‘Azah’ Mohon Mandat Besar Demi Kestabilan, Pembangunan DUN Pulai Sebatang
PONTIAN, 29 Jun – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan berharap pengundi memberikan mandat yang kukuh kepada beliau bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan kawasan itu serta memperkukuhkan kestabilan politik negeri Johor.
Hasrunizah, yang sebelum ini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang berdepan saingan daripada calon Pakatan Harapan (PH), Haniff Hosman pada pilihan raya kali ini.
Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Azah seterusnya berkata, jumlah parti yang bertanding bukanlah perkara utama, sebaliknya kerjasama dalam Barisan Nasional menjadi kekuatan untuk memenangi semula kerusi DUN Pulai Sebatang.

“Tidak kira berapa banyak punp arti yang bertanding, yang penting kita bekerjasama dalam Barisan Basional. Saya cuma memastikan kita dapat kembali kerusi DUN Pulai Sebatang ini kerana masih banyak perkara yang ingin kita laksanakan demi memajukan kawasan ini dan negeri Johor.
“Kerajaan negeri juga amat menitikberatkan pelbagai inisiatif kebajikan seperti Bantuan Kasih Johor , bantuan perumahan dan sebagainya. Itu yang penting untuk rakyat,” katanya kepada UMNO-Online.
Beliau turut menyeru pengundi memberikan kepercayaan kepada BN bagi membolehkan kerajaan negeri meneruskan dasar dan strategi pembangunan yang telah dirancang.
“Saya sangat berharap pengundi memberi ruang dan mandat ini kepada saya. Kita bukan sahaja memerlukan kemenangan DUN di Pontian, tetapi juga mandat yang besar di seluruh negeri Johor bagi memastikan segala strategi pembangunan
serta polisi kerajaan negeri dapat diteruskan dengan lebih berkesan.
“Apabila wujud kestabilan politik, ia amat penting kepada ekonomi kerana pelabur akan melihat kestabilan sesebuah negeri sebelum membuat keputusan untuk melabur.
“Sebab itu kita perlukan mandat yang besar, bukan sahaja di DUN Pulai Sebatang tetapi di seluruh Johor, supaya keyakinan pelabur terus meningkat, ekonomi negeri berkembang dan hasilnya dapat disalurkan kembali kepada rakyat sebagaimana yang telah dinikmati hari ini,” katanya.- UMNO Online
