Onn Hafiz Akur Keputusan Parti, DUN Machap Untuk BN Berkhidmat

JOHOR BAHRU, 3 Mac – Calon Barisan Nasional, Datuk Onn Hafiz Ghazi hanya akur pada keputusan parti yang meletakkan dirinya bertanding di DUN N29 Machap, bukan ‘lari’ untuk berhadapan dengan Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr. Maszlee Malik yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang.

Katanya, meskipun beliau sebelum ini merupakan wakil rakyat di DUN Layang-Layang, namun ia bukan suatu perkara pelik untuk bertanding di Machap yang masih berada di parlimen Simpang Renggam.

“Sebenarnya ramai menantikan perlawanan Dr. Maszlee dengan saya. Saya tahu Maszlee memegang parlimen, dia juga seorang mantan menteri. Tetapi dia banyak menipu dengan janji yang dibuat sebelum ini. Dia tak jawab isu tol percuma, peluang pekerjaan, PTPTN lagi.

“Yang penduduk Simpang Renggam dapat hanyalah kasut hitam. Orang Layang-Layang sama ada Melayu, Cina dan India kecewa dengan dia.

“Kenapa saya nak takut? Cuma saya sebagai orang parti, saya akur dengan apa sahaja yang diputuskan pucuk pimpinan. Nak suruh saya ke Machap pun tiada masalah, ia masih di dalam Parlimen Simpang Renggam,” katanya.

Onn Hafiz dalam masa yang sama turut menolak dakwaan bahawa beliau cuba mencari kerusi selamat sekali gus tidak mahu berhadapan dengan risiko kekalahan apabila sepatutnya bertembung dengan Maszlee di DUN Layang-Layang.

“Waktu PRU14, Dun Machap hanya menang majoriti 400, rendah. Kalau saya nak lari, takkan saya nak lari ke DUN yang majoritinya rendah. Kan tak logik?

“Mungkin orang di pusat tidak tahu tentang Maszlee, waktu dia jadi ahli parlimen ni, ada jumpa dengan guru besar Machap. Maszlee janji nak bantu sekolah, bumbung sekolah di Machap nak diberikan, tapi sampai hari ini tidak buat. Banyak kawan dan guru-guru cakap benda sama. Maszlee hanya manis mulut di bibir.

“Ini janji munafik, dah janji tapi tidak ditunaikan,” ujarnya lagi.

Kerusi DUN Machap menyaksikan pertembungan antara Onn Hafiz dengan Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor Datuk Dr. Shahruddin Md Salleh.

Selain kedua-dua calon itu, persaingan di kerusi DUN sama pada PRN Johor itu juga disertai Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Johor Azlisham Azahar yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan R.Sangaran daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.