BN Tanding 56 Kerusi Demi Bentuk Kerajaan Stabil, Teruskan Agenda Johor Maju 2030

JOHOR BAHRU, 29 Jun – Barisan Nasional (BN) bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi membentuk kerajaan negeri yang stabil sekali gus meneruskan agenda pembangunan Johor Maju 2030.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang juga Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata keputusan bertanding di semua kerusi membuktikan kesungguhan BN untuk memperoleh mandat penuh daripada rakyat.

Beliau berkata pihak yang tidak bertanding di semua kerusi sudah tentu mempunyai matlamat yang berbeza, manakala BN kekal fokus untuk membentuk kerajaan demi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri.

“Kita bertanding di 56 kerusi kerana kita mahu membentuk kerajaan negeri. Kita mahu mengekalkan kestabilan, meningkatkan kemajuan negeri dan merealisasikan hasrat menjadikan Johor sebagai negeri maju menjelang tahun 2030,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO bahagian Pontian seterusnya berkata sasaran Johor Maju 2030 kini hanya berbaki kira-kira tiga tahun enam bulan, justeru kesinambungan kepimpinan sedia ada amat penting bagi memastikan segala perancangan dapat diteruskan.

Menurutnya, BN mahu meneruskan kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tempoh pentadbiran mereka.

“Bukan sahaja kita mahu melihat pembangunan fizikal negeri, tetapi yang lebih penting ialah memastikan rakyat Bangsa Johor turut maju dalam pelbagai bidang,” katanya.

Ahmad berkata sepanjang lebih empat tahun pentadbiran kerajaan negeri, kepimpinan Menteri Besar telah memperlihatkan komitmen tinggi dalam memacu pembangunan Johor dengan kerjasama barisan Exco, penjawat awam dan sektor swasta.

“Saya amat yakin jika diberi peluang sekali lagi, mereka akan melakukan yang terbaik untuk negeri Johor dan memastikan negeri ini terus maju, begitu juga rakyatnya,” katanya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO