Rais Mulakan Khidmat Untuk Masyarakat Paya Rumput

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin yang baharu sahaja diberi mandat oleh rakyat pada Sabtu lalu hari ini terus mengotakan janjinya sebelum ini dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.

Menerusi aduan ‘Agenda Bersama Rakyat’, beliau sendiri turun padang melihat aduan oleh masyarakat di Krubong berhubung keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat.

“Aduan diterima berhubung isu keselamatan dan kesejahteraan penduduk di Krubong. Saya hadir untuk mendengar luahan dan berbincang mengenai cadangan mewujudkan jejantas dan laluan motorsikal yang mampu menghubungkan Taman Krubong Jaya ke Kampung Krubong.

“Menurut penduduk setempat, perkara ini penting bagi memudahkan urusan ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah khusus pada waktu pagi. Ini kerana keadaan lalu lintas yang sibuk seringkali mengundang bahaya kepada penduduk,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Pada masa yang sama beliau turut meninjau aduan berkaitan jalan yang melibatkan beberapa penduduk setempat yang lain.

“Kita juga sempat bertemu En Hamidi Mahmud, Bilal Masjid Kampung Tanah Merah Krubong bagi mendengar permasalahan yang diajukan berkaitan laluan masuk ke kawasan rumahnya.

“Insya-Allah segala isu rakyat ini akan diperjuangkan ke peringkat atasan. Saya akan pastikan keselamatan dan keselesaan rakyat DUN Paya Rumput terjamin,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.