BN Lebih Bersedia, PH Masih Gagal Kemuka Manifesto PRN Johor – Gulam Muszaffar

JOHOR, 28 Jun – Pakatan Harapan (PH) disifatkan masih gagal mengemukakan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor walaupun kempen telah memasuki hari kedua, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesediaan gabungan itu untuk mentadbir negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar berkata, rakyat Johor berhak mengetahui tawaran sebenar PH selepas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mencabar gabungan berkenaan membentangkan manifesto mereka.

Menurut beliau, alasan bahawa manifesto masih berada di peringkat akhir penyediaan menunjukkan PH masih belum benar-benar bersedia untuk menawarkan pelan pembangunan yang jelas kepada rakyat.

“Sebaliknya, Barisan Nasional (BN) telah lebih awal melancarkan manifesto bertemakan ‘Maju Johor, Kestabilan Dikekalkan, Kemajuan Diteruskan’ yang mengandungi 64 tekad merangkumi enam teras utama.

“Manifesto tersebut merangkumi pelbagai aspek penting termasuk pendidikan, peluang pekerjaan, perumahan, kebajikan dan ekonomi rakyat sebagai kesinambungan kepada pelaksanaan Pelan Maju Johor 2030,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berpandangan, kempen PH ketika ini lebih tertumpu kepada serangan peribadi terhadap kepimpinan negeri berbanding mengemukakan penyelesaian atau tawaran dasar yang boleh dinilai oleh rakyat.

“Rakyat mahu melihat idea, perancangan dan hala tuju yang jelas, bukannya kempen yang dipenuhi serangan peribadi dan usaha memburukkan karakter pemimpin,” ujarnya.

Tambah beliau, BN memasuki PRN Johor dengan persediaan yang lebih tersusun kerana telah mengemukakan manifesto serta menawarkan kepimpinan yang jelas kepada rakyat.

Menurut Gulam lagi, rakyat Johor kini menantikan manifesto PH bagi membolehkan mereka membuat perbandingan secara adil terhadap tawaran yang dikemukakan oleh setiap parti yang bertanding.

“Pada akhirnya, rakyat akan menilai siapa yang benar-benar mempunyai perancangan untuk membawa Johor terus maju dan mengekalkan kestabilan yang dinikmati hari ini,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO