Parti Yang Terlibat Dengan Manifesto PH Jangan Cuba Nak Selamatkan Diri – Ahmad Maslan

JOHOR BAHRU, 1 Mac – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan memberi peringatan kepada parti-parti yang terlibat dalam penghasilan manifesto Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) jangan cuba mahu menyelamatkan diri.

Kata Ahli Parlimen Pontian itu, ini termasuklah parti PPBM yang dahulunya rakan sekutu PH yang terlibat sepenuhnya dalam memperjuangkan manifesto tersebut dan kini mengetuai Perikatan Nasional (PN).

Imbau kembali katanya, banyak janji mereka gagal dipenuhi dan dilaksanakan terutamanya sepuluh janji dalam masa seratus hari.

“Ada yang ditunai… GST (cukai barang dan perkhidmatan), dibuang satu diganti enam cukai baru dinaikkan cukai lama… fakta. Kemudian, mula-mula mereka kata pendidikan percuma… tengoklah ucapan-ucapan tetapi dalam manifesto gaji RM4,000 kena bayar PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), itu ‘u-turn’ yang kedua, ‘u-turn’ ketiga gaji RM1,000 dah kena bayar PTPTN… selepas kena belasah di dalam Dewan Rakyat mereka ‘u-turn’ sekali lagi gaji RM2,000 baru kena bayar PTPTN.

“Jadi perkara-perkara begini menyebabkan mereka dilabel oleh rakyat orang yang tidak menunaikan janji. Dan itu salah mereka.

“Bab tol Simpang Renggam, tol seluruh Malaysia. Kalau kita tengok Ahli Parlimen mereka seperti Tony Pua misalnya buat kiraan itu kiraan ini maka tol itu tol ini boleh kurang atau dihapus tapi apabila beliau sendiri menjadi Setiausaha Politik Menteri Kewangan perkara itu tidak dilakukan,” bidasnya.

Ahmad berkata demikian dalam segmen Wawancara PRN Johor yang disiarkan secara langsung di laman Facebook UMNO Online malam tadi di studio mini di sini dengan mengulas topik ‘Mencabar Yang Terbaik’.

Begitu juga katanya dengan mengambil contoh pemberian caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada suri rumah juga PH gagal melaksanakannya.

Manakala berhubung dengan penghapusan hutang peneroka kepada Felda, Ahmad menjelaskan ia diselesaikan oleh Ahli Parlimen UMNO Datuk Seri Idris Jusoh yang menjawat jawatan sebagai pengerusi agensi tersebut.

“Zaman beliau banyak perkara selesai tetapi ada orang lain yang ‘claim’. Saya duduk di Dewan Rakyat bersama dengan beliau selalu bertanyakan mengenai Felda. Idris yang menyelesaikan isu Felda. Jadi, inilah kadang-kadang ‘lembu punya susu, sapi dapat nama’,” ujarnya lagi.

Ahmad turut menitipkan serangkap pantun untuk mereka yang terlibat di dalam manifesto PH.

“Pok amai-amai, belalang kupu-kupu;
Mari ramai-ramai, tolak parti penipu.”

Seterusnya, Ahmad membidas Dap yang kononnya jika diberi peluang sekali lagi memerintah akan menjaga kepentingan Melayu, Bumiputera dan agama Islam.

“Kita tahu perkara-perkara yang berlaku sebelum ini (ketika PH perintah) Raja dihina, Islam dihina, bahasa dihina, jawi dihina. Siapa yang buat segala itu? Tentera dihina, siapa buat semua itu? Bukan mereka ker? Jangan lupa penghinaan-penghinaan itu…penjawat awam dihina.

“kemudian tiba-tiba di sini mereka mendendangkan lagu-lagu seumpama itu. Saya nak beritahu orang Johor ini berfikir panjang dalam segala perkara dan saya amat yakin rakyat di Johor pelbagai kaum sudah muak,” katanya yang turut menceritakan kaum Cina yang berjumpanya turut mengadu Dap dan PH hanya pandai bercakap tetapi tidak pandai mengurus tadbir hingga ekonomi jatuh.

Berhubung dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini, Ahmad berkata Barisan Nasional (BN) tetap seperti kelaziman menawarkan agenda demi kepentingan rakyat dan akan membentangkan manifesto pada hari ini.

Pada PRN Johor ini, BN hadir dengan tema Kestabilan Masa Depan dan menampilkan penyandang Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad calon jawatan itu jika menang di dalam pilihan raya tersebut.

Begitu juga Ahmad percaya Hasni mampu menjadi arkitek bagi Johor untuk mengembalikan potensi negeri itu menjadi nombor satu negeri termaju antara negeri-negeri di dalam Malaysia. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.