilah buat kali terakhir dalam penggal ini kita bersatu membentuk satu pasukan yang luar biasa bagi memenangi pilihan raya. Biarlah nanti walau apa pun perubahan kepimpinan yang berlaku, orang akan tetap mengenang kita sebagai satu pasukan yang berdiri teguh, tanpa takut dan gentar.

84. Kita perlu bersedia untuk memasuki medan perang. Kita harus persiapkan mental kerana kita berhadapan dengan keadaan yang serba kekurangan, terpaksa menggunakan sumber yang kecil dan terhad dalam pilihan raya akan datang.

Rakan-rakan perwakilan yang saya kasihi,

85. Jelas segalanya, kesetiaan itu adalah tunjang, menjadi antara ibu kekuatan kepada parti kita. Bagai didendang dalam lagu “Kawan Setia”:

“Kawan yang setia ibarat cahaya,
Menjadi penerang masa kegelapan,
Dia tak tergamak biarkan engkau sendiri,
Nasibmu pasti akan dibela”

86. Kepada sahabat-sahabat Wanita Luar Biasa, yang hadir pada hari ini, atas semangat berkobar-kobar sebagai “Wanita Peneraju Perjuangan”, saya bersama barisan kepimpinan Wanita UMNO Malaysia dengan penuh kerendahan hati, mahukan sepasukan jentera wanita yang hebat, yang taat lagi setia, BERJUANGLAH BERSAMA SAYA, demi menjulang parti UMNO ke puncak gemilang.

87. Ayuhlah sepakat, kita bangun bersumpah setia, lalu berjanjilah bahawa, tatkala ‘semboyan perang’ dilaungkan nanti, ketika detik PRU-15, marilah ramai-ramai kita ke gelanggang.

Alang-alang sudah berjuang,
Biar berjuta dugaan mendatang,
Sekali apa pun cabaran menghalang,
Parti UMNO kita pastikan menang!!

Hidup Wanita!
Hidup Wanita!
Hidup UMNO!
Hidup Barisan Nasional!

88. Kepada Allah kita panjatkan pertolongan, kepada-Nya jua kita pohon direstui perjuangan. Aamiin!

Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, dan Selamat Bersidang!

Terima kasih.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.