Tolak Wakil Rakyat ‘Katak Lompat’ Demi Kepentingan Diri

MASJID TANAH, 19 Nov – Pengundi di Melaka menolak calon yang melompat parti, malah menyifatkan individu seperti ini hanya mementingkan diri.

Mengimbau kembali Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, Rohaya Abu Bakar, 58, suri rumah, memaklumkan beliau kecewa apabila wakil rakyat yang menjadi kepercayaan beliau berpaling tadah dengan menyertai parti lain.

“Kami dulu masa PRU-14 berkempen balik sampai ke satu hingga dua pagi bila kita menang suka la, dia datang sampai peluk tapi lepas itu dia keluar mengikut Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Cuba bayangkan sebagai Ketua Jalinan Rakyat saya membawa beramai-ramai wanita untuk kempen sampai tinggalkan suami dan anak-anak untuk dia menang. Itu sebab kami panggil dia ‘katak’ sebab dia tu penipu sampai sekarang saya tidak akan maafkan dia.

“Kami sekarang berdoa Datuk Seri Rauf Ab Jusoh menang walaupun hanya lebih dua undi, asalkan beliau… kami di sini penyokong tegar ‘dacing’ orang yang berpatah arah ini kami tidak akan beri peluang lagi,” katanya.

Luahan sama diberikan Samsiyah Suboh, 66, yang berkongsi kekecewaan beliau malah berpandangan wakil rakyat ‘katak’ seperti itu tidak layak untuk menjadi ketua menteri.

“Hancur hati saya bila dia sudah jadi ‘lompat katak’ hari itu dia datang jumpa saya minta tolong, sedangkan dahulu kami sudah penat tolong undi ini tidak boleh dipaksa lawan tetap lawan

“Tapi bila Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin maklumkan kalau mereka menang dia jadi Ketua Menteri bagi saya eloklah dia tidak mengharap.

“Kenapa dia nak pegang banyak jawatan? nama dia naik kerana Rauf, kami di sini mengundi beliau sebelum ini tapi bila sudah sampai masa kita tidak dipedulikan,” jelas beliau.

Sementara itu, bagi Dr Ismail Jantan, 58, yang bekerja sebagai pegawai perubatan turut berharap rakyat di negeri ini membuat pilihan bijak dengan mengundi Barisan Nasional (BN).

Katanya, ini kerana Pakatan Harapan tidak mempunyai kredibiliti untuk mentadbir negeri ini kerana kekangan pengalaman daripada kepimpinannya.

“Selepas kekalahan pada PRU-14 PH telah memerintah negeri ini banyak projek yang telah dicadangkan oleh BN telah dimansuhkan jadi kita tunggu juga manifesto yang telah dikeluarkan oleh PH tapi kebanyakkan semua tidak ditunaikan

“Mereka hanya pandai bercakap tapi tak boleh melaksanakannya untuk rakyat Melaka jadi sungguh terseksa macam projek Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sebelum ini BN senang dapat setahun 10 projek perumahan ini tapi sejak PH ambil alih jadi sukar,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib