Lawan Tetap Lawan, Lassim Beri Jaminan Di Sri Gading
SRI GADING, 28 Jun – Barisan Nasional (BN) Sri Gading memberi jaminan bahawa seluruh jentera pilihan rayanya berada pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), dengan gerak kerja di semua peringkat cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) telah digerakkan sepenuhnya.
Pengarah Pilihan Raya BN Sri Gading, Datuk Mohd Lassim Burhan, berkata jentera di kawasan itu telah bersedia sepenuhnya dan tidak akan berlaku sebarang cawangan atau PDM yang tidak berfungsi sepanjang tempoh kempen.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Sri Gading yang dilancarkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; calon BN DUN Parit Yaani, Datuk Najib Samuri; calon BN DUN Parit Raja, Rashidah Ramli; barisan kepimpinan parti-parti komponen serta para pendokong dan penyokong BN.
Menurut beliau, gerak kerja mendekati pengundi menerusi program Jalinan Rakyat juga telah dilaksanakan di seluruh PDM bagi memastikan setiap lapisan masyarakat dapat didekati secara menyeluruh.
“Jentera di Sri Gading sudah bersedia sepenuhnya. Tidak akan ada cawangan atau PDM yang tutup. Program Jalinan Rakyat juga telah bergerak ke seluruh PDM,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa seluruh jentera BN Sri Gading kini bergerak secara menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada pertandingan satu lawan satu yang disifatkan mampu memberi kelebihan kepada parti.
“Kita di Sri Gading bergerak sepenuhnya. Pertandingan satu lawan satu ini diharapkan dapat menjadi manifestasi kepercayaan rakyat kepada Barisan Nasional,” ujarnya.
Mengulas mengenai persaingan dalam PRN, Lassim berkata pertandingan merupakan lumrah dalam sistem demokrasi dan sebagai Pengarah Pilihan Raya, beliau bersama seluruh jentera akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan kemenangan BN.
“Adat kita bertanding dalam pilihan raya. Sebagai Pengarah Pilihan Raya, kami akan lawan semampunya dan memastikan seluruh kekuatan jentera digembleng bagi menghadapi PRN ini,” katanya.
Beliau yakin kesepaduan jentera di semua peringkat serta gerak kerja yang tersusun akan menjadi antara faktor penting dalam usaha BN Sri Gading meraih sokongan rakyat pada pilihan raya kali ini.- UMNO Online
