Modal PRU-14 Tidak Laku, PRN Johor Pihak Lawan Terpaksa  Cari Modal Baharu – Mohamad


PARIT SULONG, 1 Mac – Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata parti itu memasuki Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan ketiadaan isu yang boleh dijadikan bahan oleh pihak lawan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO seterusnya berpandangan lantaran itu timbullah momokan kluster mahkamah dan sebagainya lagi setelah modal lama tidak lagi boleh dijadikan sandaran pada PRN berkenaan.

“BN tidak ada isu pada PRN Johor kali ini dan momokan mengatakan kluster mahkamah dan macam-macam menunjukkan mereka sudah tidak ada modal lagi. Apa lagi modal mereka nak jual kepada orang ramai… janji nak hapus tol tidak boleh… janji nak hapuskan PTPTN tidak boleh… nak janji apa lagi semua mereka tidak tunaikan.

“Jadi modal mereka yang paling senang ialah menjual kluster mahkamahlah bahawa PRN Johor ini kalau menang Johor ini kluster mahkamah yang akan ada banyak keuntungan. Keuntungan yang macam mana dan apakah dengan menang BN  insya-Allah di Johor, semua kes-kes mahkamah kita akan digugurkan?

“Saya tidak rasa begitu… walaupun UMNO menjadi ketua kerajaan dan PM, tuduhan dan pendakwaan tetap berjalan kepada pemimpin UMNO. Jadi ini semua modal-modal yang amat meleset dan modal mereka yang tidak ada isu lagi dan ini dijadikan modal mereka,” katanya kepada UMNO-Online, malam tadi.

Terdahulu beliau mengadakan perjumaan bersama jentera parti untuk DUN Semerah serta DUN Sri Medan. Turut serta kedua-dua calon BN bagi kawasan berkenaan iaitu Datuk Zulkurnain Kamisan dan Mohd Farid Mohd Khaled.

Mohamad seterusnya menegaskan BN sememangnya mahukan kestabilan dan ianya perlu terus diperkasakan kerana memberi banyak manfaat kepada negeri serta negara.

Kata beliau lagi disebabkan tidak stabillah pelbagai senario dapat dilihat termasuk dalam negara serta di Johor hari ini.

“Kalau nak ikut hukum logik, Datuk Hasni Menteri Besar Johor ada 400 lebih hari lagi untuk sampai tamat penggal. Kalau dia tamak kuasa, kalau beliau tidak memikirkan kestabilan negeri Johor ini penting, beliau tidak akan berhenti dan tidak akan bubarkan Dewan. Kalau fikir secara logiklah kan… bukan senang mahu jadi MB… tetapi kerana memikirkan Johor memerlukan suatu corak politik yang lebih stabil daripada apa yang ada hari ini… kita tidak boleh begini.

“Bagi pelabur pula mereka memerhatikan ini semua. Mereka melihat daripada jauh bahawa negeri ini tidak mempunyai kestabilan politik maka Johor terus diabaikan. Kalau tidak Johor dulu merupakan destinasi utama. Malaysia merupakan destinasi utama pelabur asing tetapi hari ini sudah tidak ada.

“Mereka lebih rela pergi ke Indonesia… apakah Indonesia tidak banyak COVID… banyak, tetapi kerana stabil. Thailand banyak COVID, tetapi kerana stabil. Politik di Vietnam lagi stabil. Semua pergi ke Vietnam, Thailand, Indonesia.

“Malaysia dikatakan dijauhi oleh pelabur-pelabur asing kerana apa… bukan mereka tidak suka Malaysia… mereka suka Malaysia dan Malaysia pernah menjadi  destinasi utama pelabur berpuluh tahun. Kenapa sejak 2018 pelabur tidak datang lagi… kerana tidak stabilnya politik,” tambahnya lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.