Ucapan Dasar Ketua Puteri UMNO Malaysia – Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO 2021

UCAPAN DASAR KETUA PUTERI UMNO MALAYSIA
PERHIMPUNAN AGUNG PERGERAKAN PUTERI UMNO 2021

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
ASSALAMUALAIKUM W.B.T

YBhg. Saudari Nur Ain Bt A. Rahman
– Pengerusi Tetap Pergerakan Puteri UMNO Malaysia

YBhg. Saudari Salbiah Bt Saari
– Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
Wakil-wakil Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia
i) YB. Datuk Dr. Mohd Puad bin Zarkashi
ii) YBhg. Datuk Ir Dr. Shaik Hussein bin Mydin
iii) YBhg. Datuk Johan bin Abd Aziz

YBhg Dato’ Nurul Amal Bt Mohd Fauzi
– Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
YBhg Saudari Asuma Beevi Bt Mohamed Sali
– Penolong Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
YBhg Hajah Siti Hawa Bt Abu Hassan
– Penolong Bendahari Pergerakan Puteri UMNO Malaysia

YBhg Saudari Muzana Bt Mohamad
– Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia

YBhg Barisan Exco dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri-Negeri, tidak di lupakan rakan-rakan perwakilan yang menonton secara maya di negeri dan bahagian-bahagian seluruh negara.
Turut Dialukan Para Pemerhati, Dif-dif Jemputan & Rakan-Rakan Media Yang Dikasihi

Saudari-Saudari Sidang Perwakilan Sekalian
1. Salam perjuangan kepada semua.

2. Terlebih dahulu saya ingin mengalukan-alukan kehadiran semua yang datang dari jauh dan dekat. Saya percaya inilah Perhimpunan Agung yang paling manis dalam sejarah untuk kita semua

3. Kita bersyukur, kita baru beroleh dua kemenangan besar dalam dua PRN yang baru kita tempuh. Menang dua pertiga di Melaka kira-kira empat bulan yang lalu, dan yang paling manis menang lagi dua pertiga di Johor hanya beberapa hari yang lepas.

4. Tahniah kita ucapkan kepada 2 calon Puteri yang berjaya. Datuk Dira Abu Zahar yang menang bergaya di DUN Rim Melaka, dan yang terbaru, NurLizah Noh yang menang di DUN Johor Lama, Johor dan berjaya meningkatkan majoriti. Kepada Saudari Nur Fara, walaupun tak menang di Maharani, namun anda telah memberi tentangan yang hebat kepada calon lawan.

5. Sekali lagi kita berikan tepukan kepada semua calon-calon yang mewakili Puteri UMNO, termasuk di PRN Sabah, dan Insyaallah kita akan terus menyuarakan hasrat supaya lebih ramai calon Puteri diberikan peluang untuk bersama dalam barisan calon-calon di seluruh negara dalam PRU ke 15 kelak.

6. Kita ucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti, pimpinan negeri dan Bahagian yang sudi menerima calon-calon Puteri. Kita sedar, wanita muda sukar mendapat tempat, namun hanya parti yang berjiwa besar dapat membuktikan orang muda tak perlu ada parti khas untuk orang muda atau parti-parti lain yang dikatakan berjiwa muda. Kita, UMNO walaupun ini parti yang tertua juga sentiasa memberi ruang kepada anak muda dan kaum hawa untuk bersama dalam saf kepimpinan dan pembuat keputusan negara.

7. PRN Johor adalah juga menguji tahap sokongan anak muda kepada kita. Inilah pertama kali undi18 dilaksanakan. Alhamdulillah keputusan membuktikan kita diterima.

8. Melaka dan Johor adalah kemanisan yang mengasyikan. Ia terus menjadi tonik kekuatan sebagaimana yang dirasakan selepas menang 7 PRK sebelum ini. Tonik ini lebih poten, lebih mujarab dan menjadikan kita lebih gagah kerana Johor adalah antara negeri terbesar, yang paling unik dan kompleks di kalangan negeri-negeri lain.

9. Johor sangat berbilang kaum. Johor ada Felda dan nelayan. Johor ada pembangunan industri dan pertanian yang besar. Johor ada urban dan rural, bandar dan kampung yang sangat berbeza. Johor bukan sahaja ada Pantai Barat dan Pantai Timur, hanya Johor ada Pantai Selatan. Sebab itu orang Johor dipanggil bangsa Johor. Menang di Johor rasanya kita menang di semua tempat. UMNO kembali kuat di Johor bermakna UMNO, Insyaallah kembali kuat di seluruh negara.

10. Nikmat manis ini kerana perang politik baru ini menuntut kepada kesepakatan, keseragaman, ketersusunan dan yang paling penting pengorbanan yang paling besar. Pengorbanan orang Johor. Pengorbanan pimpinan dan pendokong UMNO di Johor. Juga pengorbanan anggota parti dari seluruh negara untuk mempastikan kemenangan kita di Johor.

11. Berapa ramai di kalangan kita, yang meninggalkan kampung halaman mereka demi Johor? Meninggalkan keluarga dan anak kecil untuk berbakti di Johor? Berapa ramai yang mengeluarkan wang ringgit sendiri? Atau berapa ramai yang terjangkit, dari negatif menjadi positif. Dari positif, negatif dan positif lagi? Demi Johor, negatif atau positif kita redah untuk pastikan panji-panji UMNO, dan, Barisan Nasional, berkibar megah di bumi kelahiran parti kita yang tercinta ini.

12. Sebab itu, sebelum poten tonik beransur kendur, saya menyahut seruan YB Dato’ Seri Utama Timbalan Presiden dalam ucapan perasmiannya semalam agar kerajaan kepimpinan Naib Presiden kita, YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB, untuk mengambil langkah menyegerakan pembubaran Parlimen bagi membolehkan PRU ke 15 diadakan.

13. Kita sudah berada di gear 4, nak masuk gear 5. Tunggu untuk overdrive sahaja. Kita nak memecut kereta kita ke garisan penamat. Untuk meraih kemenangan mutlak, menebus maruah kita yang hilang dalam perlumbaan PRU 14 dulu. Jangan lemahkan semangat kami, kami mahu pecut dan pecut lagi. Jangan kata kami wanita muda, puteri lemah. Bahkan kami boleh menjadi lebih jantan dari setengah jantan yang ada. “Our balls can be bigger than yours”.

14. Saya masih ingat semasa berkempen di Johor Lama, di situ ada taman buaya terbesar. Beribu buaya di sana. Ada kawan beritahu siapa yang masih takut berhadapan dengan parti-parti lain yang menghina kita kali ini, elok potong sahaja kejantanan mereka dan campak ke taman buaya Johor Lama. (Liza boleh bawak yang lain ke sana)

Adik-adik Puteri yang Kak Ida sayangi
15. Jangan dilayan, permintaan pemimpin DAP yang nak sambung lagi MOU supaya tidak ada PRU dalam masa terdekat. Jangan dilayan rayuan pemimpin parti PEJUANG supaya PRU diadakan sehingga penghujung penggal. Mereka rayu kerana mereka berada dalam ketakutan. Bergementar dalam kekecutan. Selama ini merekalah yang hendak membunuh kita. Kenapa pula kita hendak memberi nyawa kepada mereka untuk bunuh kita Kembali?

16. Covid 19, fasa pandemik sudah beralih ke fasa endemik. Sudah boleh solat di masjid seperti biasa. Sudah boleh makan di kedai 24 jam. Sudah boleh keluar masuk-negara seperti biasa. Tak nafi risiko tetap ada, tetapi, no pain no gain. Risiko yang dihitung harus dibuat demi masa depan parti dan negara.

17. Oleh itu, jangan layan permintaan dan rayuan pemimpin parti-parti yang mahukan kehancuran parti kita. Dulu mereka hina kita. Mereka kata poodah kepada parti kita di Johor. Mereka menggelarkan pelbagai gelaran kepada rakan-rakan dan pemimpin parti kita. Ada kata kita parti yang sudah lumpuh, ada kata kita Itik patah kaki. Ada yang kata PRN Johor sebagai garis penamat buat Barisan Nasional. Ada yang kata parti kita musibat. Sekarang kita tahu siapa yang lumpuh dan siapa yang musibat.

18. Kini ada antara mereka melutut minta tidak ada lagi serangan dari kita. Semua ini bukan kerana mereka sayang kita, mereka hanya mencari waktu menjilat luka. Mengumpulkan kekuatan baru. Mungkin akan bersatu kembali di bawah lambang PAKATAN HARAPAN atau lambang baru untuk menggempur kita kembali.

Adik-adik Puteri yang Kak Ida sayangi

19. BERSATU adalah PAKATAN HARAPAN. Asal usul BERSATU adalah tajaan DAP. PAS pernah bersama DAP. Banyak parti-parti yang wujud, termasuk PKR dan MUDA adalah tonggangan DAP. Tak mustahil apabila mereka terpukul teruk di Melaka, di Sarawak dan di Johor mereka semua akan cipta alasan baru atau dalil-dalil baru untuk kembali bertaut memusnahkan kita pulak.

20. Jangan banyak bertanya apakah UMNO sudah bersedia untuk menghadapi pertempuran baru? Kita patut bertanya setelah terpukul teruk apakah lawan kita lebih bersedia? atau apakah nak tunggu mereka cukup bersedia? Mereka sedang berpecah dan mereka lemah. Saya ulang apa yang Tok Mat sebut semalam serang sewaktu musuh lemah. “strike while your enemies are weak”.

21. Kata Sun Tze dalam Art of War, seni berperang ialah menentukan bila waktu untuk berperang. Biar kita menentukannya dan jangan membenarkan musuh pula menentukan bila memulakan peperangan.

22. Sebab itu kita ucapkan tahniah kepada YB Dato Hasni, yang ketika itu menjadi MB Johor, yang sanggup mengambil risiko tanpa mengira kepentingan peribadinya ketika mengistiharkan perang di Johor. Pemimpin yang hebat ialah pemimpin yang berani membuat keputusan dan mengambil risiko tanpa mengira kepentingan diri. Keberanian inilah yang menjadi UMNO dan BARISAN NASIONAL dihormati oleh kawan dan lawan.

23. Tidak dinafikan, ramai di kalangan kita kecewa kerana beliau tidak dapat meneruskan kepimpinannya dalam kerajaan negeri Johor, namun kita patut berikan penghargaan kepadanya diatas kejayaannya mengemudikan UMNO Johor. Bahkan kesediaan melepaskan kedudukan untuk memberi peluang kepada pemimpin yang lebih muda adalah satu pengorbanan yang sangat luar biasa.

24. Ayuh, kita berikan tepukan paling hangat kepada YB Dato Hasni. Walaupun beliau tidak ada di sini, mari kita zahirkan penghargaan besar kita kepadanya. Bahkan sekiranya saya dapat mencadangkan, parti harus memberi peluang kepada YB Dato Hasni. Bertandinglah lagi untuk kawasan Parlimen dalam PRU ke 15, pastikan Barisan Nasional menang di seluruh negara, dan tempatkannya di tempat yang lebih tinggi lagi selepas ini. Sebab itu saya ingin ulangi, segerakanlah PRU ke 15 untuk kita ambil semangat kecemerlangan Dato Hasni di Johor untuk di bawa ke seluruh negara.

25. Sedikit pengajaran, selepas ini kita lupakan isu ‘poster boy’, yang penting parti kita menang.

Adik-adik Puteri yang Kak Ida sayangi

26. Episod yang lalu mengajak kita mengenal siapa kawan dan siapa lawan. Kita amat mengharapkan Muafakat Nasional yang sama-sama kita wujudkan di bangunan yang bersejarah ini mekar dan subur. Ia adalah cetusan semangat perpaduan ummah yang dirindui oleh semua ummat Melayu dan Islam di negara ini. Namun panas ini tak berpanjangan, hujan di tengahari, sia-sia air mata yang mengalir membanjiri PWTC

27. Di Melaka tawaran kita kepada Pas ditolak, kerana mereka lebih selesa dengan Perikatan Nasional dari Muafakat Nasional. Di Johor pun begitu.

28. Tiada poligami dalam politik. Pilih satu antara dua. Bersatu adalah parti picisan UMNO, picisan PKR dan mereka sendiri ada sejarah pengkhianatan di kalangan mereka. Mereka bukan taste kami. Kita berkali-kali beritahu PAS, kalau mahu BERSATU, BERSATUlah kamu. Kalau mahu kami, ayuh, mari bersama kami tinggalkan BERSATU.

29. Gelilah kami tinggal sekolam dengan katak puru, katak pisang atau katak bentong. Sejarah mereka mengkhianati kami amat menjijikan. Kalau dah memang tabiat haruan makan anak selepas ini mereka akan makan anak lagi. Kalau jengking, yang tabiatnya menyengat mereka akan menyengat sesiapapun yang boleh disengat.

30. Di Melaka dan Johor, PAS sudah buat pilihan. Mereka lebih rela memeluk katak dan mandi di kolam yang penuh jengking daripada kita yang sama-sama membentuk rumah bernama Muafakat Nasional dulu. Kalau begitu, apa nak buat. Apa yang boleh kita beritahu, “si luncai, terjunlah dengan labu-labunya”. Sayonara PAS, selamat tinggal, bai-bai, goodbye PAS. Semoga bahagialah kamu dengan pasangan hidup mu di kalangan katak dan jengking tadi.

31. Di Melaka dan Johor kita sanggup pergi solo tanpa mereka, ia dilihat sebagai satu percaturan yang penuh risiko untuk kita, ternyata risiko ini menunjukkan kita boleh tegak dan gagah tanpa mereka.

Adik-adik Puteri yang Kak Ida sayangi

32. Episod sejak dua PRN lalu menuntut kita meneliti hubungan yang berterusan antara kita dengan parti-parti tadi dalam kerajaan hari ini. Periksalah dengan teliti, apakah mereka ingin terus bersama kita dalam kerajaan ini, benar-benar untuk mendokong kita, atau, hanya menjadi anai-anai untuk meruntuhkan kita?

33. Apakah bersama dalam kerajaan hanyalah untuk mengambil masa mencari peluang mengaut apa yang boleh dikaut? Patut periksa bagaimanakah Perikatan Nasional yang setahun jagung mampu berbelanja besar semasa PRN. Poster dan billboard mereka lebih besar dan banyak. Mereka mengadakan acara-acara yang besar, mengerahkan aset yang besar, tempat menunggu keputusan mereka pun, jauh lebih mewah dari parti kita yang sudah lama bertahun-tahun. Tidak kah terlintas dikepala kita, mereka sudah mengumpul dana besar ketika berada dalam kerajaan dan akan terus mengumpul dana kalau masih dalam kerajaan? Takkanlah orang kita tak nampak semua ini?

34. Tidakkah kita rasa terhina sepanjang kempen di Johor, malam hari mereka tuduh parti kita parti penyamun, siang hari pulak mereka bersama minum kopi dalam mesyuarat dengan pemimpin yang dituduh dari parti penyamun tadi? Atau apakah ada orang kita sambil bergelak ketawa sama-sama menghina rakan-rakan kita yang lain?

35. Tidakkah kita rasa terhina apabila kita bersama membuat keputusan atas dasar bersama, tetapi mereka mendabik dada itu adalah dasar mereka seorang, seolah-olehnya kita tidak ada apa-apa peranan?

36. Semasa berkempen, mereka kata hanya mereka sahaja yang bantu Felda, dan kita tidak. Mereka kata pemberian vaksin adalah pemberian mereka, dan kita tidak menyumbang. Mana menteri vaksin yang sepatutnya menyangkal semua ini? Apakah selama ini kita hanya kuli kepada mereka? Apakah Menteri-menteri kita hanya dilihat sebagai Pak Angguk kepada setiap tuduhan yang mereka lemparkan kepada kita?

37. Mohon rakan-rakan menteri kita, ingatlah, anda di sana kerana parti kita. Jagalah hati dan perasaan kita dibawah apabila bertugas bersama mereka yang terus menghina kita. Kerajaan ini dilihat sebagai kerajaan yang paling tunggang-langgang dalam sejarah. Di luar berbalah di dalam berpeluk. Kita dilihat seperti keluarga 69. Untuk apa lagi bersama dengan mereka?

38. Bahkan bila keadaan ini berterusan kita dilihat semakin berpecah. Segeralah bubar dan bina rumah baru. Apa lagi yang hendak ditunggu? Seolah-olahnya ada UMNO BN dan ada UMNO PN. UMNO BN yang percaya kepada keunggulan Barisan Nasional sebagai wadah perjuangan rakyat negara ini. UMNO PN pula bertuankan orang lain dalam menentukan hala tuju perjalanan parti kita. Jangan sampai kita dilihat ada garis pertembungan UMNO BN vs UMNO PN pulak. Let’s call a spade a spade. Jangan sampai ada curiga di kalangan kita. Bahkan ada kebimbangan kalau kita bercakap, apakah setiap percakapan kita akan sampai di tangan musuh-musuh kita?

39. Kita tidak ada pilihan melainkan memberi mereka pilihan. Iaitu kalau BERSATU dan PAS merasa merekalah yang benar, bertandinglah lagi melawan kita dalam PRU baru, iaitu PRU ke15. Kalau mereka merasa merekalah yang paling suci bersih dan kita semua kotor, serahkan kepada rakyat untuk menentukan mereka atau kita.

40. Di luar sana, tolong jangan salahkan rakyat kerana masih memilih kita. Rakyat sudah bosan dengan mainan politik membunuh karakter yang mereka mainkan. Rakyat tidak pernah lupa tentang kepalsuan mereka memenuhi janji-janji mereka dalam PRU14 dulu.

41. Orang Simpang Renggam tidak pernah lupa janji tidak ada tol Simpang Renggam. Tukarlah- apa warna dan baju sekalipun orang itu akan terus diingat sebagai penipu besar. Cakaplah kononnya dia tokoh pendidikan, pendidik apa yang mengajar rakyat berbohong dan tidak tunai janji?.

42. Orang Dun Tenang tidak tenang berhadapan dengan parti yang dipimpin oleh orang yang pernah menjanjikan sejuta peluang pekerjaan kepada anak muda dan tidak perlu lagi bekerja di Singapura. Tukarlah warna apapun dan baju apapun mereka ini juga adalah Pakatan Harapan. Pelakon tetap pelakon. Akhlak dan karakter mereka tetap sama dan tidak boleh dipercayai.

43. Lihatlah undi dan majoriti kemenangan kita di dua DUN dalam Parlimen Tanjung Piai. Iaitu Kukup dan Pekan Nenas. Tak banyak bezanya dengan apa yang kita perolehi dalam PRK Parlimen Tanjung Piai dua tahun dulu. Ertinya kemarahan rakyat terhadap janji-janji palsu Pakatan Harapan masih kekal di hati mereka. Ertinya penolakan rakyat terhadap Pakatan Harapan dan bekas sekutunya adalah sama.

Adik-adik Puteri yang Kak Ida sayangi

44. Rakyat memilih kita kerana jasa kita. Kerana melalui kestabilan yang kita perolehi kita hasilkan keharmonian dan kemakmuran untuk semua. Rakyat masih ingat kemajuan yang dicapai dan segala bentuk bantuan yang kita hulurkan dahulu.

45. Rakyat tak pernah rasa ‘stress’ sebagaimana yang dirasakan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan yang bertunjangkan DAP. Kita dapat merasakan hubungan antara kaum paling tidak selesa ketika itu. Ingat kisah membawa balik abu mayat Chin Peng yang langsung tidak sensitif terhadap mangsa keganasan komunis satu ketika dahulu? Apakah kita lupa ada usaha menulis kembali sejarah, tentang siapakah pejuang kemerdekaan negara ini? Ingat mereka sudah menulis penceritaan baru tentang peristiwa 13 Mei? Ingat rancangan mereka meratifikasikan ICERD dan Statue of Rome?

46. Ingat apabila mereka membatalkan projek-projek besar yang sepatutnya di manfaatkan rakyat. Orang Johor dan Melaka tahu kesan dari pembatalan keretapi laju KL-Singapura, HSR. Larinya pelabur, lembabnya banyak projek besar seperti di Pengerang yang sepatutnya membuka peluang kepada ratusan ribu pekerja. Kesannya berganda-ganda kepada seluruh punca kehidupan dan ekonomi rakyat Johor dan negara ini.

47. Rakyat masih membandingkan bantuan kita dengan cerita 30 hengget menteri kewangan mereka. Rakyat masih ingat, orang ini juga berada dalam kluster mahkamah tetapi dilihat suci, hanya kerana menentang kita. Orang ingat ada cerita terowong yang tak nampak-nampak. Orang ingat keputusan RCI mengenai hilangnya berbilion wang dalam permainan Forex Bank Negara tetapi tiada tindakan terhadap mereka. Mereka sebenarnya bukan suci tetapi berlagak seperti malaikat.

48. Kuasa kepada mereka seperti bunga kepada kera. Bila dapat Khazanah dan Tabung Haji asetnya dijual, Orang masih ingat Hotel Tabung Haji sudah bukan milik Tabung Haji, namanya sudah berubah. Dapat Petronas dananya dijarah, untuk menampung kelemahan kewangan mereka. Beribu kakitangan kontrak diberhentikan, ramai pekerja keselamatan sekolah hilang punca pendapatan.

Adik-adik Puteri yang Kak Ida sayangi

49. Orang bertanya, apa dah jadi kepada klinik 1 Malaysia yang sepatutnya bertambah dari apa yang sudah kita bina. Orang bertanya apa dah jadi kepada UTC dan RTC yang banyak memberi kemudahan kepada rakyat. Hanya kera yang tak tahu menilai bunga. Berilah apapun yang terbaik dari kita, pasti semua dikoyak rabakkan.

50. Sebab itu apabila mereka kalah, jangan salahkan rakyat. Jangan reka ceritanya ada politik wang, ada penipuan di tempat mengundi, cerita pengundi hantu, ada pengundi Bangladesh lagi. Mereka kalah kerana mereka kalah. Mereka kalah kerana rakyat masih ingat pemerintahan 22 bulan mereka dan semua yang terpalit dengan mereka.

51. Dalam sistem pilihanraya kita, menang satu undi tetap menang. Kalah satu undi tetap kalah. Jangan kata kalau dicampurkan semua undi yang tak mengundi kita banyak kerusi kita kalah. Kita pun boleh berkata di banyak tempat yang mereka menang, dijumlahkan undi yang tak undi mereka, mereka pun kalah.

52. Orang bertanya apakah kehebatan yang ada pada pemimpin PN untuk kita meneruskan kerjasama dengan mereka? Sudahlah mereka terdiri dari kluster katak dan khianat bahkan sumbangan mereka amat mengecewakan. Sepanjang kempen, saya masih ingat guru-guru menyatakan sedih dan kecewa mereka terhadap sistem Bestarinet. Iaitu sistem internet sekolah yang amat perlahan dan tidak sepantas katak melompat. Ini adalah projek PM ke-8 sewaktu menjadi Menteri Pendidikan. Projek kroni yang merugikan rakyat.

53. Orang ini juga mempunyai hati untuk membangunkan sistem internet 5G negara yang lebih baik? Kaedah mereka akan menjadi sama dengan kegagalan Bestarinet tadi. Kaedah monopoli tanpa saingan yang tak dibuat di negara-negara lain. Sekiranya mereka gagal, atau tidak efisien seluruh sistem rangkaian ini akan gagal dan akan menjejaskan daya saing negara.

54. Siapa di kalangan kita yang berani membantah dan menegur? Kalau Bestarinet menjadi rungutan guru-guru dan murid sekolah, tunggulah 5G yang belanjanya berpuluh bilion itu kelak akan menjadi rungutan seluruh generasi kita di masa depan.

55. Kebijaksanaan mereka hanyalah pada pencerekaan yang dicipta. Berapa banyak kes-kes dibebaskan oleh bekas Peguam Negara dulu? Nak tanya, apa hasil siasatan terhadapnya? Mana reformasi institusi mereka terhadap Suruhanjaya Pencegah Rasuah kalau setakat melantik orang kuat parti mereka menerajuinya.

56. Kita juga nak tanya apa cerita bekas Gabenor Bank Negara dan suaminya? Apa hasil siasatan? Bila pendakwaan? Apakah ini dewi dan dewa yang tak boleh diusik? Inilah orang-orang yang dipuja oleh kerajaan Pakatan Harapan. Diletakkan di tempat yang tinggi. Kini Setelah kita sama-sama berada di tampuk pemerintahan, orang bertanya apakah yang kita lakukan untuk membetulkan mana yang tidak betul?

57. Semua ini masih segar dalam ingatan. Rakyat menolak mereka kerana ingatan itu semua. Tugas kita ialah untuk “move on”. Umno mesti dilihat bergerak dan mampu membawa negara ini lebih maju ke depan.

58. Kita kembalikan suasana harmoni dan kestabilan untuk masa depan. Tarik semula pelabur yang lari. Tunjukan kemampuan kita mengendalikan negara dalam dunia menghadapi pelbagai krisis. Sebelum ini kita pernah buktikannya. Kita mesti buktikannya lagi.

Adik-adik Puteri yang Kak Ida sayangi

59. Harus kita imbau kembali, tahun-tahun dunia di ditimpa kemelesetan ekonomi 2009 dan kejatuhan harga komoditi dunia tahun 2014 yang dianggap lebih buruk dari tahun krisis matawang Asia 1998. Di kalangan rakyat biasa, ramai yang tak menyedarinya kerana terlalu banyak langkah proaktif seperti pakej rangsangan dan dasar berhemah kita serta dasar percukaian yang menampung kekurangan hasil ketika itu. Walaupun susah, negara kita tidak merudum dan negara cepat bingkas sehingga mencatatkan antara pertumbuhan ekonomi terbaik di rantau ini.

60. Kini dunia sedang berada dalam keadaan yang paling tidak menentu. Krisis di Ukraine, menyebabkan kenaikan harga minyak dunia mendadak dan kemungkinan akan berlaku krisis makanan dunia. Kita harus bersedia menerima impak yang lebih besar sekiranya krisis ini merebak kerana pembabitan kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat.

61. Tak mungkin kita dapat menguruskannya dengan baik tanpa ada suatu parti yang kukuh dan mantap dalam menguruskan pentadbiran negara. BN pernah melakukannya. BN tidak sempurna tetapi ternyata, parti-parti lain bukan jalan penyelesaian. Mereka hanya membuktikan di bawah pemerintahan 22 bulan hutang negara meningkat sehingga 1 trilion ringgit. Di bawah mereka matawang kita merosot dengan teruknya. Di bawah mereka bursa saham kita paling corot sejak berpuluh tahun. Insyaallah, hanya BN yang kuat, negara akan lebih selamat.

62. Puteri turut menyokong usaha menjadikan parti pelopor kepada reformasi dalam sistem berkerajaan dan mengendalikan pentadbiran yang telus. Kita tolak politik katak. Kita tunggu dan sokong undang-undang anti lompat parti. Politik lompat adalah antara punca kepada rasuah yang lebih besar. Politik lompat hanya menyebabkan kita bergantung kepada ahli-ahli politik yang tidak kompeten mengendalikan negara. Jangan lengah-lengahkan lagi kerana ini antara janji kita kepada rakyat. Kalau ia tak dilaksanakan parti kita akan kecewa dan rakyat akan lebih kecewa.

63. Cukuplah pengalaman di Lembah Klang yang dilanda bencana banjir kilat baru-baru ini. Berapa ramai yang berlindung berjam-jam di bumbung tanpa bantuan. Berapa ramai yang terperangkap di jalan raya tanpa siapa yang menguruskannya. Di mana menteri yang bertanggungjawab untuk memberi amaran awal? Kita lihat ramai menteri-menteri yang telah menjalankan tugas dengan baik dan ada juga yang lebih sibuk untuk bergambar.

64. Orang menilai kompeten atau tidaknya kita waktu negara berhadapan krisis. Berapa pantaskah tindak balas atau respons kita. Tahap kesiapsiagaan kita. Apakah sikap atau tingkahlaku kita. Kalau mereka jadi bahan ketawa, seluruh kerajaan kita menjadi bahan ketawa. Parti kita pun turut terpalit getahnya.

Saudari-Saudari Sidang Perwakilan Sekalian

65. Ingin saya ingatkan di sini, dalam sejarah kita berpegang kepada prinsip parti menguasai kerajaan. Setiap dasar kerajaan harus mendapat sokongan parti. Melalui parti kita turun ke bawah untuk mempertahankan kerajaan. Kerajaan yang kuat kerana hubungan yang kuat antara parti dan kerajaan.

66. Saya ambik contoh Tun Dr. Mahathir. Beliau adalah diantara pemimpin yang hebat dalam negara. Namun kita kena ingat dia hebat ketika menjadi PM ke-4 namun amat mengecewakan ketika menjadi PM ke-7. PM ke-4 ada UMNO yang mendokongnya, PM ke-7 tidak ada UMNO. Dokongan UMNO yang membolehkan banyak dasar dan perancangan luar biasa kerajaan menjadi kenyataan.

67. Parti UMNO yang kuat kerana berpaksikan sokongan akar umbi dan sentiasa menerima pandangan akar umbi. Kita masih ingat, keresahan rakyat kerana kos sara hidup yang tinggi satu ketika dahulu mendorong kita perkenalkan BRIM. Melalui parti, kesengsaraan nelayan dapat kita sampaikan hingga mereka mendapat elaun sara hidup setiap bulan.

68. Sebab itu apabila rakyat resah akibat lock down berpanjangan semasa pandemik, ia menuntut kepada tindakan luar biasa dalam suasana yang luar biasa. Ini termasuk keizinan mereka mengeluarkan wang caruman mereka dalam KWSP sehingga RM10 ribu. Ini tuntutan parti kita, tuntutan ini disuarakan di setiap genap negara. Di sampaikan dalam PRN Melaka dan Johor. Bahkan parti-parti lain tiba-tiba turut mendendangkan isu yang sama ketika PRN Johor bar-baru ini. Sebab itu kita bersyukur dan berterima kasih, akhirnya tuntutan ini diterima sebagaimana yang diumumkan oleh YAB Dato’ Sri Perdana Menteri semalam.

69. Parti pun telah mengambil banyak langkah yang luar biasa sehingga membolehkan ia diterajui oleh kepimpinan kita hari ini. Ingat langkah partilah yang menyebabkan kerajaan gagal pimpinan PM ke-8 berubah-alih. Desakan parti jugalah yang mendesak agar parlimen bersidang semula walaupun mereka pada mulanya enggan berbuat demikian. Ingatlah desakan partilah yang menuntut supaya darurat yang tidak munasabah dan menyusahkan rakyat ditamatkan. Ingatlah desakan-desakan inilah yang membuka ruang dan peluang agar pucuk pimpinan kerajaan berubah tangan.

70. Sebab itu kita mahukan parti terus diperkasa dan dihormati.

Saudari-Saudari Sidang Perwakilan Sekalian

71. Tumpuan kita selepas ini PRU ke 15. Untuk membolehkan kita menguasai kerajaan dan berbakti kembali kepada rakyat sebagaimana yang pernah kita buat dulu. Setiap dari kita wajib menumpukan persiapan kepada PRU ke 15. Sebarang usaha memesongkan tumpuan ini harus dihentikan, ‘make a full stop’.

72. Ini termasuk sebarang gerakan untuk mengadakan pemilihan parti lebih awal dari PRU. Kita kenal siapa yang bertungkus-lumus dalam setiap PRK dan PRN untuk mempastikan kemenangan parti. Baik di Sabah, di Melaka dan di Johor. Siapa pula yang hanya akan ligat berpusing berkempen hanya untuk jawatan dalam parti tetapi hanya acuh tak acuh apabila parti berhadapan dengan lawan. Ada yang sangat berkira bila turun membantu parti, tetapi menunjukan kemewahan bila bekempen untuk diri sendiri. Buatlah PRU dulu, kita tengok siapa yang paling banyak menyumbang untuk kemenangan parti, kita akan angkat mereka setinggi-tingginya dalam pemilihan parti kelak.

73. Buat masa ini, tenaga dan fokus kita seharusnya hanyalah untuk PRU. Seperti kestabilan negara, kestabilan parti adalah pra syarat sebelum melangkah ke pertempuran yang lebih besar.

74. Puteri mendesak kepimpinan tertinggi, untuk meminda perlembagaan parti. Parti ini adalah parti kita, kita harus mencari jalan terbaik untuk memperkukuhkan parti kita, bukan melemahkannya. Perhimpunan agung ini adalah punca kuasa tertinggi dalam parti kita.

75. Maka, hari ini Puteri mendesak, Perhimpunan Agung Luar Biasa (EGM) diadakan semasa Perhimpunan Agung kali ini, untuk meminda perlembagaan bagi memastikan pemilihan dalam parti diadakan hanya selepas PRU bagi sesuatu penggal. Ini bagi mengelakkan parti rosak akibat perebutan sesama sendiri.

Adik-adik Puteri yang Kak Ida sayangi

76. Pergerakan Puteri harus berkembang sebagai sayap parti yang mantap. Selain mempunyai identiti sendiri, kita mesti menunjukan kemahiran kita dalam bidang-bidang tertentu. Sebagaimana sayap anak muda kitalah menjadi pelopor kepada perlaksanaan pendekatan digital dalam kempen kita. Setiap dari kita mesti dilihat paling savvy dalam mengendalikan media sosial. Menghasilkan konten-konten yang bernas untuk dimasukkan dalam apa jua platform yang ada. Zaman 5G kita tak boleh berfikir dan bertindak secara 2G. Puteri mesti menjadi model dan ikutan anak muda.

77. Sebab itu dalam gerak kerja parti kita mesti lebih pantas mendapat dan menganalisis maklumat dan memahami konsep big data dan analitik. Membuat keputusan berdasarkan data bukan hanya sentimen. Gerak kerja Unit Risikan Puteri, URP harus diperkemaskan dan dipertingkatkan keupayaannya. Kita menjadi mata dan telinga parti untuk menyampaikan kegelisahan dan harapan anak muda dan rakyat.

78. Ketika berhadapan pilihanraya, pengendalian IT parti dalam menguruskan sistem maklumat pengundi juga harus diperbaiki. Kita bukan sekadar pengguna atau end user, tetapi kita hendak sama-sama membangunkan sistem yang lebih baik. Ia mesti kebal bila berhadapan ancaman musuh atau kemungkinan kegagalan rangkaian.

79. Kita nak semua faham apa itu D-Day dan apa itu GOTV. Sekiranya sistem tergendala di waktu yang amat memerlukan kita sudah ada plan A, plan B atau Plan C. Ingatlah, setiap pilihanraya adalah perang, perang perlukan maklumat dan arahan yang tepat. Tidak ada masa lagi main anggar-anggaran, kita nak menang perang ini. Dan semuanya mestilah teratur, tepat dan tersusun.

80. Kita mengalu-alukan langkah parti mewujudkan sekolah politik untuk bakal-bakal pemimpin kita. Kita kena bersedia sekiranya lebih ramai di kalangan kita diberi peluang menjadi calon atau diletakkan di tempat-tempat strategik kerajaan. Di kalangan kita bukan sahaja dilihat memiliki keyakinan yang tinggi untuk memimpin, tapi mampu berkomunikasi dengan baik, tidak ‘blur’ bila berhadapan dengan orang. (saya nak perhati sorang-sorang yang di hadapan saya ni)

Adik-adik Puteri yang Kak Ida sayangi

81. Kita juga mesti faham banyak prinsip-prinsip demokrasi dan integriti dalam tadbir urus yang baik. Kita juga mesti dilihat mampu menguasai setiap isu yang berkaitan politik, ekonomi, undang-undang, bahkan hubungan antara bangsa.

82. Kepimpinan Puteri mesti dilihat memahami konsep asas hubungan etnik, kelas dan kesaksamaan gender. Kita mesti ada ‘class’ tersendiri supaya kita tahu sempadan agar tidak bersifat rasis dan tidak membenarkan kaum hawa menjadi bahan persendaan sesiapa. Puteri mesti menjadi sekolah kepada pembangunan pemimpin untuk masa depan negara.

83. Hari ini saya dapat saksikan semangat kental yang ditunjukkan oleh saudari-saudari sekalian. Ramai yang hanya beberapa hari pulang dari Johor terus datang kemari. Ada yang pulang sebentar ke Sabah dan datang semula ke mari. Kita datang dari pelbagai latar belakang. Namun kita banyak persamaan. Kita sama-sama gemar warna pink, kerana ia lambang kemekaran parti kita.

84. Dan yang paling penting kita semua adalah ibu atau bakal menjadi ibu.
Seorang ibu hanya mahu melihat masa depan cemerlang anak-anaknya. Mendapat pendidikan yang baik, mendapat pekerjaan yang dibanggakan dan menjadi manusia yang baik untuk keluarga mereka pula di masa depan. Kita mahu anak-anak kita hidup dalam negara yang makmur, aman dan selamat.

85. Seorang ibu tidak rela melihat masa depan anak dan anak kepada anak-anak mereka menjadi kelam akibat negara kita menjadi redup kerana mendung yang tak berkesudahan.

86. Kita sudah mendengar cakap-cakap negara-negara jiran kita semakin maju dan menghambat kita. Ramai yang berkata tak mustahil satu masa nanti negara yang menghantar rakyat nya mencari kerja di sini, akhirnya menjadi negara untuk rakyat kita mencari kerja di sana.

87. 4 tahun sejak kejatuhan, parti kita memperlihatkan kemungkinan ini semakin tidak mustahil. Pelabur meninggalkan kita beralih ke negara itu. Pemimpin mereka semakin disegani dan negara kita semakin dipinggirkan. Suatu empayar yang besar pun boleh runtuh. Tak mustahil negara kecil kita menghadapi kejatuhan yang sama.

88. Cukuplah 4 tahun rakyat kita bereksperimen mencari yang lain dari parti kita. Mereka sudah menyatakan serik dan ia menjadi pengajaran yang tak dapat dilupakan.

89. Nelayan dan petani terus bertanya bila Barisan Nasional nak berkuasa kembali. Para peniaga yang berada di Gedung-gedung yang lengang bertanya bila Barisan Nasional akan kembali? Pelabur dan pedagang juga dikatakan akan datang sekiranya Barisan Nasional berkuasa kembali. Barisan Nasional pernah membawa magik kepada negara ini dan mengharapkan magik baru yang bakal kita bawa.

Saudari-Saudari Sidang Perwakilan Sekalian

90. Sebagai ibu, harapan mereka adalah harapan untuk anak-anak kita. Hanya kita boleh membina kerajaan yang stabil dan kuat bagi kemakmuran rakyat semua. Kita beruntung berada dalam satu pergerakan yang sama-sama melalui sejarah jatuh dan bangunnya parti kita. Kita beruntung kerana kita adalah antara yang cekal di saat ada pemimpin kita meninggalkan kita menyelamat diri kerana menjangkakan kapal kita akan karam.

91. Beberapa bulan ini adalah detik-detik terpenting untuk kita melihat kapal yang hampir karam tadi kembali kukuh dan sedang belayar menuju matlamatnya.

92. Matlamat untuk melihat UMNO dan BN kembali gagah, berkuasa dan mendapat mandat yang kukuh demi negara tercinta. Kita adalah sebahagian daripada awak-awak kapal tadi.

93. Jangan benarkan kapal ini pecah, kerana kalau ia pecah lemaslah anak-anak kita. Harapan anak dan masa depan negara hanyalah kepada kita. Tunjukan kesetiaan kita kepada parti yang menjadi kapal ini. Patuhi nakhoda kapal ini kerana nakhoda inilah yang menyelamatkan kapal yang hampir karam, kini sedang belayar megah menuju matlamat.

94. Ingatlah, parti kita ini telah memberi peluang untuk puteri tampil ke depan. Ia adalah harapan untuk kita semua. Ia juga harapan seluruh generasi muda terhadap kita.

95. Saya ingatkan di sini. Umno berjuang untuk rakyat dan membina sebuah negara yang kuat. Mencari kemenangan bukan hanya matlamat kita. Ia adalah alat untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat. Kepada anggota Puteri yang mengangotai kerajaan dan terpilih oleh rakyat. Lebih banyaklah mendengar dari berhujah ketika bersama rakyat. Apa yang kita perolehi adalah pinjaman diberikan Tuhan dan rakyat. Kita pernah rebah dan tak mustahil akan rebah lagi kalau kita angkuh dan lupakan tangungjawab kita kepada rakyat.

96. Merendah dirilah. Seperti padi yang berisi. Insyaallah kemenangan ini akan menjadikan kita lebih diberkati dan diberikan lebih banyak nikmat untuk dikongsi bersama dengan rakyat dan negara yang tercinta.

Johor Lama orangnya manis belaka,
Tinggi, sopan, kaya budaya,
Kejayaan dirai, legasi kita bina,
Kebersamaan Puteri, kita tautkan bersama.

Dari Johor berarak ke Melaka,
Singgah di Rim membeli jiwa,
Usah direnung usah dikira,
Badai politik Puteri tempuh jua.

HIDUP PUTERI
HIDUP PUTERI
HIDUP PUTERI

Wabillahitaufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.