Mandat Untuk BN, Rakyat Perlukan Sepenuh Fokus Kerajaan Bantu Mereka – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Salleh menegaskan bahawa rakyat kini perlukan sepenuh fokus kerajaan untuk membantu mereka dan bukan pemimpin yang tidak jelas kredibilitinya.

Beliau yang baharu memenangi DUN Merlimau menekankan bahawa keputusan parti adalah jelas berkaitan hal memperkukuh ikatan dengan parti lain.


“Keputusan parti jelas untuk memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) bukan Perikatan Nasional (PN), maka keputusan rakyat juga jelas untuk memilih Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan negeri dan bukannya memilih PN sebagai kerajaan negeri.

Justeru katanya, tiada keperluan untuk menerima lompatan dari mana-mana ADUN yang tidak jelas pendiriannya.”

Beliau berkata demikian menerusi laman facebooknya berikutan timbul persoalan berhubung kedudukan dua ADUN baharu PN sama ada akan turut menyertai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Terdahulu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali memaklumkan bahawa perbincangan bersama pucuk pimpinan BN akan diadakan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Dalam perkembangan lain, Dr Muhamad Akmal telah rancak melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat yang antaranya melaksanakan tindakan pantas terhadap aduan penduduk dengan membersihkan saluran longkang tersumbat yang menjadi antara punca banjir di kawasan terbabit.

Selain terus melaksanakan tugas di kliniknya, beliau juga berjanji untuk mengurangkan birokrasi dalam urusan rakyat dan bakal mengadakan kerjasama dengan Majlis Perbandaran agar dapat memudahkan permohonan lesen bagi para penjaja kecil yang ingin berniaga.

Dr Akmal menang bergaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas memperoleh 5,632 undi dengan 3,248 majoriti, meninggalkan calon PH, Azrin Ab Majid (2,385) dan PN, Abdul Alim Shapie (1,622).

Pada 20 November lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan keputusan rasmi PRN Melaka bahawa BN yang diwakili UMNO, MCA, dan MIC menang 21 daripada 28 kerusi DUN dengan menewaskan pencabarnya, PN yang mendapat dua kerusi dan lima kerusi dipertahankan PH.

Kemenangan selesa itu menyaksikan BN berjaya membentuk kerajaan Melaka yang baharu dengan majoriti dua pertiga. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.