Rakyat Johor Telah Berikan Mandat, Jangan Rumah Siap Pahat Berbunyi – Azhari

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Realitinya Barisan Nasional (BN) telah menang di 40 daripada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN), diikuti Pakatan Harapan-PH (11), Perikatan Nasional-PN (3), MUDA (1) dan PKR (1) seperti dilaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di laman sesawangnya.

Walaupun ada pemimpin yang mengatakan jumlah pengundi tidak ramai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekadar di bawah 55 peratus daripada keseluruhan pengundi sebagai punca kurang sokongan kepada para calon, namun rakyat Johor telah membuat pilihan, demikian pandangan Ketua UMNO Shah Alam Datuk Azhari Datuk Shaari.

Beliau yang turut berkampung di Johor membantu jentera setempat sepanjang kempen seterusnya menambah sebaiknya semua pihak menghormati pilihan rakyat memilih BN sebagai teraju pentadbiran dan tidak perlu terlalu beremosi dengan nombor kerana kertas undi telah dipangkah.

“Jangan pula rumah siap pahat berbunyi sehingga ke pilihan raya seterusnya jika ura-ura mengatakan ada PRN di negeri lain pula menjadi kenyataan.

“Pada saat ini, semua pihak sewajarnya bermuhasabah diri mengapa calon parti mereka kalah dan bukannya menuding jari kepada pihak tertentu sebagai punca kegagalan,” katanya kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi mungkin kempen menyerang karakter pemimpin seperti gelaran kluster mahkamah dan kleptokrat tidak memberi kesan kepada rakyat Johor.

Maka sewajarnya tambah beliau lagi pilihan rakyat Johor terutama pengundi muda tidak terus dipersoalkan kerana segala proses demokrasi telah dipenuhi sejak dua minggu lalu dengan kempen masing-masing.

“Tahniah BN Johor,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.