Kerajaan Negeri Komited Realisasi Muar Sebagai Hab Minyak Dan Gas – Hasni

JOHOR BAHRU, 6 Mac – Kerajaan Johor mahu menjadikan daerah Muar yang terletak di utara negeri ini sebagai hab minyak dan gas, dengan penglibatan kalangan pelabur swasta.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata pembangunan itu akan melibatkan kawasan seluas 920 hektar dan ia merupakan pencetus perubahan buat daerah itu.

Beliau berkata terdapat juga perancangan untuk menjadikan Muar sebagai Bandar Perabot Malaysia, sekali gus menyelesaikan masalah kilang haram dan bekalan bahan mentah untuk industri perabot.

“Saya percaya banyak peluang pekerjaan dapat disediakan, banyak idea (perancangan) dibawa ke daerah utara Muar.

“Dulunya (Muar) dikatakan bandar orang pencen, tapi saya percaya dalam tempoh lima tahun ke hadapan, ia (perancangan ini) akan meletakkan asas-asas yang memberi satu gambaran kepada masyarakat Muar bahawa Muar akan berubah wajah,” katanya dalam program Suara Johor terbitan Bernama TV pada Ahad.

Beliau berkata selain itu, dengan adanya sistem pengangkutan berintegrasi, Sistem Transit Rapid (RTS) dari Bukit Chagar ke Johor Bahru, ia dapat membantu pertumbuhan ekonomi negeri dan mengawal kesesakan lalu lintas di Tambak Johor.

“…cadangan untuk satu sistem Light Rail Transit (LRT- Transit Aliran Ringan) dibangunkan…boleh buat. Ini bukan angan-angan mat jenin, sekiranya kita ada RTS itu.

“Kenapa kita buat RTS dari Bukit Chagar ke Woodlands?, ini kerana Tambak Johor, berkurun lamanya mereka yang berulang-alik terpaksa berhadapan dengan kesesakan dua tiga jam setiap pagi untuk pergi bekerja, dua tiga jam setiap petang untuk balik bekerja,” katanya.

Beliau berkata RTS akan dilaksanakan dengan cadangan fasa pertama jajarannya melalui Jalan Tun Razak.

Bagi usaha memperkasakan pertumbuhan ekonomi Johor melalui sistem pengangkutan awam bersepadu, Hasni berkata kerajaan negeri juga akan membangunkan bas rapid transit (BRT) di seluruh negeri.

Beliau berkata dalam pada itu daerah Pontian, yang merupakan antara lokasi pencerapan bagi menentukan tarikh anak bulan, juga perlu dibangunkan.

“Janganlah masih lagi ikut cara 20 tahun dahulu. Kita bergeraklah ke hadapan, maka satu balai cerap yang moden akan dibangunkan, malah bukan hanya balai cerap tapi satu pusat astronomi yang akan dibangunkan,” katanya.

Hasni berkata kesemua perancangan itu termasuk dalam Ikhtiar Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Negeri Johor sebagai satu pelan tindakan masa depan Johor dalam tempoh lima tahun.

“Ini semua tindakan kita bawa, akan kita laksanakan. Itu tidak bercerita tentang soal mengukuhkan lagi perancangan Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), memperhebat rancangan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan juga tentunya menjayakan Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) di Johor ini,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.