Kemenangan PRN Bukti Hasil Kerja Keras, Strategi Yang Baik – Puteri UMNO

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Pencadang usul ucapan dasar Ketua Puteri UMNO, Nor Bhaiti Sabar berkata Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan telah berhempas pulas menjalankan segala gerak kerja yang penuh komited dan bersemangat demi memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) mahupun Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ini kerana pada semangat yang diperjuangkan oleh beliau serta jentera-jentera Puteri UMNO dan Barisan Nasional (BN) membuktikan kerja keras selama ini terhasil dengan begitu cemerlang.

“Kemenangan UMNO/BN sama ada pada PRK mahupun PRN telah diraih dengan begitu bergaya. Peristiwa kemenangan ini cukup membuktikan bahawa kepimpinan UMNO sentiasa berkerja keras, membela rakyat seterusnya dengan langkah-langkah strategi yang baik agar UMNO/BN dapat mentadbir dan memulihkan kestabilan negeri dan negara.

“Kemenangan demi kemenangan telah dikecapi oleh UMNO/BN dan secara tidak langsung adalah petunjuk bagi rakyat yang ‘protes’ kepada pemerintah yang gagal memerintah selama 22 bulan dengan menabur pelbagai janji palsu dan akhirnya membawa negara kehancuran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berbahas pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO, di PWTC, di sini, hari ini.

Nor Bhaiti  yang juga Ketua Puteri UMNO Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa kini rakyat semakin bijak dalam membuat perbandingan pemimpin-pemimpin UMNO/BN dengan pemimpin kerajaan terdahulu.

“Sepanjang kekalahan BN pada PRU lalu rakyat terpaksa melalui jerih perih kehidupan kerana kos kehidupan naik mendadak. Rakyat menaruh harapan pada UMNO/BN agar dapat mentadbir semula negara.

“Kerajaan hari ini yang diketuai oleh pimpinan UMNO/BN mengambil alih negara ini maka rakyat negara ini sudah mula nampak kehidupan dan kesejahteraan rakyat semakin berubah dan ini adalah salah satu faktor rakyat yakin akan kemampuan UMNO/BN,” ujarnya.

Sementara itu kata Nor Bhaiti lagi, Puteri UMNO harus mengetengahkan gologan profesional bagi mewarnai puteri.

“Saya merasakan Puteri UMNO perlu mengetengahkan golongan profesional bagi mewarnai Puteri UMNO dan yang paling penting menjadi saingan kuat pada parti lain,”– UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.