BN Beri Komitmen Laksana Reformasi Pentadbiran Negeri

JOHOR BAHRU, 13 Mac – Barisan Nasional (BN) yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi membentuk kerajaan negeri yang komited melaksanakan reformasi dalam pentadbiran kerajaan negeri, dan membudayakan naratif politik baharu di Johor.

Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad berkata kerajaan negeri pimpinan BN juga akan terus memberi tumpuan kepada usaha memajukan ekonomi, membela golongan yang lemah dan memperkasa golongan belia.

Beliau berkata Ikhtiar BN Johor turut akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula daripada Belanjawan Johor 2023.

“Saya ingin mengajak semua rakyat Johor, mereka yang telah menyokong BN mahupun yang tidak, marilah bersama kita memakmur dan menjaga rumah kita Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Ingatlah, tiada ideologi politik, ahli politik dan parti politik yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada JDT.. ini merupakan masa untuk kita bersama-sama membina Johor yang lebih makmur,” katanya pada sidang media selepas BN memenangi PRN Johor.

Sementara itu Hasni turut menzahirkan ucapan penghargaan buat seluruh rakyat Johor kerana telah melunaskan tanggungjawab mereka dan memilih BN untuk menerajui kerajaan yang baharu.

Beliau berkata mandat yang diberikan itu menunjukkan bahawa rakyat Johor memilih kestabilan dan mementingkan masa hadapan kerajaan negeri.

“Hari ini merupakan hari pertama dalam perjalanan yang hebat ini, saya ingin mengambil kata-kata Nelson Mandela (presiden kulit hitam pertama Afrika Selatan dan ikon anti-Apartheid) – ‘kita tidak kalah, sama ada kita menang, atau kita belajar’.

“Pada hari ini rakyat Johor telah meraikan demokrasi dan melunaskan hak mereka, rakyat memilih kestabilan masa hadapan, dan sebulat suara memilih BN untuk menjamin kemakmuran rumah kita iaitu JDT,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.