Jangan Percaya Bulat-Bulat Tohmahan… Selidik Dahulu – Andy


KUALA LUMPUR, 17 Jan – Sejak kebelakangan ini memang terdapat berita-berita buruk yang sedang dan telah berlegar cuba melaga-lagakan kepimpinan tertinggi UMNO, demikian tegasnya Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Andy Muhammad Suryady Bandy.

Katanya, semua ahli UMNO dinasihatkan agar tidak terikut-ikut dengan taktik kotor lawan yang menabur fitnah dan ianya mesti ditangkis dengan fakta yang tepat.

“Sebagai pemimpin UMNO Bahagian menyeru akar umbi UMNO agar harus menilai berita terlebih dahulu dan jangan percaya bulat-bulat sebarang tohmahan yang dilemparkan lebih-lebih lagi untuk menjatuhkan UMNO kerana ini merupakan satu usaha untuk melemahkan UMNO secara khususnya.

“Sudah pasti yang berada di dalam kepimpinan tertinggi UMNO menerima tohmahan yang paling buruk untuk menjatuh dan melemahkan struktur parti.

“Sebagai contoh, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah diserang dengan pelbagai fitnah dan tohmahan terdahulu serta strategi melaga-lagakan pemimpin dalaman UMNO. Sudah pasti sekiranya berterusan ianya akan melemahkan UMNO secara amnya,” katanya ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berharap agar seluruh ahli UMNO taat kepada kepimpinan tertinggi UMNO.

“Sebagai ahli parti UMNO yang setia dan taat kepada kepimpinan UMNO harus semak dan menilai terlebih dahulu serta jangan turut serta melaga-lagakan sebarang berita yang boleh melemahkan UMNO,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.