Kibaran Sang Saka Bangsa Bakal Sambut Perwakilan PAU 2021

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Kemeriahan menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2021 makin dirasai apabila sekitar Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dibanjiri dengan merah putih kibaran bendera Sang Saka Bangsa.

Kibar megah berdera UMNO bakal menyambut ketibaan perwakilan daripada 191 bahagian tanda bermulanya himpunan parti politik terbesar di negara ini.

PAU kali ini berbeza daripada tahun lalu yang menyaksikan prosedur operasi standard dilakukan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Meskipun begitu kali ini penganjuran dilakukan secara fizikal sepenuhnya dengan kehadiran 5,571 orang perwakilan dengan kapasiti perwakilan separuh daripada dewan yang digunakan.

Daripada jumlah itu seramai 959 orang perwakilan akan menyertai Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO, 971 perwakilan menghadiri Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda manakala 961 perwakilan terlibat pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri.

Menambahkan kemeriahan 61 perwakilan Mahasiswa Nasional juga akan turut terlibat pada PAU kali ini bagi menyaksikan kegemilangan himpunan ini.

Disebalik kegamatan yang bakal disaksikan pada 16 hingga 19 Mac ini, SOP turut menjadi keutamaan penganjurannya apabila kesemua perwakilan yang hadir perlu lengkap vaksinasi.

Bagaimanapun, PAU kali ini diibarat seperti permulaan mengembalikan kembali momen kemegahan yang begitu sinonim dengan penganjurannya.

Namun yang paling penting sebagai teras kepada orang Melayu-Islam, agenda perjuangan parti wajib terus mewarnai perhimpunan ini seiring dengan asas agenda kewujudan parti ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.